Jumaat, September 30, 2016

APA MOTIF PEGAWAI KHAS MB VIRALKAN SENARAI CALON BN?

Pagi semalam seorang pegawai khas Menteri Besar Terengganu telah menviralkan senarai calon Barisan Nasional (BN) Terengganu dalam grup whatsapp Politik Kedai Kopi (PKK). Tak tahu apa motif beliau berbuat demikian sehingga ia menjadi heboh di Terengganu apabila senarai itu disalin dan diedarkan kepada grup whatsapp yang lain pula.

Tak dapat dipastikan siapa yang buat senarai tersebut sama ada orang pembangkang atau orang Umno sendiri yang mahu mengerat calon-calon tertentu. Orang yang mahu jadi calon tersenyum tengok nama mereka ada dalam senarai tetapi mereka tak sedar ini semua strategi untuk mencantas mereka dari awal lagi.

Yang nak jadi calon tetapi nama tak keluar seronok kerana mereka tidak dikerat dari awal. PRU lambat lagi kenapa tiba tiba senarai calon keluar pada masa sekarang. Adakah ia mahu test market cita rasa pengundi sama ada nama yang disenaraikan itu diterima oleh pengundi atau tidak.

Meneliti senarai 32 calon DUN dan 8 calon parlimen ini ia jelas menunjukkan bahawa ia dibuat oleh bukan penyokong MB, Ahmad Razif Abdul Rahman kerana nama Razif diletakkan sebagai calon parlimen Kuala Nerus. Timbalan Menteri Komunikasi dan Multi Media, Datuk Jailani Johari  (JJ) diletakkan di DUN Kuala Berang yang mungkin dilantik sebagai bakal MB Terengganu selepas PRU akan datang.

Maka yang kita nampak mungkin orang JJ yang buat senarai calon BN ini. Atau mungkin orang yang buat senarai ini adalah musuh JJ yang sengaja mahu melaga-lagakan JJ dengan Razif.. Daripada 32 calon DUN itu seramai lapan orang atau 25 peratus orang muda yang akan bertanding. Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin telah melahirkan hasrat supaya lebih ramai orang muda diletakkan sebagai calon BN dan 25 peratus ini agak kecil. Sepatutnya calon muda ditingkatkan lagi kepada 30 peratus.


Siapa lapan orang calon muda tersebut? Di Besut, Zahari Mat diletakkan di DUN Hulu Besut menggantikan Nawi Mohamad. Nawi dalam ucapannya di Hulu Besut baru-baru ini berkata beliau tak nak bertanding lagi dan mahu memberi laluan kepada orang muda.

Di Setiu, penyandang DUN Jabi, Iskandar Jaafar masih muda. Beliau adalah Exco Pemuda Umno Malaysia. Di Kuala Nerus, pegawai MB, Ahmad Nidzam Abd Karim juga orang muda ditonjolkan sebagai pengganti Razif di DUN Seberang Takir.

Di Kuala Terengganu, Badrol Hisham Zaki yang dinamakan di DUN Ladang juga orang muda. Di Marang, bekas Ketua Pemuda Umno negeri,  Saiful Bahri Baharuddin diletakkan di parlimen Marang. Di Hulu Terengganu, Ketua pemuda negeri, Johari Abu Bakar ditonjolkan sebagai calon DUN Manir.

Di Dungun, anak bekas Ketua Bahagian, Azadi Rosli dicalonkan di DUN Sura manakala di Kemaman, orang kuat Pegawai Pegawai Pembangunan DUN Chukai, Che Wan Asri Che Wan Abdullah juga orang muda diletakkan di DUN Chukai.

Semua grup whatsapp yang menerima senarai calon tersebut telah membahaskan isu ini semalam. Ramai yang menganggap jika ini senarai calon BN yang sebenar pada PRU akan datang, maka PAS yang akan memerintah Terengganu. Maka sudah pasti mereka yang ada dalam senarai ini akan ditukarkan di saat saat akhir untuk pastikan BN  kekal memerintah Terengganu.

Jika berlaku pertandingan tiga penjuru di antara BN dengan PAS dengan Amanah, maka peluang BN untuk menang adalah cerah tetapi jika ahli Umno masih mengamalkan peteh keting, maka PAS yang menerima keuntungan dari perpecahan ahli ahli Umno ini. Sama samalah kita tunggu senarai sebenar calon BN pada PRU akan datang yang mana PRU  dijangka diadakan pada bulan Mei tahun hadapan.

Rabu, September 28, 2016

IDE TIDAK PERLU MELAGA-LAGAKAN ANTARA ZAHID DENGAN HISHAMUDDIN



Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi 'bersyukur' berikutan satu kajian mendapati Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dipilih sebagai calon pilihan utama untuk menggantikan perdana menteri.

Bagaimanapun di dalam undian tersebut Hishammuddin yang juga naib presiden Umno hanya mengatasi Zahid dengan peratusan terlalu kecil, iaitu sebanyak satu peratus.

“Alhamdulillah Hisham lebih popular 1 peratus,” kata Zahid seperti dilapor portal Majlis Ahli Parlimen BN (BNBBC).

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas merasmikan Multaqa Ekonomi Majlis Perundingan Islam (MPI) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).

Zahid diminta mengulas kajian dijalankan badan pemikir kerajaan negeri Selangor, Institut Darul Ehsan (IDE) di sekitar negeri itu bermula 26 hingga 30 Ogos lalu.

Kajian itu menunjukkan 32 peratus daripada responden menyokong Hishamuddin sebagai pengganti Datuk Seri Najib Razak manakala 31 peratus lagi memilih Zahid.

Sementara itu, Ketua Pemuda UMNO Khairy Jamaluddin Abu Bakar berada di tangga ketiga dengan memperolehi 28 peratus undian.

Keputusan kaji selidik itu dibentangkan di sebuah hotel di Shah Alam semalam oleh Timbalan Pengerusi IDE, Profesor Datuk Mohammad Redzuan Othman.

Pecahan lebih terperinci daripada responden mengikut lingkungan umur menunjukkan Hishamuddin paling popular di kalangan kumpulan berumur 31 hingga 50 tahun.

Zahid pula lebih popular di kalangan mereka yang berumur atas 51 tahun, manakala Khairy paling popular di kalangan belia berusia 21 hingga 30 tahun.


Ulasan saya, IDE sudah tidak ada idea sehingga tergamak melaga-lagakan Zahid dengan Hishamuddin untuk jawatan Presiden Umno. Sekarang ikut tradisi pemangku timbalan presiden, Zahid Hamidi akan menjadi PM apabila Najib bersara dari politik.


Oleh itu IDE tidak perlu menjalankan kajian kerana Zahid yang memangku jawatan Timbalan Presiden Umno yang akan menjadi PM baharu. Apa motif IDE mengadakan kajian seumpama ini selain dari mahu melaga-lagakan antara dua tokoh, Zahid dan Hishamuddin.


Zahid adalah bekas ketua pemuda ketika Hishamuddin menjadi naib ketua pemuda. Oleh itu Hishamuddin yang dijangka mengambilalih kerusi timbalan presiden apabila Zahid menjadi Presiden Umno selepas PRU akan datang. Jadi tidak timbul isu Hishamuddin akan menggantikan Najib.


Hasil keputusan PRU pada tahun 2018 akan menyaksikan Najib berundur dan beri laluan kepada Zahid.,Maka Zahid adalah pilihan yang tepat untuk menggantikan Najib.












ZAHARIN KENA TARIK BALIK POSTING FACEBOOKNYA



Petang semalam Datuk Zaharin Mohd Yasin telah menulis posting mengenai projek Bandar Baharu Kuala Nerus dalam Facebooknya. Kebetulan ketika beliau menghantar postingnya itu, saya ada di sisi beliau dengan Yusof Merah, Hidayat Fansuri, Shahbudin Embun, Datuk Yusof Chemor, Roslay Raffaie, Datuk Azman dan Datuk Johan Che Pa di kafe Sepiring di Sunway Putra Mall.

Posting beliau berbunyi seperti berikut: "Nak salah siapa? Di Trengganu sebuah negeri Melayu tetapi sebuah syarikat Cina diberikan projek PFI membangunkan projek Bandar Baru Kuala Nerus dengan harga RM600juta.. Khabarnya nama syarikat ialah Lizzi dari Ipoh. lepas itu pemimpin UMNO Trengganu menjerit 'Hidup Melayu' Jangan hipokrit dan menipu Melayu."

Posting itu menjadi viral dan heboh di Terengganu seolah-olah ada ahli politik yang mahu menjatuhkan MB, Ahmad Razif Abdul Rahman yang memberi info kepada Zaharin sedangkan projek ini sudah lama dan bukannya baru dilaksanakan. Projek ini dirancang pada zaman bekas MB lagi, Datuk Seri Ahmad Said dan ia adalah arahan dari atas.

Ia bukan projek tender biasa tetapi projek PFI (Private Fund Inisiative) di mana kontraktornya mengeluarkan modal sendiri dan apabila projek itu siap baru syarikat berkenaan dapat bayaran dari kerajaan negeri. Tuduhan Zaharin yang mengatakan syarikat Lizi yang dapat projek itu adalah tidak benar.

Projek itu diberi kepada Casa Hartamas syarikat 100 peratus Melayu.Macam biasa orang Cina di belakangnya Liu bekas partner Lizzi. Jadi ia bukan syarikat Lizzi. Ia adalah syarikat Liu. Ia bukan tender biasa. Mana ada orang Melayu mampu jalankan PFI tanpa sokongan orang Cina?

