Rabu, Januari 31, 2018

PM DAN TPM SERENTAK RASMI THAIPUSAM DI DUA KUIL BERASINGAN



KUALA LUMPUR: Kuil-kuil menjadi tumpuan bagi acara keagamaan yang disempurnakan penganut Hindu pada sambutan Thaipusam yang diraikan dalam suasana meriah hari ini.

Kuil Sri Subramaniar Swamy di Kuala Selangor menerima tetamu khas dengan kehadiran Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak manakala timbalannya Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menjadi tetamu kehormat pada sambutan di kuil dengan nama serupa di Batu Caves.

Di Kuala Selangor, ribuan penganut Hindu mula membanjiri kuil berkenaan sejak malam tadi bagi bersembahyang dan membayar nazar.




Najib yang tiba pada kira-kira 11 pagi disambut mesra oleh pengunjung dan pengerusi kuil itu, T. Morgana Sundram. Turut hadir Presiden MIC Datuk Seri Dr S. Subramaniam, Pengerusi Barisan Nasional Selangor Tan Sri Noh Omar dan anggota Parlimen Kuala Selangor Datuk Seri Dr Irmohizam Ibrahim.

Rumah ibadat itu menjadi tumpuan bukan sahaja penganut Hindu malah pelancong tempatan dan asing bagi merasai sendiri pengalaman sambutan Thaipusam di Malaysia yang dianggap unik berbanding di beberapa negara lain.

Di Kuil Sri Subramaniar Swamy di Batu Caves pula, Ahmad Zahid membawa khabar gembira dengan mengumumkan peruntukan RM2 juta kepada kuil itu untuk membangunkan sebuah kompleks kebudayaan masyarakat India.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Kuil Sri Subramaniar Swamy Devasthanam Tan Sri R Nadarajah, Duta Khas ke India dan Asia Selatan dalam bidang infrastruktur Tun Samy Vellu serta beberapa menteri kabinet, pemimpin masyarakat India selain ribuan penganut Hindu.

Thaipusam disambut penganut Hindu di seluruh dunia pada bulan 'Thai', iaitu bulan ke-10 dalam kalendar Tamil.

Pada perayaan Thaipusam, penganut Hindu menunaikan nazar dengan membawa kavadi dan bekas berisi susu. Bagi yang menyambutnya di Batu Caves, mereka menaiki ratusan anak tangga menuju ke kuil di dalam gua di situ.

Dalam perarakan tersebut, ada penganut yang membawa kavadi dan juga bekas mengandungi susu bagi upacara keagamaan. Orang ramai termasuk pelancong dalam dan luar negara turut bersesak sejak awal pagi untuk menyaksikan acara yang berlangsung.

Sementara itu Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berharap agar sambutan Thaipusam tahun ini akan menjadi sumber inspirasi kepada semua masyarakat untuk terus hidup dalam suasana keamanan, perpaduan dan kestabilan.

Najib berkata sambutan perayaan oleh penganut Hindu itu diharap akan terus menjadi lambang semangat Negaraku serta kebersamaan menuju masa hadapan yang gemilang.

"Marilah kita bersama-sama menghayati semangat sambutan Thaipusam bersama keluarga, sahabat handai dan kenalan yang beragama Hindu.

"Semoga semua masyarakat Hindu di Malaysia menyambut Thaipusam dengan penuh makna pada tahun ini," kata Najib menerusi video pendek bersempena sambutan Thaipusam yang dimuat naik di laman rasmi Twitter @NajibRazak.

Manakala Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berharap sambutan perayaan Thaipusam akan merapatkan jalinan perpaduan antara kaum di Malaysia.

"Hari Thaipusam merupakan keindahan masyarakat majmuk di Malaysia di mana setiap agama dan budaya tumbuh subur dan mekar tanpa sebarang sekatan.

