Sabtu, November 29, 2008

WAN FARID CALON BN?


Pilihan raya kecil parlimen Kuala Terengganu akan diadakan dalam tempoh 60 hari mulai semalam berikutan kematian ahli parlimennya, Datuk Razali Ismail. Ini bermakna paling lambat pilihan raya kecil akan diadakan sebelum 28 Januari 2009.

Razali menang dengan majoriti 628 undi. Beliau mendapat 32,562 undi manakala calon PAS, Mohamad Sabu mendapat 31,934 undi dan calon Bebas, Maimun Yusof mendapat 685 undi.

Pilihan raya kecil ini menguji kekuatan Pengerusi Perhubungan UMNO Terengganu yang baru, Datuk Ahmad Said. Sejauh mana kepimpinan Ahmad Said diterima sebagai Pengerusi Perhubungan. Jika BN menang, maknaya kepimpinan Ahmad Said diterima, jika BN kalah, ini bermakna rakyat Kuala Terengganu menolak kepimpinan Ahmad Said.

Ahmad Said tentu pening kepala untuk memilih calon. Paling terbaik, pilihlah Datuk Wan Farid, Timbalan Menteri Dalam Negeri sebagai calon. Beliau adalah Ketua UMNO Bahagian tetapi tidak dipilih sebagai calon oleh bekas Pengerusi Perhubungan, Datuk Seri Idris Jusoh.

Wan Farid kena letak jawatan sebagai Senator untuk bertanding. Tetapi tidak semestinya ketua bahagian yang jadi calon. Walaupun bahagian Permatang Pauh mahu ketuanya, Datuk Jalil bertanding dalam pilihan raya kecil Permatang Pauh pada 28 Ogos lalu tetapi pucuk pimpinan memilih ADUN Seberang Jaya, Datuk Arif Shah Omar Shah sebagai calon.

Dalam barisan ahli jawatan kuasa bahagian, selain dari Wan Farid, timbalan ketua bahagian, Sabri Alwi dan naib ketua bahagian, Datuk Wan Hisham boleh juga dipertimbangkan sebagai calon. Kemungkinan Wan Hisham agak tipis kerana dia sudah kalah di DUN Ladang. Atau Ahmad Said ada pilihannya sendiri iaitu Ketua Penerangan UMNO Terengganu, Datuk Zubir Embong sebagai calon. Zubir adalah bekas ahli parlimen Kuala Terengganu dari tahun 1986 hingga 1990.

PAS pula mungkin meletakkan Mohamad Sabu sekali lagi atau Pesuruhjayanya sendiri, Datuk Mustapha Ali untuk berdepan dengan calon BN pada pilihan raya kecil ini. Atau Syed Azman, ADUN Batu Buruk ditonjolkan ke parlimen semula. Pendek kata pilihan raya kecil Kuala Terengganu amat sengit. Siapa yang menang sudah tentu menang dengan majoriti yang kecil. Jika BN mahu menang, BN kena letak calon yang boleh diterima oleh semua penyokong UMNO dan PAS seperti yang dilakukan oleh Allahyarham Datuk Razali sebelum ini.

Oleh itu jika Wan Farid dipilih sebagai calon, risikonya tetap ada. Dapatkah Wan Farid mempertahankan kerusi parlimen Kuala Terengganu? Jika Zubir dan Datuk Roslan Awang Chik menyokong penuh Wan Farid, tidak ada masalah untuk mengekalkan kerusi Kuala Terengganu.
Dahulu ramai orang marah kenapa Ahmad Said lantik Zubir sebagai Ketua Penerangan UMNO negeri dan Roslan sebagai Bendahari UMNO negeri, sedangkan niat Ahmad Said ikhlas untuk menyatukan pelbagai puak dalam bahagian Kuala Terengganu. Jika puak-puak ini bersatu, BN tidak ada masalah untuk mengekalkan kerusi parlimen Kuala Terengganu.

TERIMA KASIH


Hari ini genap dua bulan usia blog saya. Saya ucapkan terima kasih kepada semua pengunjung yang telah menyokong saya membaca blog ini. Hari ini sudah 12,392 orang lebih yang sudi menjenguk blog saya. Ini bermakna purata bulanan ialah 6,000 orang pengunjung. Saya bangga kerana walaupun blog ini masih baru, saya mula diterima oleh tuan-tuan dan puan-puan.

Pada mulanya semua pengunjung bebas menghantar ulasan. Bila banyak sangat ulasan yang menyentuh peribadi saya, maka saya terpaksa menapisnya. Dalam pada itu ada juga yang saya lepaskan walaupun ia menyentuh peribadi saya. Saya berharap sokongan ini akan berterusan. Saya akan terus mengulas apa sahaja isu. Oleh itu jika sesiapa yang tersinggung dengan ulasan saya, saya minta maaf. Teguran ini semua adalah untuk kebaikan kita semua.