Di Kemaman kontraktor kelas F jual projek kepada Ong orang kuat MCA. Ong bukan orang Cina? kalau projek RM200,000 orang Melayu tak mampu buat, apatah lagi projek RM600 juta. Mana ada orang Melayu mampu. Sebab itu ia disub kepada Liu.


Oleh kerana tuduhan Zaharin tidak tepat maka sewajarlah Zaharin menarik balik posting tersebut sebelum Lizzi menyaman beliau. Liu sudah lama berpecah dengan Lizzi dan Liu tiada kaitan dengan Lizzi lagi.









SIAPA KATA ZAHID TIDAK LANCAR BAHASA INGGERIS?



Hari ini tokoh baru dalam Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mengungkitkan kononnya Bahasa Inggeris Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi tidak lancar dalam Malaysiakini.

Saya telah mendengar ucapan Zahid dalam you tube. Bagi saya, tidak timbul soal beliau tidak lancar membaca teks dalam bahasa Inggeris cuma loghat Jawanya masih ada walaupun berucap dalam Bahasa Inggeris.

Oleh itu ia bukanlah kesalahan yang besar kerana mesejnya jelas boleh difahami oleh ahli-ahli persidangan UNGA itu. Sepatutnya kita puji Zahid walaupun beliau bukanlah lulusan dari Oxford University tetapi beliau mampu berucap dalam Bahasa Inggeris. Zahid bukan seperti TPM lain yang pernah belajar di sekolah Inggeris sebaliknya beliau bersekolah agama Sekolah Agama Izudin Shah di Ipoh.

Kalau beliau bersekolah Inggeris tapi tak lancar bercakap bahasa Inggeris barulah boleh beliau dianggap tidak fasih berbahasa Inggeris. Dalam sidang media, beliau selalu menjawab soalan dalam Bahasa Inggeris. Ini menunjukkan Zahid mampu berbahasa Inggeris dan tak perlulah Syed Saddiq menyuruh beliau ambil kelas Bahasa Inggeris. Siapa kamu nak ajar Zahid, Syed Saddiq?

Budak hingusan seperti Syed Saddiq tampil kononya menasihatkan  TPM untuk belajar bahasa Inggeris, wahai Syed Saddiq kamu siapa untuk mengajar seorang Timbalan Perdana Menteri, ketika kamu masih hingusan dan mungkin masih memakai lampin  TPM sudah bergelar ahli parlimen ketika kamu mula bersekolah tadika TPM sudah menjadi pengerusi Bank Simpanan Nasional dan ketika kamu baru masuk sekolah rendah beliau telah terdedah dengan dunia politik antarabangsa.

Siapa kamu nak menasihatkan  TPM? saya rasa kamu yang perlu pergi belajar ilmu dan adab menghormati orang yang lebih tua dari kamu dan cara menghormati seorang pemimpin.

Apa gunanya fasih berbahasa inggeris jika tiada ilmu dan adab? apa gunanya akal jika tidak mahu menggunakannya. Inikah anak muda yang PPBM mahu banggakan, anak muda yang tidak beradab?

Apa perlunya nasihat dari seorang kaki kelab dan kaki joget seperti syed saddiq, saya harap  TPM janganlah
layan seorang kaki kelab seperti Saddiq ini, mungkin ketika beliau mengeluarkan kenyataan ini beliau sedang mabuk atau pun sedang berseronok di kelab-kelab malam.

Akhir kalam, nasihat saya kepada saddiq habiskan sekolah kamu dahulu dan belajar ilmu serta adab bagaimana menghormati orang sebelum ingin memberi nasihat kepada orang yang lebih tua dari kamu.

Orang Jawa memang tidak hilang slang Jawa seperti mana orang Kelantan bercakap bahasa Inggeris dengan slang Kelantan. Oleh itu tidak timbul Zahid kurang fasih berbahasa Inggeris.Malah jika kita tengok siri popular Mind Your Language, orang India yang bercakap bahasa Inggeris dalam siri tersebut bercakap dalam slang India yang menyebabkan penonton ketawa.

Nampaknya netizen lebih nampak benda yang remeh dari segi sebutan sedangkan isi kandungan ucapan Zahid di perhimpunan UNGA itu yang wajar diulas.

Isnin, September 26, 2016

KENAPA SPR TIDAK TAMBAH KERUSI?



KUALA TERENGGANU – Sekurang-kurangnya empat kawasan parlimen dan 16 kawasan Dun baharu perlu diwujudkan di negeri ini berdasarkan faktor asas termasuk jumlah bilangan pengundi.

Pengarah Jabatan Pilihan Raya Terengganu, Ariffin Deraman berkata, perkara itu sepatutnya dipertimbangkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memandangkan sudah 23 tahun tidak berlaku persempadanan semula melibatkan pertambahan kerusi dengan pertambahan kali terakhir berlaku pada 1993.

Berdasarkan cadangan baharu bagi persempadanan semula negeri ini khususnya, Ariffin berkata, ia sekadar melibatkan pecah sempadan pilihan raya iaitu perubahan masuk dan keluar peti undi dalam kawasan Dun atau Parlimen yang dilihat lebih bersifat politik.

“Sudah 30 tahun pertambahan Parlimen dan Dun tidak dibuat. Menjadi tugas SPR mencadangkan supaya tambah Dun dan Parlimen dan bantahan itu serahkan kepada kami iaitu orang politik (untuk membahas) khususnya di peringkat Dun.

“SPR tidak sepatutnya keberatan kerana khuatir tidak dapat sokongan dua pertiga daripada kerajaan atau pembangkang (jika pertambahan kerusi disyorkan). Kami berasa kesallah usul di Terengganu sudah 30 tahun dan kalau 10 tahun akan datang tetap begini, maknanya 40 tahunlah persempadanan tidak akan berlaku… dan satu-satu Dun akan mengalami jumlah pengundi yang besar. Di Dun mungkin mencapai 30,000 hingga 50,000 pengundi manakala Parlimen mungkin sampai 150,000 pengundi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di Pejabat Perhubungan Pas Terengganu di Jalan Sultan Omar, di sini.

Ariffin yang juga Adun Alor Limbat turut mencadangkan SPR lebih berani memberi cadangan pertambahan kerusi dan tidak memikirkan kesukaran mendapatkan sokongan dua pertiga khusus di Terengganu kerana ia menjadi tanggungjawab ahli-ahli politik untuk membahaskannya di sidang Dun.

Jelasnya, menerusi usul persempadanan oleh SPR ketika ini, jumlah bilangan pengundi yang dikenal pasti di satu-satu Dun menjadi tidak seimbang dan di Wakaf Mempelam memperlihatkan pertambahan pengundi sehingga kira-kira 31,000 orang.

“Kalau tengok Dun Bukit Besi kira-kira 12,000 orang, Paka 24,000, Sura menjadi 25,000. Kenapa Bukit Besi sampai tinggal 12,000 orang? Sepatutnya purata 18,000 hingga 20,000. Jumlah bilangan yang munasabah,” katanya.

Beliau berkata, pertambahan kerusi Dun dan Parlimen bertujuan mengelak kesulitan dan menyelesaikan masalah di sempadan daerah yang ketika ini wujud satu Dun dalam daerah dan Parlimen berasingan.

Sebagai contoh katanya, Dun Teluk Pasu berada dalam daerah Kuala Terengganu tetapi berada dalam Parlimen Kuala Nerus, Dun Alor Limbat (Parlimen Marang, daerah Kuala Terengganu) dan Jabi (Parlimen Setiu, daerah Besut).

Ulasan saya, ura ura Terengganu dapat tambahan kerusi baru parlimen dan DUN sudah lama kedengaran tapi tidak dilaksanakan kerana BN hanya menang 17 kerusi daripada 32 kerusi. Ini membuatkan SPR tidak tambah sebarang kerusi baru di Semenanjung. Tambahan pula di Dewan Rakyat pun, BN tidak mendapat sokongan majoriti dua pertiga.

Dahulu pada cadangan asal parlimen Kemaman dipecah dua dengan Datuk Ahmad Shabery Cheek menjadi ketua penaja bahagian yang baru hasil dari pecahan parlimen tersebut. Tetapi oleh kerana BN Terengganu tidak mendapat sokongan majoriti dua pertiga, maka SPR tidak buat sebarang pertambahan kerusi parlimen dan DUN.

Cadangan Ariffin Deraman ini amat bagus. Oleh itu untuk pastikan berlaku tambahan kerusi pada masa akan datang, pengundi kena beri kemenangan besar kepada BN pada PRU akan datang supaya PRU ke 15 akan ada pertambahan kerusi DUN dan parlimen yang baru di Terengganu.

Sebab itu SPR hanya memindahkan Pusat Daerah Mengundi (PDM) di Semenanjunng tanpa mencadangkan pertambahan kerusi baru parlimen dan DUN. Di Terengganu, hanya melibatkan pertukaran nama DUN Buluh Gading dan DUN Sekayu.

LAWATAN AHMAD ZAHID KE NEW YORK MENINGGALKAN KESAN

NEW YORK, 25 Sept (Bernama) -- Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata beliau telah melaksanakan tugas mengetuai delegasi Malaysia ke Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNGA) bagi sesi ke-71 dan melakukan yang terbaik seperti yang diamanahkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak kepada beliau.

"Pada hemat saya, saya tidak akan pernah menggagalkan kepercayaan dan amanah perdana menteri apabila ia diberikan kepada saya untuk saya berbincang dan persembahkan di pentas antarabangsa," kata timbalan perdana menteri.

Ahmad Zahid, yang juga Menteri Dalam Negeri, memberitahu demikian kepada media Malaysia dalam rumusan mengenai lawatan kerja beliau ke New York mulai 17 hingga 25 Sept bagi mengetuai delegasi Malaysia di UNGA.