"Hak kebebasan beragama terjamin di bawah Perkara 11 Perlembagaan Persekutuan. Tradisi mengekalkan budaya ini adalah atas muafakat pemimpin pelbagai kaum yang berkongsi kuasa di bawah kerajaan Barisan Nasional," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Justeru, katanya, kerajaan akan terus komited membangunkan aspek ekonomi, pendidikan dan struktur sosial masyarakat India di negara ini supaya mereka duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi dengan kaum lain.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri juga berkata sambutan Thaipusam di Batu Caves adalah yang terbesar sehingga Batu Caves disinonimkan seperti 'mini India' di mana ia dibanjiri oleh ratusan ribu penganut agama Hindu dari seluruh dunia.

"Batu Caves kini menjadi ikonik pelancongan peringkat antarabangsa. Ia juga menjadi 'lubuk rezeki' kepada para peniaga untuk membuka gerai menjual makanan, minuman, bunga, cenderahati, pakaian dan aksesori bagi menambah kemeriahan sambutan Thaipusam," katanya.

Oleh itu, pasukan keselamatan turut bersiap-siaga untuk berkawal dan menjaga keselamatan awam sepanjang sambutan.

Ahmad Zahid berkata beliau telah memberikan arahan supaya pasukan keselamatan berkawal bagi menjamin keselamatan awam.


Sambutan Thaipusam di Kuil Sri Subramaniar Swamy, Batu Caves di sini tahun ini telah dimeriahkan lagi dengan penampilan pedati emas setinggi 6.7m yang julung kali digunakan pada perarakan sambutan itu bersama pedati perak yang menjadi tradisi selama ini.

Pengerusi jawatankuasa kuil tersebut, Tan Sri R. Nadarajah berkata pedati emas bernilai RM5 juta itu dimasukkan dalam perarakan tahun ini bagi memberikan peluang kepada orang ramai untuk melihatnya.

Bagaimanapun, katanya, perarakan pedati emas tidak akan diteruskan pada tahun-tahun akan datang.

"Kami mahu memberi peluang kepada penganut Hindu di ibu negara untuk melihatnya kerana mereka telah turut memberikan sumbangan untuk membina pedati emas yang disiapkan khas tahun lepas bagi sambutan 'Vinyagar Sathurthi'.

"Pedati emas akan membawa arca Dewa Vinayagar manakala pedati perak seperti biasa akan menjunjung Dewa Murugan dan dua isterinya Dewi Valli dan Devi Theivanai," katanya kepada Bernama di sini.

Beliau berkata perarakan kedua-dua pedati itu bermula dari Kuil Sri Maha Mariamman, Jalan Tun H.S.Lee, di sini, pada jam 10 malam, Isnin lalu, dan dijangka tiba di di kuil Batu Caves pada jam 2 petang hari berikutnya.

Nadarajah berkata perarakan pulang dari Batu Caves hanya melibatkan pedati perak sahaja pada 1 Feb dan dijangka tiba di Kuil Sri Maha Mariamman pada tengah malam hari yang sama dan perarakan itu dijangka disertai seramai 200,000 penganut Hindu.


Nadarajah juga berkata seramai 1.5 juta penganut Hindu dan pelancong asing dijangka membanjiri Batu Caves yang terkenal dengan patung Dewa Murugan terbesar di dunia dengan ketinggian 42.7m pada sambutan Thaipusam tahun ini.

Beliau berkata kuil di Batu Caves yang turut menempatkan 400 gerai tidak akan ditutup dan beroperasi seperti biasa pada tempoh gerhana bulan yang dijangka berlaku pada malam hari Thaipusam.

Katanya, penganut Hindu boleh menunaikan nazar atau sembahyang pada waktu gerhana bulan pada hari berkenaan dan satu upacara khas (parigara pooja) akan diadakan pada malam itu selepas gerhana bulan.

Batu Caves merupakan kuil tunggal di negara ini yang akan membuka ruang kepada masyarakat India untuk menunaikan nazar pada tempoh berlakunya gerhana bulan.



