Khamis, Oktober 31, 2013

KELUAR PENJARA DAPAT RM322,000

SHAH ALAM: Mahkamah Tinggi memerintahkan pihak penjara dan dua lagi membayar pampasan berjumlah RM322,000 kepada bekas Ketua Pegawai Eksekutif Permodalan BSN Bhd kerana cuai sehingga menyebabkan dia dipenjara melebihi tempoh. Hakim Hadhariah Syed Ismail juga memerintahkan defendan membayar kos sebanyak RM15,000 dan faedah pada kadar lima peratus daripada jumlah pampasan mulai tarikh penghakiman sehingga penyelesaian penuh kepada Ahmad Skhri Ramli. Ahmad Skhri menamakan Ketua Pengarah Penjara Malaysia Datuk Seri Zulkifli Omar, Pengarah Penjara Kajang Datuk Al Zafry Mohamed Nassif, Pengarah Penjara Bentong Mohd Sakeri Dollah, Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri Tan Sri Mahmood Adam dan Kerajaan Malaysia sebagai defendan. Dalam penghakimannya, Hadhariah berkata pegawai di bawah seliaan defendan didapati cuai kerana tidak mempedulikan aduan plaintif semasa di penjara bahawa dia sudah melunaskan sebahagian daripada denda yang dikenakan ke atasnya. Beliau berkata jika saksi defendan tidak mempercayai aduan plaintif kerana tiada resit pembayaran, mereka boleh menghubungi mahkamah bagi mendapatkan pengesahan. -- LAGI MAHKAMAH-CEO 2 SHAH ALAM Selain itu, Hadhariah berkata pihak penjara perlu memastikan tempoh pemenjaraan ke atas banduan adalah betul dan tidak boleh terkurang atau terlebih. Penyataan tuntutan menyebut Ahmad Shkri dihantar ke Penjara Kajang pada 4 Ogos 2009 selepas gagal membayar denda berjumlah RM300,000 bagi dua pertuduhan terlibat dalam urusan jualan singkat. Pada 21 Dis 2006, Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur mengenakan denda RM150,000 atau penjara enam bulan bagi setiap pertuduhan terhadap Ahmad Skhri mengikut Seksyen 41(2) Akta Perindustrian Sekuriti 1983. Dia kemudian membayar denda itu secara ansuran berjumlah RM220,000 dari 24 Okt 2007 hingga 4 Feb 2008. Bagaimanapun, pada 4 Ogos 2009, rayuannya ditolak Mahkamah Tinggi dan Ahmad Skhri dihantar ke Penjara Kajang pada hari yang sama kerana gagal membayar denda berkenaan sepenuhnya. Plaintif dijadual menjalani hukuman penjara selama setahun dan akan dibebaskan pada 3 Ogos 2010. Dia kemudian dipindah ke Penjara Bentong pada 4 Dis 2009 dan dibebaskan pada 18 Feb 2010 selepas pihak penjara menyedari plaintif sudah menjelaskan sebahagian daripada denda menerusi peguamnya. Tuntutan Ahmad Shkri mendakwa, jika diambil kira wang denda yang sudah dibayarnya, tempoh dia sepatutnya dipenjara ialah dua bulan tujuh hari sahaja dan bukan enam bulan 15 hari seperti yang terpaksa dijalani. Saman yang difail Tetuan Law Practice of Rafique pada 15 Feb lepas itu, antara lain, menuntut ganti rugi am dan khas, ganti rugi teruk, ganti rugi teladan serta wang denda yang dibayar plaintif kepada Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dikembalikan. Ahmad Skhri, ketika ditemui di luar mahkamah, berkata dia gembira dengan keputusan mahkamah setelah terpaksa meringkuk dalam penjara melebihi tempoh yang sepatutnya. Dia kini bekerja sebagai perunding sambilan dengan sebuah syarikat kontraktor. Plaintif diwakili peguam Muhamad Rafique Rashid Ali manakala Peguam Kanan Persekutuan Hani Aziza Ismail mewakili kesemua defendan. -- BERNAMA