Beliau berkata berdasarkan sifat perikemanusiaan, Malaysia telah menyuarakan beberapa isu berkaitan dunia Islam seperti Syria, Palestin dan Rohingya pada Perhimpunan Agung dan mesyuarat lain yang berkaitan.


"Walaupun Malaysia mungkin bukan menjadi pemain dan pelakon utama tetapi kita boleh menyumbang untuk turut terlibat dalam isu kemanusiaan sejagat ini," katanya.

Ahmad Zahid berkata beliau gembira bahawa perkara-perkara yang dibangkitkan beliau dalam ucapan pada perbahasan umum Perhimpunan agung pada Sabtu menjadi satu keseimbangan kepada kebimbangan tempatan dan antarabangsa.

Ucapan beliau berkisar tema keganasan; Palestin; pelarian, migran dan perhambaan moden; perubahan iklim; Rancangan Malaysia Ke-11; Strategi Lautan Biru Kebangsaan; dan kesukarelawanan.

Ahmad Zahid juga mengambil peluang untuk memaklumkan Perhimpunan Agung itu dan memperkenalkan buku mengenai deradikalisasi, suatu benteng Malaysia yang ingin dikongsi Kuala Lumpur dengan negara-negara lain bagi menghadapi ancaman kumpulan pengganas.

Ia telah diterjemahkan ke dalam bahasa Inggeris, Perancis dan Arab.

Selain menyeru masyarakat dunia untuk bersatu menentang keganasan pada Sabtu, Timbalan Perdana Menteri telah memaklumkan Mesyuarat Majlis Keselamatan Peringkat Tinggi mengenai Syria pada Rabu bahawa selepas tempoh lima tahun, sudah tiba masanya untuk menyelesaikan konflik di Syria.

Ahmad Zahid mendapat pujian kerana menarik perhatian kepada realiti serius yang dihadapi Syria terutama kanak-kanak, apabila penduduk dihujani dengan bom dalam konflik yang bermula pada 2011.

Beliau bertemu Perdana Menteri Lubnan Tammam Saeb Salam di luar UNGA untuk mendapatkan bantuan Lubnan berhubung hasrat Malaysia untuk menyambut migran Syria termasuk dalam bidang pemeriksaan keselamatan.

Beliau juga meningkatkan perhatian mengenai keadaan yang sama buruknya di Palestin dengan sekatan ke atas Gaza, perluasan penempatan haram Israel, pembinaan dinding haram yang berterusan, pemindahan paksa rakyat Palestin dari rumah mereka dan pencabulan hak asasi manusia rakyat Palestin.

Ahmad Zahid berusaha sedaya upaya dalam usaha mendapatkan penyelesaian kekal berhubung kehadiran 150,000 pelarian dan pemohon suaka di Malaysia dalam perbincangan dengan ketua agensi pelarian PBB Filippo Grandi.

Lawatan rasminya begitu berjaya dengan mendapatkan ikrar daripada Motorola Solutions untuk memindahkan operasi dua kemudahan syarikatnya ke Malaysia, dalam apa yang dilihat sebagai satu tanda keyakinan buat negara Asia Tenggara itu.

-- BERNAMA

Ahad, September 25, 2016

PM DUA PENGGAL UNTUK RAIH SOKONGAN

KOTA BHARU, 24 Sept (Bernama) -- Cadangan agar tempoh perkhidmatan Perdana Menteri dihadkan dua penggal sahaja hanya untuk meraih sokongan semata-mata, kata Ketua Penerangan UMNO Tan Sri Annuar Musa.

Katanya cadangan Naib Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Datuk Seri Mukhriz Mahathir itu hanya tertakluk kepada parti berkenaan sahaja kerana beliau tiada hak untuk mencadangkan perkara itu kepada parti lain.

"Kadang-kadang ada jenis orang yang suka mencadangkan kepada orang lain untuk membuat sesuatu tetapi dia sendiri tidak berbuat seperti apa yang dicadangkan," katanya kepada pemberita selepas Majlis Mesra Oghe Tere (Orang Ketereh) di Bukit Marak di sini, hari ini.

Annuar yang juga Anggota Parlimen Ketereh turut yakin rakyat tidak tertarik dengan cadangan berkenaan.

Kelmarin, Mukhriz dilapor berkata parti itu akan mencadangkan supaya tempoh perkhidmatan perdana menteri dihadkan kepada dua penggal sahaja sekiranya kerajaan baharu ditubuhkan selepas pilihan raya umum ke-14, bagi mengelak krisis pentadbiran.

DR SALLEH BIDAS MEDIA BARAT TIDAK LAPOR SAMAN 1MDB DITOLAK

KUALA LUMPUR, 24 Sept (Bernama) -- Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak membidas Wall Street Journal (WSJ) dan media Barat lain kerana tidak melaporkan tentang penolakan saman yang difailkan di Amerika Syarikat terhadap 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Salleh berkata "anehnya", penolakan saman itu semalam digelapkan media berbanding gembar-gembur yang ditimbulkan mereka serta kontroversi yang tercetus apabila ia difailkan pada 11 Ogos 2016.

"Saman oleh konco-konco Tun (Dr) Mahathir itu menjadi berita dan mencetuskan kontroversi di peringkat global apabila ia difailkan pada 11 Ogos (2016). Tetapi, anehnya, WSJ dan media Barat lain tidak melaporkan bahawa semalam, saman itu ditolak," katanya dalam kenyataan hari Sabtu.

Saman bersama itu difailkan bekas setiausaha politik Tun Dr Mahathir Mohamad, Matthias Chang, dan bekas naib presiden PAS, Datuk Husam Musa terhadap 1MDB, Goldman Sachs, penerbit filem, Riza Aziz dan syarikatnya, Red Granite Pictures.

Saman itu dikatakan diketepikan pada tengah hari Jumaat, tetapi tiada alasan diberi tentang penolakannya.

Salleh berkata penolakan saman itu, yang menurut beliau, memang tidak berasas sejak mula lagi, juga membuktikan ia semata-mata untuk mencari publisiti bagi memanipulasi persepsi orang ramai.

Menurut beliau, ia juga adalah sebahagian daripada rancangan Dr Mahathir untuk mensabotaj 1MDB dan merosakkan ekonomi Malaysia bagi menyingkirkan kerajaan yang dipilih secara demokrasi.

"Dan semua ini adalah atas sebab politik peribadi, semata-mata untuk memberi manfaat kepada anaknya, Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

"Tun Mahathir tentu kecewa apabila setiap cubaannya untuk meruntuhkan demokrasi Malaysia telah gagal. Mereka akan terus gagal. Satu daripada kehebatan seseorang pemimpin sebenar ialah tahu bilakah beliau patut berundur secara diam-diam," katanya.

Salleh berkata walaupun banyak cubaan dilakukan Dr Mahathir untuk memperkecil-kecilkan kerajaan pimpinan Barisan Nasional, tetapi ia tetap mendapat pengiktirafan badan antarabangsa, termasuk Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).

Ketua Pengarah UNESCO, Irina Bokova dalam satu kenyataan baru-baru ini memuji kerajaan Malaysia di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak kerana mengambil pendirian tegas terhadap ekstremisme keganasan melalui pendidikan dan langkah bersifat terangkum, yang dianggap UNESCO sebagai langkah pencegahan jangka panjang paling berkesan bagi menentang pihak yang mengancam untuk memecahbelahkan masyarakat.

Beliau juga memuji Malaysia kerana menjadi contoh kepada negara daripada pelbagai peringkat pendapatan.

Katanya Malaysia menjadi bukti bahawa sikap menghormati kepelbagaian merupakan suatu sumber kekuatan dan negara ini menerajui usaha menggalakkan pengajaran agama bagi memupuk toleransi serta sikap saling menghormati dan saling memahami.

Kata Salleh: "Tumpuan kerajaan tidak akan terpesong oleh cubaan Tun (Dr) Mahathir yang semakin terdesak. Perdana menteri akan terus berkhidmat kepada rakyat dan memberi keutaman terhadap keselamatan serta kemakmuran mereka."

-- BERNAMA



Jumaat, September 23, 2016

USAH PEDULI DENGAN SPEKULASI

Menteri Besar Terengganu Ahmad Razif Abd Rahman berkata spekulasi mengenai pertukaran empat menteri besar sebelum pilihan raya umum akan datang, disebarkan pihak yang mahu menimbulkan konflik sesama ahli Umno.

"Usah peduli dengan apa sahaja spekulasi dan khabar angin yang tersebar ketika ini," katanya kepada pemberita selepas majlis menyambut kepulangan beliau dan isteri Halina Zakaria dari Tanah Suci selepas menunaikan ibadah haji, di Seri Iman di Kuala Terengganu hari ini.

Sehubungan itu, beliau meminta ahli Umno supaya tidak terpengaruh dengan spekulasi itu kerana ia sekadar khabar angin.

Menurutnya kepimpinan Terengganu akan meneruskan agenda dan fokus pilihan raya umum akan datang dengan berusaha menunaikan janji untuk memanfaatkan rakyat negeri ini.

Sebelum ini, spekulasi tersebar kononnya Ahmad Razif, Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob, Menteri Besar Kedah Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah dan Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Mohamad Hasan akan ditukar sebelum pilihan raya umum diadakan.

- Bernama

Khamis, September 22, 2016

MENGUKUHKAN LAGI SAF PERPADUAN MELAYU

(sudah disiarkan dalam Berita Harian 22 September)
Oleh SHAHBUDIN HAJI EMBUN.





