Selasa, Mac 26, 2013

DR MUHAMMAD UTHMAN EL MUHAMMADY DALAM KENANGAN

Tokoh Maal Hijrah 2005 Dr Muhammad Uthman El-Muhammady, 70, meninggal dunia di kediamannya di Institut Antarabangsa Pemikiran Islam dan Ketamadunan (Istac) semalam akibat sakit jantung. Dr Muhammad meninggal dunia pada kira-kira 7.30 malam. Beliau meninggalkan seorang balu Mariam Hussain, 65, dan 11 anak iaitu tujuh perempuan dan empat lelaki, berumur antara 20-an dan 40-an serta lebih 40 cucu. Anak lelaki Allahyarham, Ahmad, 35, berkata bapanya tidak menunjukkan sebarang perubahan atau mengadu sakit namun kelihatan letih siang tadi. "Allahyarham ketika itu sedang membaca buku dan mengadu kepada ibu saya yang beliau letih dan ingin tidur, sebelum ibu menyedari bapa saya telah meninggal dunia dalam tidur," katanya kepada pemberita ketika ditemui malam ini. Ahmad berkata bapanya juga sebelum ini tidak menunjukkan kelakuan pelik namun Allahyarham kelihatan begitu gembira pada Ahad lepas ketika berkumpul bersama anak serta cucunya. Beliau berkata Allahyarham yang menghidap sakit jantung sejak setahun lepas juga sempat menterjemah dua buku agama. Allahyarham akan dimandi dan disembahyang di Masjid Universiti Islam Antarabangsa (UIA), Gombak pada 9 pagi sebelum dikebumi di Tanah Perkuburan Islam UIA selepas solat Zohor. Dr Muhammad, yang merupakan tokoh pemikir Islam tanah air, dilantik Felo Kehormat Institut Kefahaman Islam Malaysia sejak 1995 hingga 2008, sebelum dilantik semula hingga 2010. Allahyarham juga adalah Felo Amat Utama Akademik Istac UIA dan anggota lembaga pemegang amanah Yayasan Karyawan, juga pensyarah sambilan peringkat ijazah sarjana dalam perbandingan agama di Universiti Teknologi Mara (UiTM). Saya mengenali beliau ketika bertugas di Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (YPK) dari tahun 1997-2001. Beliau adalah pakar agama YPK yang dijemput setiap bulan untuk berceramah dalam majlis YPK. Oleh kerana saya adalah Penolong Pengarah Program YPK saya telah diarah untuk mengatur ceramah buat beliau yang diadakan di setiap daerah di Terengganu. YPK mempunyai ramai pakar termasuk Prof Dr Hamid Arshad, Dr Ismail Thamby, Prof Datuk Dr Lokman Saim dan ramai lagi. Oleh kerana ramai pakar datang dari Kuala Lumpur, maka YPK sediakan tiket kapal terbang kepada mereka dan kami pegawai YPK sebagai pegawai pengiring menyambut mereka di lapangan terbang Sultan Mahmud. Tetapi oleh kerana Dr Uthman tinggal di Pasir Mas, biasanya kami pergi ke Psir Mas mengambilnya dan menghantarnya balik dengan kereta volvo pejabat. Banyak kali saya berpeluang mengiringi beliau. Beliau adalah seorang intelektual yang suka membaca dan ilmunya amat luas. Saya difahamkan tesis B.Anya di Universiti Malaya terus diiktiraf menjadi tesis M.A kerana hebatnya penyelidikan beliau. Beliau adalah satu-satunya ulama yang boleh berceramah dalam dua bahasa, Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris. Oleh itu tidak hairan beliau dibawa Perdana Menteri,Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad ke Vatican City menemui Pope, padri besar di dunia. Hari ini negara kita kehilangan seorang ulama yang masyhur yang mempertahankan sunnah waljamaah dan beliau menentang fahaman wahabi secara konsisiten. Ilmunya yang tinggi kerana luas pembacaan menyebabkan beliau dihormati oleh semua cendekiawan tempatan dan antarabangsa. Alfatihah buat beliau.