Selasa, Julai 26, 2011

SPRM TERCEMAR


SPRM kena pastikan pegawai yang dilantik hendaklah seorang yang bersih, amanah dan tidak rasuah. Bila pegawai SPRM didakwa di mahkamah kerana terlibat dengan rasuah, ini sendiri menyebabkan orang ramai tidak yakin dengan kewibawaan SPRM.

Oleh yang demikian di masa akan datang SPRM perlu memilih orang yang benar-benar jujur dan ikhlas untuk menjadi pegawainya. Ambillah lebih ramai pegawai yang lulus dalam bidang agama supaya mereka ini lebih bertanggungjawab dengan tugasnya.

Seorang bekas penolong penguasa Badan Pencegah Rasuah (BPR) dihukum penjara enam bulan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur kerana menerima rasuah sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan terhadap bekas exco Selangor, Datuk Saidin Tamby.

Hakim Datuk Su Geok Yiam memerintahkan Rahiman Selamat, 52, menjalani hukuman itu mula hari ini selepas membenarkan rayuan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

SPRM mengemukakan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Sesyen membebas dan melepaskan Rahiman pada 2001 atas tuduhan menerima jam tangan Rolex Oyster Perpetual bernilai RM3,000 daripada orang tengah, yang juga peniaga kereta terpakai, Razif Kamaruddinas sebagai dorongan tidak mengambil tindakan terhadap Saidin.

Hakim juga menolak permohonan peguam tertuduh, Mohd Firuz Jaffril, untuk menangguhkan hukuman.

Rahiman didakwa melakukan kesalahan itu pada 17 April 1998 di Syarikat Golden Time, Lot 3.03, Tingkat Tiga, The Mall, Jalan Putra, di Kuala Lumpur.

Dalam prosiding hari ini, SPRM diwakili timbalan pendakwa raya Kevin Morais dan Wong Poi Yoke.

Pada 1999, Rahiman dan timbalan pendakwa raya dari BPR (kini SPRM), Mohd Razib Othman didakwa bersama menerima rasuah sebagai dorongan untuk tidak mendakwa Saidin.

Bagaimanapun, Mohd Razib didapati bersalah oleh Mahkamah Sesyen dan dihukum penjara dua tahun dan denda RM80,000 kerana menerima jam tangan jenama Philip Charriol bernilai RM4,215 melalu Razif pada 19 Mei 1998.

Pada 12 Februari tahun lepas, Mahkamah Rayuan mengekalkan keputusan Mahkamah Sesyen terhadap Mohd Razib.