Pada 22hb September semalam berlangsungnya Persidangan Tahunan Majlis Perundingan Melayu (MPM) yang ke 7 . Penulis akan menceritakan sedikit tentang latar belakang majlis ini bagi memberi sedikit penerangan tentang MPM, khasnya bagi pembaca yang masih tidak tahu akan peranan dan tugas MPM .

MPM ialah sebuah badan bukan kerajaan (NGO) yang menjaga kepentingan bangsa Melayu di Malaysia dalam konteks negara Malaysia yang mempunyai pelbagai kaum , etnik, budaya, agama dan sebagainya. Secara umumnya tujuan penubuhan MPM ialah untuk memperkukuh saf perpaduan dalam memperkasa masyarakat Melayu.

MPM dianggotai oleh pelbagai tokoh dan individu Melayu dan bumiptera yang mencipta nama dalam pelbagai bidang di Malaysia. Antara tokoh-tokoh yang terdapat dalam MPM ialah seperti Tun Mohamad Haniff Omar, Tan Sri Abu Zahar Ujang, Tan Sri Dr Yusuf Noor , Tan Sri Abdul Aziz Rahman serta ramai lagi ahli professional dan cendiakawan yang telah memberi sumbangan yang besar kepada negara.

Setiausaha Agong Majlis Perundingan Melayu (MPM) Datuk Dr Hasan Mad mengharapkan juga anak-anak muda hari ini memandang tokoh –tokoh yang terdapat dalam MPM ini sebagai satu model peranan untuk golongan ini."Kehadiran tokoh-tokoh ini boleh menimbulkan semangat mereka untuk menjadi bangsa Melayu yang berjaya,"ujar beliau lagi.

Dan pastinya ramai di antara kita yang masih ingat lagi akan Perhimpunan Gerakan Perpaduan Melayu yang telah dianjurkan pada tahun 2015. Perhimpunan ini telah dianjurkan oleh MPM dengan kerjasama Universiti Teknologi Mara (UiTM), Majlis Amanah Rakyat (Mara), Dewan Bahasa dan Pustaka, Unit Peneraju Agenda Bumiputera (Teraju), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), dan Biro Tatanegara (BTN) .

Dalam perhimpuanan tersebut Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak telah menggariskan tujuh amanat utama sebagai panduan untuk bangsa Melayu melangkah maju di abad ke-21 dan menjadi sebuah bangsa yang kuat, hebat dan bermaruah.

Amanat tersebut termasuklah keperluan melatih orang Melayu menjadi bangsa berpengetahuan dan mengukuhkan ekonomi mereka. memperjuang kepentingan agama Islam dan syiarnya; mempertahan institusi raja Melayu dan keistimewaan orang Melayu; menegakkan maqasid syariah dengan bersikap sederhana; menjaga nilai-nilai murni; dan menjaga institusi keluarga.

Ini hanyalah imbas kembali apa yang berlaku pada tahun lepas. Dan pastinya kita mengharapkan segala yang dikrar sedang dan akan terus diusahakan demi memantapkan lagi perpaduan dan kekuatan bangsa Melayu.

Jika dilihat pada sejarah pula, bangsa Melayu sebenarnya sudah lama hebat sejak dari beribu tahun yang lampau. Daripada beberapa kajian yang telah dilakukan terdapat bukti untuk mempercayai bahawa sejak dari dahulu lagi dikatakan bangsa Melayu sudah mula bertapak serta pernah membina tamadun yang lebih hebat daripada barat dan juga Negara China.

Dan perlu diingatkan juga bahawa satu ketika dahulu Kerajaan Melayu Melaka merupakan antara kerajaan Melayu terhebat serta mendapat pengiktirafan sebagai pusat dagangan utama di dunia . Mungkin yang paling penting, ialah mengapa semenjak dari dahulu lagi, kita sering mendengar daripada kajian-kajian yang dilakukan bahawa, bangsa Melayu sentiasa dikaitkan dengan perkembangan, ketamadunan dan peradaban yang tinggi, khasnya di rantau Asia Tenggara ini.Dan dalam kajian terbaru, Tapak Warisan Arkeologi Sungai Batu di Lembah Bujang, kini dipercayai sebagai tamadun tertua di Asia Tenggara. 

Penemuan ini juga berkemungkinan besar membuktikan bahawa bangsa Melayu selama ini adalah sebuah bangsa yang pernah mempunyai satu ketamadunan yang maju dan tinggi .Bahkan tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa Orang Melayu adalah kumpulan pertama yang mendiami dan membina tamadun di Alam Melayu dan Pentas Sunda.

Apa yang dijelaskan di atas menggambarkan bahawa Bangsa Melayu pernah menjadi satu bangsa yang hebat. Generasi hari ini perlu diberitahu akan kehebatan bangsa Melayu yang telah wujud sejak lama dahulu. 

Dan diharapkan persidangan MPM yang bakal diadakan ini, akan terus membincangkan pelbagai agenda yang boleh menjadikan Melayu sebagai sebuah bangsa yang lebih hebat , bermaruah dan berkat.






KUASA MUTLAK PM BUBAR PARLIMEN

KUALA LUMPUR, 22 Sept (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mempunyai hak mutlak untuk menentukan tarikh pembubaran Parlimen untuk pilihan raya umum akan datang, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak.

Salleh berkata kerajaan sebaliknya kini memberi tumpuan dalam menangani pelbagai isu berkaitan rakyat sebelum pembentangan Bajet 2017.

"Ia adalah prerogatif Najib untuk menentukan bila beliau mahu membubarkan parlimen... matlamat kami sebagai kerajaan bukan hanya untuk mengadakan pilihan raya, tetapi lebih kepada tumpuan dalam memberi khidmat kepada rakyat," katanya kepada pemberita selepas merasmikan KL Converge! 2016 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di sini hari ini.

Beliau mengulas laporan media asing yang memetik seorang pemimpin UMNO bahagian dari sebuah negeri di selatan tanah air, yang enggan dikenali, sebagai berkata pilihan raya umum akan diadakan pada Mac tahun depan. Salleh, yang juga Bendahari UMNO, berkata sekiranya pilihan raya umum diadakan awal, beliau yakin rakyat akan terus menyokong kerajaan yang memerintah.

"Kami (Barisan Nasional) yakin bahawa majoriti rakyat berdiri teguh di belakang kami. Apa yang mereka mahu adalah kestabilan dan kesinambungan pembangunan tanpa campur tangan orang luar," katanya.

Mengenai paparan video tentang kemasukan pendatang asing tanpa izin Indonesia ke Tawau, Sabah, yang menjadi viral di media sosial, Salleh berkata sekiranya perkara itu benar, tindakan sewajarnya harus diambil terhadap individu yang bertanggungjawab.

Video selama 11 minit itu adalah hasil rakaman media asing untuk menunjukkan betapa mudah pendatang asing tanpa izin Indonesia memasuki Tawau.

Ditanya mengenai 'campur tangan' Wall Street Journal dan The New York Times berhubung isu pembiayaan Permata, beliau menjelaskan tindakan itu sebagai satu usaha untuk merosakkan nama baik negara.

"Media asing itu mempunyai agenda tertentu untuk menjejaskan kestabilan negara kita," katanya.

-- BERNAMA

HASRAT MAHATHIR NAK JATUHKAN PM SUDAH BERKECAI

KUALA LUMPUR, 21 Sept (Bernama) -- Datuk Seri Najib Tun Razak berkata Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah telah menjelaskan kepada Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa baginda tidak boleh mencampuri usaha yang dibuat Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM).

Perdana menteri berkata, beliau telah dimaklumkan oleh Yang di-Pertuan Agong, yang telah menerima menghadap Dr Mahathir yang juga Pengerusi PPBM, di Istana Anak Bukit, Alor Setar, Kedah, minggu lepas.

"Dalam pertemuan itu, baginda mengambil maklum perkara yang dibangkitkan oleh Tun Dr Mahathir.

"Walau bagaimanapun, Yang di-Pertuan Agong turut menjelaskan kepada Tun Dr Mahathir bahawa baginda tidak boleh mencampuri usaha yang dibuat oleh PPBM," kata Najib dalam satu kenyataan hari ini.

Perdana menteri berkata, ini kerana deklarasi dibuat PPBM tidak mengikut perlembagaan dan sebarang tindakan sepatutnya diuruskan menurut amalan lazim iaitu melalui Parlimen dan sistem pilihan raya bagi rakyat membuat keputusan.

Ulasan saya, dengan penjelasan PM ini maka hasrat Dr Mahathir mahu gunakan Agong untuk memecat Najib dari jawatan PM sudah berkecai. Maka beliau kena tunggu PRU akan datang untuk menjatuhkan Najib secara demokratik.

Seperti biasa, jika PBBM gagal menumbangkan BN, maka SPR yang akan dijadikan kambing hitam kononnya SPR tidak berlaku adil sewaktu melaksanakan persempadan semula kawasan pilihanraya.

Selasa, September 20, 2016

DI ZAMAN KADIR JASIN, AKHBAR NST BEBAS KE?



SHAH ALAM – Malaysia adalah antara negara yang mengamalkan sekatan ke atas kebebasan media, kata Dekan Fakulti Komunikasi Seni Visual dan Perkomputeran Universiti Selangor, Prof Dr Azmuddin Ibrahim.

Beliau berkata demikian ketika merujuk kepada laporan kajian kebebasan media oleh Freedom House.

Menurut, kajian tersebut telah melihat kepada beberapa sudut misalnya pemilikan, undang-undang, tekanan politik dan sebagainya dan memutuskan negara ini bukan sebahagian daripada negara yang mengamalkan kebebasan media.