DATUK RAZALI DALAM KENANGAN


Lebih kurang pada jam 7 petang semalam saya menerima call dari Pemangku Pengarah Unit Komunikasi, Roslan Abdul Rahman mengenai kematian Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Razali Ismail. Ketika itu saya dalam perjalanan ke sebuah hotel di Chow Kit untuk menemui seorang Pengerusi JKKK yang rapat dengan si mati, Haji Mohamad Ali.
Saya mula mengenali Datuk Razali Ismail ketika beliau menjadi Pengetua Maktab Perguruan Pasir Panjang (MPPP) lagi pada tahun 1997. Ketika itu saya bertugas di Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (YPK).

Kebetulan ketika itu YPK dan MPPP menganjurkan satu program di Kg. Banggol, Setiu. Maka kami sering bertemu dalam beberapa mesyuarat sebelum program itu berlangsung. Selepas itu kariernya meningkat sehinggalah beliau menjadi Pengarah Pelajaran Terengganu.

Pada tahun 2003, saya pernah meramalkan beliau jadi calon bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Berang dalam buku saya, KENAPA PAK LAH PILIH NAJIB?. Akhirnya beliau dipilih sebagai calon parlimen Kuala Terengganu pada tahun 2004. Walaupun beliau bukan orang Kuala Terengganu kerana dilahirkan di Hulu Terengganu, tetapi beliau menang dan dipilih sebagai ahli parlimen Kuala Terengganu.

Pada mulanya beliau dilantik menjadi Pengerusi PTPTN. Pada tahun lepas, ketika menjadi Editor akhbar Warta Parlimen Kepala Batas, saya pernah sms kepadanya minta tolong beliau arahkan pegawai PTPTN segerakan pembayaran pinjaman kepada anak saya kerana lambat dua bulan sedangkan pelajar lain semua sudah dapat pinjaman. Terus dia arah pegawai yang terlibat. Bukan marah marahnya pegawai itu kepada anak saya bila dia tahu saya mengadu kepada Pengerusi PTPTN.


Pada pilihan raya umum lalu, beliau dipilih mempertahankan kerusi Kuala Terengganu. Beliau berjaya mengalahkan Naib Presiden PAS, Mohamad Sabu dalam pertandingan tiga penjuru bersama calon Bebas, Hajah Maimun. Parlimen Kuala Terengganu mempunyai empat kerusi DUN. BN kalah tiga kerusi DUN tetapi parlimen masih menang. Ini menunjukkan penyokong PAS menyenangi pendekatan Datuk Razali yang melayan semua pengundi yang datang ke pejabat parlimennya tanpa mengira fahaman politik.

Menjelang pemilihan UMNO baru-baru ini, saya sempat menemuinya dengan Ketua UMNO Cawangan Kuala Ibai, Haji Mohamad Ali. Beliau berkata beliau bertanding jawatan Naib Ketua Bahagian kerana akur kepada arahan bossnya, Datuk Hishamuddin Tun Hussein yang mahu beliau ada tempat dalam bahagian.

Dalam pertemuannya itu juga dia beritahu kami bahawa Hishamuddin banyak menyerahkan tugas kementerian kepadanya. Hishamuddin tidak ragui kebolehan dan kemampuannya kerana beliau adalah bekas Pengarah Pelajaran. Malah Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengakui bahawa beliaulah bakal Menteri Pelajaran suatu hari nanti.

Dalam pertandingan tiga penjuru itu, Datuk Razali tewas kepada Datuk Wan Hisham Wan Salleh abang Ketua Bahagian, Datuk Wan Farid. Seorang rakan minta saya tulis mengenai kekalahan Datuk Razali dalam blog saya.


Selepas tulisan itu tersiar, saya sms kepadanya dan saya suruh dia baca blog saya. Dia ucapkan terima kasih dan dia amat kecewa dengan politik wang. Sebagai timbalan menteri, sepatutnya perwakilan pilih beliau tetapi oleh kerana dia tak hulur wang, maka dia kalah.


Saya tidak sangka tulisan mengenai kekalahannya dalam blog saya itu mendapat ulasan dari 24 orang pengunjung,yang merupakan ulasan paling tinggi dalam blog saya selama ini.

Datuk Razali akan dikenang sebagai ahli parlimen yang mudah didekati dan terbukti pendekatannya yang menyebabkan BN berjaya mengekalkan kerusi parlimen Kuala Terengganu walaupun PAS menang tiga kerusi DUN dalam kawasan tersebut. Al Fatihah buat Allahyarham Datuk Razali Ismail.