Di Malaysia, Thaipusam turut disambut meriah di Kuil Sri Arulmigu Balathandayuthabani yang terletak di atas bukit di Pulau Pinang dan Kuil Arul Subramaniar yang terletak di kawasan batu kapur Gunung Cheruh, Ipoh, Perak.

Untuk memudahkan penganut Hindu dan pelancong pergi ke Batu Caves, Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) menyediakan perkhidmatan tren KTM Komuter tanpa henti selama tiga hari dua malam bermula Selasa (30 Jan) bersempena sambutan Thaipusam.

Pengurus Besar Jabatan Operasi KTMB, S. Mahendran berkata perkhidmatan tren 24 jam itu melibatkan 783 perkhidmatan dengan empat laluan tren tambahan iaitu Pelabuhan Klang-Batu Caves; Pelabuhan Klang-KL Sentral-Port Klang; Seremban-Batu Caves-Seremban dan Sentul-Batu Caves-Sentul bagi memberi kemudahan pengangkutan kepada orang ramai khususnya penganut agama Hindu serta pelancong, ke Batu Caves.

"Sepanjang tempoh tersebut, waktu operasi tren tambahan akan dilanjutkan selepas waktu perkhidmatan sedia ada terakhir, antara jam 10.50 malam hingga 5.30 pagi. Walaupun pada Rabu (31 Jan) dan 1 Feb itu jatuh pada cuti umum iaitu Thaipusam dan Hari Wilayah, waktu perkhidmatan KTM Komuter pada tempoh tersebut mengikut jadual waktu hari bekerja sedia ada dan bukannya jadual hari cuti umum.

"Ini membolehkan kekerapan perjalanan antara 15 hingga 20 minit mengikut jadual kerja biasa berbanding setengah jam sekali untuk jadual cuti umum," katanya.

Beliau berkata bagi memastikan kelancaran operasi dan keselamatan penumpang, KTMB telah menugaskan 400 kakitangan dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan St. John Ambulance.

PEMBANGKANG TIDAK PEKA DENGAN NASIB PEKEBUN SAWIT

KUALA LUMPUR, 29 Jan (Bernama) --Tindakan pemimpin Pakatan Harapan menemui 14 duta dan tiga wakil negara Kesatuan Eropah (EU) menggambarkan pembangkang tidak peka dan prihatin dengan masalah yang menimpa pekebun sawit susulan tindakan EU memboikot produk berasaskan minyak sawit.

Ketua Penerangan UMNO Perak Datuk Mohd Khusairi Abdul Talib berkata tindakan Pakatan Harapan serta Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia Tun Dr Mahathir Mohamad itu amat bertentangan dengan langkah 2,000 peneroka diketuai Pengerusi Felda Tan Sri Shahrir Samad yang berarak menghantar memorandum bantahan kepada 17 kedutaan negara anggota EU di ibu negara pada 16 Jan lalu.

"Tindakan peneroka itu tidak sekadar mempertahankan periuk nasi sendiri, malah kantung seluruh peladang dan pekebun kecil yang bergantung pendapatan kepada tanaman kelapa sawit, bukan sahaja di Malaysia, malah di negara seluruh dunia yang menjadi pengeluar dan pengeksport produk minyak sawit.

"Maka bertepuk soraklah negara anggota EU dengan anggapan pertemuan itu, ditambah pula dengan kehadiran Tun Dr Mahathir, sebagai satu pengiktirafan dalam kalangan ahli politik tempatan terhadap usaha mereka memboikot minyak sawit Malaysia, antara negara utama dunia yang mengeksport minyak sawit selain Indonesia," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Katanya pakatan itu tidak peduli sekiranya harga sawit jatuh akibat lambakan yang akan berlaku, asalkan matlamat untuk menjatuhkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan Barisan Nasional tercapai, biarpun terpaksa berpaut pada campur tangan kuasa asing.