“Tentu sekali media kita tidak pernah merdeka. Kalau kita merujuk kepada laporan kajian tentang, Malaysia memang tidak mengamalkan kebebasan dalam media.

“Kajian ini telah dilakukan lebih di 200 negara dan tidak ada sebab untuk kita tidak percaya dengan hasil kajian tersebut,” katanya seperti yang dipetik menerusi menerusi Wacana Sinar Harian bertajuk 'Merdekakah Media Kita?' di Universiti Selangor, di sini, semalam.

Wacana yang bermula jam 2.45 petang itu turut disertai Tokoh Wartawan Negara, Datuk A Kadir Jasin; Ketua Pengarang Projek MMO, Fathi Aris Omar dan aktivis media yang juga bekas Pengarah Eksekutif South East Asian Press Alliance, Gayathtry Venkiteswaran.

Katanya lagi, pengamal media sepatutnya diberikan kesempatan untuk melaporkan sesuatu isu dan perkara secara tepat serta telus.

“Itulah tanggungjawab sebenar pihak akhbar iaitu untuk berkongsi sesuatu maklumat yang betul dan menjadikan masyarakat yang penuh informasi.

“Masyarakat berinfomasi dapat menjadikan negara semakin aman dan lebih maju ke hadapan. Kalau masyarakat pada keseluruhannya tidak mengetahui perkara sebenar, macam mana negara nak maju?” katanya lagi.

Ulasan saya, adakah media di zaman Kadir Jasin lebih bebas dari sekarang? Ketika beliau menjadi Ketua Pengarang NST, adakah beliau bebas menulis atau menerima arahan daripada pejabat PM tentang berita utama?

Jika beliau turut menerima arahan dari pihak atas, ini bermakna apa yang berlaku sekarang sama dengan yang berlaku di zaman beliau.

Saya masih ingat gara gara menulis rencana pengarang Utusan Malaysia di zaman Tunku Abdul Rahman, Ahmad Boestamam terpaksa meletakkan jawatan kerana rencana pengarang akhbar Umno itu tidak ngam dengan cita rasa Tunku.

Di zaman Tun Razak, setiausaha politiknya Abdullah Ahmad Kok Lanas mengawal akhbar harian lebih teruk lagi. Di zaman Dr Mahathir, Watan menyiarkan gosip Dr Mahathir sakit pun, ketua pengarang Watan, Fickry Haji Yaacob dipanggil Dr Mahathir dan memarahi Fickry tanpa menyuruhnya duduk.

Jadi di mana letaknya kebebasan akhbar yang mahu diperjuangkan oleh Kadir Jasin? Oleh itu jika Ku Seman diarah meletakkan jawatan kerana tulisannya mengkritik 1MDB ia bukan satu kejutan tetapi satu tradisi yang telah berlaku dalam media sejak Malaysia merdeka lagi. 

Jika di Malaysia tiada kebebasan akhbar, sudah lama portal berita seperti Malaysiakini diharamkan. Di negara ini masih ada kebebasan akhbar tetapi kebebasan yang terkawal kerana jika ia tidak dikawal maka isu perkauman dan agama akan menjadi bahan utama akhbar di negara ini.

Isnin, September 19, 2016

UMNO PUN TAK PUAS HATI DENGAN SPR



Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor Tan Sri Noh Omar menyelar sikap pembangkang kerana tidak memahami proses 
persempadanan semula kawasan pilihan raya, selain asyik menyalahkan kerajaan berhubung perkara itu.

Beliau berkata usul persempadanan semula dikemukakan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) itu turut menyebabkan UMNO tidak berpuas hati kerana ia dijangka mengurangkan jumlah pengundi Melayu di beberapa kawasan dahulunya mempunyai majoriti pengundi Melayu yang tinggi di Selangor.

"Contohnya di Ampang, kalau dahulu, satu kerusi Parlimen dan dua Dewan Undangan Negeri (Lembah Jaya dan Bukit Antarabangsa), ketiga-tiga UMNO bertanding.

"Tapi dengan persempadanan baharu ini, saya rasa UMNO mungkin tidak dapat tiga kerusi itu di Ampang," katanya ketika diminta mengulas mengenai hasrat pembangkang mengadakan pilihan raya kecil di Selangor berikutan usul persempadanan itu.

Noh, yang juga Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan
Tempatan, berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Penyampaian Watikah Kepada Presiden Tribunal baharu Tribunal Tuntutan Pembeli Rumah (TTPR) dan Tribunal Pengurusan Strata (TPS) di kementeriannya di Putrajaya, hari ini.

Setiausaha SPR Datuk Abdul Ghani Salleh sebelum ini, memaklumkan kajian semula itu dilaksanakan mengikut peruntukan Fasal (2) Perkara 113 Perlembagaan Persekutuan dan pindaan kepada Fasal (2) Perkara 14 Perlembagaan Negeri Sabah yang diwartakan pada 18 Ogos lepas.

Mengikut persempadanan semula itu, SPR turut mencadangkan penambahan satu kerusi baharu Damansara, yang meliputi kerusi Petaling Jaya Utara sebelum ini, dengan bilangan pengundi melebihi 150,000 orang.

Penasihat DAP Lim Kit Siang dilaporkan mendesak supaya Selangor mengadakan pilihan raya mengejut ekoran cadangan persempadanan semula, yang didakwa sengaja 'mengubah' peta negeri itu.

Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor semalam, dilaporkan berkata UMNO akan meneliti usul persempadanan itu dan akan dibincangkan pada mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO pada 30 September ini.

-Bernama

Ahad, September 18, 2016

JANGAN PANIK! ITU PANDANGAN KOLUMNIS JOCELINE TAN



Menjelang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU 14) akan datang, Perdana Menteri Datuk Seri Najib
Razak dijangka akan membuat 'perubahan' untuk memastikan BN kekal berkuasa.

Akhbar berbahasa Inggeris The Star yang memetik sumber berkata, perubahan yang akan dilakukan termasuk menukar menteri besar di empat negeri- Pahang, Terengganu, Kedah dan Negeri Sembilan.

"Perdana Menteri perlu pemimpin baru untuk menerajui jentera di negeri tersebut," kata sumber itu yang dipetik sebagai berkata.

Spekulasi mengenai perubahan dalam jentera kerajaan Umno telah giat diperkatakan selepas Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob baru-baru ini berkata mungkin tidak akan mempertahankan kerusi DUN Pelangai yang telah disandangnya sejak 1986.

Adnan membuat kenyataan itu beberapa hari selepas dia mengejutkan Dewan DUN dengan meletakkan 'pen di antara jari di kakinya' bagi menolak khabar angin kononnya beliau tidak sihat.


Di Kedah pula, The Star melaporkan, perancangan Najib untuk menukar menteri besar itu ekoran kesihatan Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah yang kerap ke hospital.

Begitu juga dengan Negeri Sembilan, Menteri Besarnya Datuk Seri Mohamad Hasan turut mempunyai masalah kesihatan ketika beliau dikatakan sakit semasa menghadiri Mesyuarat Agung Umno bahagian Rembau.

Ulasan saya, semua pihak jangan panik! Berita yang ditulis oleh  Malaysiakini berdasarkan kolumnis mingguan The Star, Joceline Tan. Ia  adalah  pandangan peribadi penulis dan bukannya berita yang dilaporkan oleh The Star.

Gambaran yang diberikan oleh Malaysiakini seolah-olah ia adalah berita rasmi dari akhbar The Star. Setiap hari Ahad, bila saya baca The Star, saya tidak miss membaca analisis mingguan Joceline Tan. Tulisannya tidak berpihak kepada sesiapa jadi ramai yang panik bila membaca tulisan Joceline Tan semalam.

Berdasarkan keadaan semasa, kemungkinan tiga MB yang sakit, Ahmad Bashah, Adnan Yaacob dan Mohamad Hassan akan digugurkan dalam PRU akan datang. Adnan Yaacob sendiri sudah buat keputusan tidak mahu bertanding lagi dalam PRU akan datang.

Walaupun tidak bertanding dalam PRU akan datang, beliau tetap akan mengetuai jentera PRU Pahang. Apabila BN membentuk kerajaan semula, barulah beliau akan menyerahkan baton jawatan MB kepada orang baru sama ada Datuk Shakar atau Datuk Shaharudin Moin atau Datuk Sheikh Fauzi.

Oleh itu tidak mungkin jawatan MB bertukar sebelum PRU sama   ada di Pahang, Kedah atau Negeri Sembilan. PRU mungkin dipercepatkan pada bulan Mei 2017, maka tidak mungkin Razif Abdul Rahman digugurkan sebagai MB. Dalam tempoh lapan bulan, apa yang MB baharu dapat buat  untuk hadapi PRU akan datang? Oleh itu biar Razif membuktikan kepada PM bahawa Umno Terengganu di bawah kepimpinannya lebih baik keputusan PRU  daripada hasil keputusan Ahmad Said 17-15 pada PRU 2013.




Sabtu, September 17, 2016

SPR DITUDUH BERAT SEBELAH TAPI SETIAP KALI PRU BN TETAP KALAH



PONTIAN, 17 Sept (Bernama) -- Dakwaan pembangkang mengenai persempadanan semula oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang berat sebelah dan mahu memenangkan UMNO dan Barisan Nasional (BN) hanya bertujuan untuk memburukkan UMNO.

Anggota Majlis Tertinggi UMNO Datuk Razali Ibrahim berkata niat pihak pembangkang ialah mahu menimbulkan keraguan dan menyemai dalam minda rakyat agar percaya kerajaan sebenarnya menguasai badan bebas itu.

"Saya nak ulang balik, kalau kita boleh kuasai SPR, jangankan risau pada persempadanan semula, kita juga boleh menang pilihan raya," kata beliau dengan sinis selepas merasmikan persidangan perwakilan UMNO Bahagian Pontian di sini hari ini.






Razali yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri berkata dakwaan pembangkang itu telah bermula dari dahulu lagi.

"Mereka (pembangkang) timbulkan persoalan ini supaya menimbulkan perasaan tidak enak kepada rakyat dan masyarakat yang akhirnya tidak percaya kepada kerajaan.

"Bila mula tidak percaya kepada kerajaan, mereka (rakyat) akan bertindak menolak wakil BN pada pilihan raya yang akhirnya undi tersebut akan berpihak kepada pembangkang," kata Razali.

Ahli Parlimen Muar itu juga berkata bukan sahaja pembangkang, tetapi mana-mana pihak juga boleh mengemukakan bantahan sekiranya tidak berpuas hati dengan proses persempadanan semula yang kini sedang berlangsung.

Razali berkata demikian ketika mengulas kenyataan Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang semalam yang mendakwa persempadanan semula bagi Pilihan Raya Umum ke-14 berat sebelah bagi mengekalkan Umno berkuasa.

Selain itu, Kit Siang mendakwa persempadanan semula Pagoh bermotifkan politik dan mahu membunuh karier politik bekas Timbalan Presiden UMNO Tan Sri Muhyiddin Yassin apabila jumlah pengundi di situ dikatakan berkurangan berbanding pilihan raya lepas.

SPR mula mempamerkan Syor Kajian Semula Persempadanan Bahagian-Bahagian Pilihan Raya bagi Negeri-Negeri Tanah Melayu dan Sabah selama satu bulan bermula Khamis lepas (15 Sept) hingga 14 Okt.

Menurut SPR, bantahan mesti sampai kepada badan itu dalam masa sebulan bermula dari 15 Sept hingga 14 Okt ini.

Terdahulu, Razali merasmikan persidangan perwakilan UMNO Bahagian Pontian di Maktab Rendah Sains Mara, di sini hari ini.

Turut hadir Ketua UMNO Bahagian Datuk Ir Hasni Mohammad yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah negeri dan juga Datuk Ahmad Maslan, yang juga Timbalan Ketua UMNO Bahagian Pontian dan Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri.

-- BERNAMA

Jumaat, September 16, 2016

JANGAN PANDANG REMEH PERTANDINGAN DUA PENJURU

TELUK INTAN, 16 Sept (Bernama) -- Umno dan Barisan Nasional (BN) harus ambil serius dan memikirkan strategi terbaik bagi menghadapi kemungkinan berlaku pertandingan satu lawan satu antara parti pemerintah itu dengan pembangkang pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

Peringatan itu disuarakan Anggota Majlis Tertinggi Umno, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman, yang berkata kemungkinan itu boleh berlaku kerana pembangkang memang sudah lama bercita-cita untuk menumbangkan kerajaan sedia ada.


Namun, katanya, parti pembangkang tidak mungkin dapat membentuk sebuah kerajaan yang stabil kerana masing-masing mempunyai agenda perjuangan sendiri.

"Pemimpin dan ahli parti (Umno/BN) kenalah bersiap sedia dari awal untuk menjelaskan kepada rakyat mengenai dakyah dan fitnah yang dimainkan pembangkang.

"(Rakyat harus diberitahu bahawa) dasar-dasar parti mereka (pembangkang), kalau mereka berjaya membentuk kerajaan, ia tidak menjamin masa depan sebuah negara dan rakyat Malaysia yang berbilang kaum serta tidak menjamin masa depan orang Melayu," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Jamuan Perdana Sempena Aidiladha dan Penyampaian Insentif NKEA Padi EPP II Musim 1/2016 Kawasan Sungai Manik/Labu Kubong di sini, malam ini.

Dalam pada itu, Tajuddin, yang juga Anggota Parlimen Pasir Salak, berkata bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad sedang menyebarkan pelbagai dakyah yang tidak berasas dalam usahanya menjatuhkan Umno dan BN.

"Kerana itulah juga saya menyeru kepada semua pemimpin dan ahli Umno agar berwaspada kerana PPBM (Parti Pribumi Bersatu Malaysia) berkempen dengan menyebarkan dakyah yang merupakan tuduhan yang diasak tohmahan," katanya

Katanya ahli serta penyokong Umno perlu menyedari perkara ini dan mengambil tindakan yang tepat bagi memastikan apa yang dirancang oleh Dr Mahathir tidak berjaya.

-- BERNAMA


KALAU NAK BERI DISKAUN BERI KEPADA SEMUA JANGAN TERHAD PADA JAM 6 HINGGA 7 PAGI SAHAJA



Prasarana Malaysia Berhad hari ini mengumumkan diskaun tiket Sistem Transit Aliran Ringan (LRT) sebanyak 50 peratus kepada semua pengguna bagi laluan Kelana Jaya, Sri Petaling, Monorel dan Sunway BRT.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Azmi Abdul Aziz berkata, orang ramai akan menerima diskaun itu bermula esok sehingga pada suatu tarikh yang akan diberitahu kelak.

Bagaimanapun tawaran ini hanya terbuka kepada mereka yang menggunakan Touch 'n Go, kad MyRapid, MyRapid Smart 7, MyRapid Smart 30 dan kad konsesi MyRapid.

Kata Azmi, potongan diskaun 50 peratus itu juga hanya pada hari Isnin hingga Jumaat dan di antara jam 6 hingga 7 pagi sahaja.

Jelasnya, pihaknya memberi diskaun pada waktu berkenaan bagi membolehkan orang ramai menggunakan LRT di luar waktu puncak.

"Kalau kita masuk stesen dan tap kad pada pagar sebelum 7 pagi, tak kira pukul berapa anda keluar, tambang diskaun tetap 50 peratus.
"Kita buat begini sebab kita belajar daripada bandar dari negara lain yang menghadapi masalah sama. Mereka tahu kapasiti kereta api mungkin tidak dapat menampung pada waktu puncak.

"Sesetengah bandar mula memperkenalkan perkara ini untuk mengalakkan orang ramai keluar awal," katanya pada sidang media di ibu negara hari ini.

Selain itu Azmi berkata, pihaknya akan melihat sambutan orang ramai terhadap tawaran diskaun tersebut sebelum membuat keputusan sama ada akan menawarkan tawaran sama di waktu petang.
Ulasan saya, kalau nak beri diskaun beri kepada semua jangan beri kepada pemegang kad RapidKl sahaja. Orang yang beli tiket secara mahual pun kena beri diskaun juga. Kalau nak beri diskaun, beri kepada semua masa jangan beri kepada jam 6 hingga 7 pagi sahaja. Bodoh punya pengurusan Prasarana.

Rabu, September 14, 2016

PPBM GUNA ISU ANWAR UNTUK RAIH SOKONGAN

KUALA LUMPUR, 14 Sept (Bernama) -- Bekas Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dilihat cuba menggunakan isu pemenjaraan Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk meraih sokongan kepada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) yang baru ditubuhkan.

Tindakan Presiden Penaja PPBM itu, yang menyokong pembebasan bekas ketua pembangkang berkenaan, menyimpang daripada agenda perjuangan penubuhan parti baharu itu, menurut penganalisis politik, Datuk Prof Zainal Abidin Borhan.

Menyifatkan kenyataan sokongan itu sebagai 'cakap-cakap politik sahaja', beliau berkata soal pembebasan Anwar tidak boleh dilakukan sewenang-wenangnya sebaliknya perlu mengikut lunas undang-undang.

"Ia akan memberi kesan kepada pembangkang
kerana Bersih dan banyak pihak ingin membebaskan Anwar. Apa yang dilakukan Tan Sri Muhyiddin sakadar 'nasi tambah' untuk memanaskan suasana politik dan parti baharu sekaligus menjadikan parti itu relevan," katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.

Zainal Abidin mengulas laporan media yang memetik Muhyiddin sebagai menyokong pembebasan Anwar serta berikrar untuk menjadikannya agenda perjuangan parti itu.

Menjelas lanjut, Zainal Abidin berkata dalam tempoh dua tahun menjelang Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), tindakan itu sekaligus menunjukkan 'drama' pemimpin politik yang dahulunya berseteru tetapi kini boleh bersahabat semata-mata untuk menarik simpati dan sokongan rakyat.

"Kita tahu sejarah antara Tan Sri Muhyiddin dan Datuk Seri Anwar, dahulu lain sekarang cakap lain. Pokok pangkalnya apa sahaja yang berlaku, rakyat boleh menilai dan melihat pemimpin mana bercakap benar serta memahami cakap-cakap begini hanya untuk faedah politik," katanya.

Ketua Kluster Governans, Perundangan dan Pengurusan Awam Majlis Profesor Negara (MPN), Prof Dr Nik Ahmad Kamal Nik Mahmood turut senada dan menyifatkan tindakan Muhyiddin itu sebagai strategi parti baharu itu untuk menarik minat orang ramai.

Nik Ahmad Kamal berkata pembebasan Anwar merupakan isu lama yang diperjuangkan parti pakatan pembangkang untuk kepentingan politik semata-mata.

Pandangan sama turut dikongsi Geostrategis Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Prof Dr Azmi Hassan yang menyifatkan Muhyiddin telah menyimpang daripada objektif sebenar penubuhan PPBM.

"Jika PKR diasaskan atas matlamat bebaskan DSA, itu tidak menghairankan kerana antara pengasasnya adalah isteri Anwar. Tetapi PPBM ditubuhkan dikatakan untuk pertahan hak peribumi, maka Tan Sri Muhyiddin telah menjadikan PPBM sebagai agenda peribadi dan sanggup menyimpang daripada perjuangan asal demi menjatuhkan seteru terkini beliau iaitu UMNO.

"Mungkin juga penyokong asal PPBM akan merasa tertipu dengan kepimpinan PPBM kerana sanggup menjadikan PPBM kuda tunggangan PKR," katanya.

-- BERNAMA

JURUTERBANG CUAI PUNCA NAHAS HELIKOPTER



Laporan akhir berhubung nahas helikopter yang mengorbankan ahli parlimen Umno, Tan Sri Jamaluddin Jarjis dan lima yang lain tahun lalu mendedahkan unsur-unsur kecuaian di pihak juruterbangnya.

Menurut laporan setebal 117 muka surat yang dikeluarkan oleh Biro Penyiasatan Kemalangan Udara Malaysia, Kapten Clifford Fournier gagal untuk memeriksa kebocoran minyak berlebihan dan kerosakan bahagian lain helikopter itu selepas pendaratan kecemasan di sebuah padang bola sepak di Muadzam Shah, Pahang, tahun lalu .

"Juruterbang itu dilihat oleh seorang saksi keluar dari helikopter dan disertai oleh seorang penumpang,” petik laporan itu.

"Bagaimanapun, beliau (Fournier) tidak menjalankan sebarang pemeriksaan ke atas helikopter."

Laporan itu juga memetik beberapa perbualan yang direkodkan antara Fournier dan penumpang helikopter berkenan.

"Tidak normal bagi roda turun ke bawah sebegitu jauh ... Ia pasti tidak baik ,” kata Fournier ketika berhubung pendaratan itu.

Laporan itu menyebut dengan mengetahui bahawa pendaratan helikopter itu rosak, Fournier memutuskan untuk meneruskan penerbangan ke Lapangan Terbang Subang.

"Sebab paling mungkin untuk meneruskan penerbangan ini adalah untuk menampung permintaan penumpang untuk tiba di destinasi tanpa kelewatan ...," kata laporan itu.

Selain Fournier, nahas itu turut mengorbankan Tan Sri Dr Jamaluddin Jarjis, ketua setiausaha sulit perdana menteri Datuk Azlin Alias, ahli perniagaan Datuk Tan Huat Seang dan pengawal peribadi Jamaluddin, Koperal Razakan Seran serta kenalan juruterbang itu, Aidana Baizieva.

Isnin, September 12, 2016

MENCARI KETURUNAN DAENG MENAMPUK

Daeng Menampuk adalah anak Raja Bugis yang dititahkan oleh Sultan Johor, Sultan Sulaiman  Badrul Alam Shah untuk menabalkan adik Sultan, Tun Zainal Abidin sebagai Sultan Terengganu pada tahun 1708.

Dari keturunan Daeng Menampuk atau Raja Tua maka lahirlah Raja Haji Daud. Anak Raja Haji Daud ialah Raja Haji Muslimin yang membuka kampung Paloh dan Pulau Rusa. Beliau adalah orang Bugis yang membuka kedua-dua kampung tersebut. Manakala orang Bugis yang membuka Seberang Takir datang lebih kemudian dari Raja Haji Muslimin.

Anak Raja Muslimin, Raja Haji Muhammad menjadi pengiring Sultan Zainal Abidin III. Selepas Raja Haji Muhammad, beliau tidak membenarkan keturunannya menggunakan nama Raja. Tak tahu apa sebabnya.

Penulis sempat menemui keturunan Raja Haji Muhammad di Gong Tok Nasek, Cikgu Wahid Yusof , 75 tahun, bekas pensyarah di Maktab Perguruan Pasir Panjang.

Raja Haji Muhammad mempunyai 14 orang anak dari empat orang isteri iaitu Yusof,Abdullah, Chik, Mohd Zain, Yunus, Aishah, Nik, Awang, Embong,Muhamad Ali, Abdul Rahman, Muda, Wok dan Hassan.

Beberapa tokoh korporat dan politik berasal dari keturunan Daeng Menampuk ini. Antaranya Pengerusi Eksekutif Peremba, Tan Sri Razali Abdul Rahman; bekas ADUN Bandar, Azmi Lop Yusof; bekas calon-calon BN Wakaf Mempelam, Cikgu Latif Muda dan Othman Awang.

Tan Sri Razali anak Zawiah cucu Che Chik cicit Mohd Zain cuit Raja Haji Muhammad. Wahid pula adalah anak Che Endut cucu Che Wook  cicit Mohd Zain cuit Raja Muhammad. Ini bermakna Wahid adalah dua pupu Tan Sri Razali.

Bekas calon BN Wakaf Mempelam, Cikgu Latif anak Salma cucu Che Ngah cicit Che Abdullah cuit Raja Haji Muhammad juga. Cikgu Latif tiga pupu Tan Sri Razali.

Othman Awang yang juga bekas calon BN Wakaf Mempelam adalah anak Che Enong cucu Che Abdullah cicit Raja Haji Muhammad. Othman Awang adalah bapa saudara Cikgu Latif.







Bekas ADUN Bandar, Azmi anak Lop Yusof cucu Abdul Rahman cicit Hassan cuit Raja Haji Muhammad.

Manakala Zabidi Saidi penulis blog ini anak Zainun cucu Zaharah cicit Che Nik cuit Raja Haji Muhammad. Che Nik menikah dengan Haji Yusof Kampung Kolam cicit Datuk Lela Perkasa, Abdul Rahman Ishak yang dikenali sebagai Hang Tuah Terengganu dan Pegawai Daerah Kemaman yang pertama.

 Selepas Haji Yusof meninggal dunia dengan dua orang anak Zaharah dan Abu Bakar maka Che Nik menikah dengan Cikgu Haji Yusof Kemasik guru agama yang terkenal di Kemasik. Cikgu Haji Yusof juga berasal dari Paloh dan bau bau bacang dengan Che Nik. Beliau meninggal dunia pada tahun 1974 di Kemasik dan ribuan anak muridnya menghantar jenazahnya ke kubur di tepi masjid Kemasik yang menyebabkan jalan raya jem.

Zaharah yang duduk di Pasir Gajah mempunyai beberapa orang anak iaitu Zainun, Maznah, Zawiah dan Mohd.Fadzil manakala Abu Bakar yang duduk di Bukit Goh, Kuantan mempunyai beberapa orang anak iaitu Hasanah, Ahmad, Hamidah, Bakri, Haizam,Azran dan Haniza.

Manakala Mohd Radzi, jurutera Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) dan Mohd Kamal, pegawai anak syarikat Yayasan Terengganu adalah anak Mohd Shah cucu Che Awang cicit Raja Haji Muhammad. Adik beradik lain Mohd Radzi ialah Nasir, Noriah, Norehan, Norizan, Shukri dan Suhaimi.

Ketua Polis Pahang, Datuk  Seri Sharifuddin adalah anak  Abdul Ghani cucu Che Abdullah cicit Che Yunus cuit Raja Haji Muhammad. Manakala  Haji Omar bapa mertua ADUN Nenggiri di Gua Musang, Kelantan, YB Yusof Abdul Ghani adalah anak Che Nik cucu Che Abdullah cicit Che Yunus cuit Raja Haji Muhammad.

Cikgu Wahid meminta semua saudara maranya terus mencari waris-waris dari keturunan Daeng Menampuk  yang masih tak dapat dikesan yang berada di Losong, Manir, Teluk Pasu sebelah ibu Tokku Paloh dan lain-lain lagi.

Bagi keturunan Raja Tua atau Daeng Menampuk ini yang mahu mengetahui susur galur keturunan mereka boleh hubungi Cikgu Wahid di no telefon 09-6248088.


catatan gambar:-

1. Mohd Kamal Mohd Shah,  Wahid Yusof, Zabidi Saidi dan Mohd Radzi Mohd Shah
2. Zabidi dengan bapa mertua ADUN Nenggiri, Haji Omar
3. Carta keturunan Daeng Menampuk@ Raja Tua
4. Pengerusi Peremba, Tan Sri Razali Abdul Rahman
5. Bekas ADUN Bandar, Azmi Lop Yusof
6, Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Shariffuddin Abdul Ghani









KEHEBATAN UMNO DARI AKAR UMBI


OLEH SHAHBUDIN EMBUN
(sudah disiarkan oleh Berita Harian empat hari lepas)



Sejak kecil lagi, penulis akan sama-sama berasa teruja apabila mendengar berita seorang pemimpin , YB atau VIP akan datang melawat kampug penulis . Pada kebiasaannya kedatangan mereka ini untuk merasmikan surau ,balai raya atau sekadar menyantuni para penduduk kampung.


Ketika itu juga penulis dapat saksikan bagaimana penduduk kampung tidak tidur siang malam memikirkan apakah yang mesti dilakukan untuk menyambut ketibaan VIP ini.Pelbagai persoalan bermain di fikiran ketua kampung dan anak-anak buahnya. Adakah VIP ini suka dengan sambutan yang diberikan? Bagaimana pula dengan makanan. Adakah hidangan yang bakal diberikan cukup sedap dan sempurna untuk seorang yang bergelar YB?


Ketika itu juga tukang masak yang diiktiraf sebagai yang terbaik dalam kampung akan diberi tugas menggalas tanggungjawab ini.Dan apabila tibanya hari kedatangan YB atau VIP itu, maka kampung dalam sekelip mata akan menjadi meriah dengan pukulan gendang dan kompang menyambut ketibaan VIP itu.


Dan jika VIP itu bertaraf menteri, maka akan bertambah riuhlah suasana di kampung penulis.Semua penduduk kampung akan bercerita sehingga ke anak cucu bagaimana seorang bertaraf menteri sudi untuk datang ke kampung mereka. Sebenarnya senario seperti ini bukan sahaja berlaku di kampung penulis, bahkan boleh dikatakan berlaku di semua kampung di seluruh pelusok Malaysia.


Dan kini setelah 59 tahun merdeka, adakah senario yang sama masih lagi boleh dilihat? Adakah VIP atau YB  khasnya di kalangan pihak pemerintah akan terus disambut dengan penuh gilang gemilang? Sebenarnya, senario yang digambarkan di atas masih lagi diamalkan.


Dalam hal ini tidak salah rasanya untuk menunjukkan rasa terima kasih dan sayang kepada VIP yang telah banyak memberikan sumbangan dan membantu penduduk kampung? Mereka telah berjasa besar setelah diberi tanggungjawab oleh rakyat yang memberi kepecayaan dan mandat kepada mereka sebagai wakil rakyat.


Namun, bagaimana pula dengan pemimpin yang mendapat kedudukan serta pangkat dan kemudiannya tidak mengambil berat langsung akan apa yang berlaku pada rakyat yang memilih mereka. Pemimpin seperti inilah yang mesti dielakkan oleh mereka yang berada di akar umbi dan jangan sekali-kali melantik pemimpin seperti ini.

Baru-baru ini ketika merasmikan persidangan perwakilan UMNO Bahagian Jasin, Timbalan Perdana Menteri ,Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menjelaskan bahawa kehebatan pemimpin UMNO bukan datang daripada diri mereka semata-mata ,sebaliknya datang daripada sokongan anggota peringkat akar umbi parti.Apa yang Zahid Hamidi maksudkan ialah para pemimpin UMNO perlu sedar dan ingat bahawa kedudukan dan jawatan dipegang adalah suatu amanah dan tanggungjawab yang diberikan oleh anggota peringkat akar umbi parti.

Dan apabila kita membincangan tentang kedudukan serta pangkat, maka akan timbul pula isu protokol. Kita perlu menerima hakikat,  ada kalanya faktor protokol akan menyebabkan para pemimpin tempatan merasakan diri mereka tidak sesuai untuk turun padang dan mendekati orang kampung. Itu sebabnya soal protokol dalam UMNO perlu diketepikan jika UMNO mahu dilihat sebagai sebuah parti yang mesra rakyat.

Masyarakat Melayu khususnya masyarakat kampung akan sentiasa ingat jasa dan yang dicurahkan oleh para pemimpin, tidak kira dari peringkat manapun.Dan jika mereka melihat seorang pemimpin yang sanggup berpanas dan berhujan seperti mereka tanpa dilindungi oleh nyaman hawa dingin sebuah kereta mewah, maka pemimpin seperti inilah yang akan menyelamatkan UMNO.

Nasihat dan teguran oleh Zahid Hamidi ini perlu diambil iktibar khasnya oleh wakil-wakil rakyat UMNO yang “malas” untuk turun padang.Mereka perlu ingat bagaimana golongan rakyat membantu menaikkan mereka sehingga digelar Yang Berhormat.

Dan inilah masanya untuk mereka pula membalas budi dengan menggelarkan diri mereka sebagai “Yang Berkhidmat”.Tunjukkan kehebatan dengan menghulurkan bantuan dan sokongan kepada golongan rakyat . Janganlah jadi seperti pemimpin bermusim yang hanya muncul apabila ada pertandingan dalam pemilihan parti ataupun ketika hampirnya Pilihan Raya Umum.

UMNO kini berusia 70 tahun dan sudah dianggap sebagai satu institusi sosial yang memperjuangkan hak orang Melayu disamping mempertahankan juga kepentingan masyarakat majmuk di Malaysia. Itu sebabnya para pemimpin UMNO khasnya di peringkat cawangan dan bahagian perlu bekerja lebih keras untuk terus mendapatkan kepercayaan rakyat agar terus memberi mandat meletakkan kepercayaan mereka kepada UMNO .

Catatan gambar: Penulis sedang menziarahi kubur Tan Sri Dr Jamalauddin Jarjis

Ahad, September 11, 2016

KATA DAH BERDAMAI, TAPI MASIH HENTAM MB






Ramai yang tahu Menteri Besar Terengganu (MB), Ahmad Razif Abdul Rahman sudah berdamai dengan ADUN Kijal, Datuk Seri Ahmad Said tetapi yang peliknya semalam sewaktu merasmikan persidangan perwakilan Umno Bahagian Kemaman, Ketua Umno Bahagian Kemaman itu masih menghentam MB.

Dalam ucapannya Ahmad Said berkata tiga orang yang menjatuhkannya iaitu Azmi Abdul Rahman abang MB, MB sendiri dan Setiausaha Politik PM, Datuk Jailani Ngah. Beliau mengulangi kisah lama dalam ucapannya menyebabkan ramai yang keluar dari dewan sewaktu beliau berucap.

Beliau juga menghentam dua orang ahli jawatankuasa bahagian yang tidak hadir iaitu Datuk Mohamad Awang Tera dan Haji Mustapha Abdul Rahman. Mohamad yang juga Pegawai Pembangunan DUN Chukai diulang cerita oleh Ahmad Said menyokong PAS pada PRU yang lepas, mensabotaj calon BN, Datuk Wan Ahmad Nizam Wan Hamid yang juga bekas setiausaha politiknya yang kalah dalam PRU tersebut.

Manakala pegawai khas MB, Haji Pa dituduh Ahmad Said sapu duit perarakan bot di Kuala Kemaman. Nampaknya Ahmad Said ketinggalan zaman sedangkan Haji Pa sudah bersumpah dalam videonya di hadapan kaabah bahawa beliau tidak sapu satu sen pun duit perarakan bot.

Nampaknya majlis perasmian Umno Kemaman sudah menjadi medan menghentam pemimpin Umno sendiri dan bukannya menghentam parti pembangkang seperti PAS, PKR, Amanah dan Bersatu. Seronok ahli-ahli pembangkang mendengar ucapan Ahmad Said. Beliau juga suruh bahagian siasat kenapa seramai 287 orang perwakilan tidak hadiri persidangan. Seramai 686 orang hadir daripada 973 orang.

287 orang merupakan angka yang ramai. Pelik juga mereka berebut jadi perwakilan cawangan ke bahagian tetapi bila tiba persidangan bahagian tidak datang pula. Tak perlu alasan ada kenduri kahwin ke, kerana persidangan ini hanya setahun sekali. Kecuali ada kematian barulah ketidakhadiran mereka boleh dimaafkan. 287 orang ini perlu disenaraihitamkan supaya perwakilan cawangan tidak memilih lagi mereka sebagai perwakilan ke persidangan bahagian tahun hadapan.Umno Bahagian kena ajar 287 orang perwakilan ini supaya di masa akan datang mereka hadiri persidangan. Bagi saya, mereka mengkhianati mandat yang diberi oleh perwakilan cawangan kepada mereka.

Di Pasir Gajah, kampung saya, berebut orang nak jadi perwakilan tetapi kalah bertanding termasuk saya sendiri. Senang senang pula mereka tidak hadiri persidangan bahagian. Kalau tak nak pergi ke persidangan bahagian, tak perlu bertanding sebagai perwakilan cawangan ke bahagian.


Sabtu, September 10, 2016

PPR GUA MUSANG LAKSANA SISTEM SEWA DAN BELI PERTAMA



GUA MUSANG 9 Sept. – Seba­nyak 1,000 keluarga berpendapatan rendah di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Gua Musang menjadi penerima pertama sistem sewa dan beli rumah yang baru diper­kenalkan kerajaan.


Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Tan Sri Noh Omar berkata, sistem tersebut membolehkan penyewa memiliki rumah selepas membayar sewa bulanan dalam suatu tempoh masa yang akan ditetapkan.

Katanya, sistem itu juga dapat membantu penghuni rumah yang berpendapatan rendah serta berhadapan masalah mendapatkan pinjaman bank.

“Penerima rumah PPR Gua Musang boleh mendiami rumah berkenaan tanpa dikenakan sebarang bayaran pendahuluan dan konsep ini berlainan dengan rumah PPR yang dilaksanakan oleh pihak kerajaan sebelum ini.

“Kos rumah PPR adalah kira-kira RM150,000 seunit tetapi kita hanya jual pada harga RM35,000. Jumlah keseluruhan bagi projek pembinaan rumah PPR Gua Musang adalah RM150 juta,” katanya selepas Majlis Penyerahan Kunci Rumah Kekal Banjir (RKB) kepada 31 mangsa banjir, di sini semalam.


Yang turut hadir, Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah dan Ahli Dewan Undang­an Negeri Galas, Ab. Aziz Yusoff.

Menurut Noh, pihak kementerian turut bercadang untuk mewajibkan pemasangan lif di Projek Perumahan Rakyat (PPR) yang melebihi tiga tingkat.

“Sebelum ini lif hanya disediakan di rumah PPR yang melebihi lima tingkat. Saya akan kemukakan cadangan ini ke Kabinet setelah mengambil kira keperluan rakyat khususnya penghuni yang berumur serta mempunyai masalah kesi­hatan,” katanya.

Tambah Noh, pihaknya juga akan mengemukakan cadangan kepada kerajaan untuk menambah keluasan rumah PPR daripada 65 meter persegi kepada 74 meter persegi.

“Selain itu, pada minggu lepas, Kabinet bersetuju bahawa syarat kelayakan untuk memohon rumah PPR dilonggarkan iaitu in­dividu yang berpendapatan RM3,000 ke bawah juga layak memohon,” katanya.