Jumaat, Mac 14, 2014
SEMOGA DOA JEMAAH UMRAH DI MEKAH TERMAKBUL SEGERA
SEPANG, 14 Mac (Bernama) -- Para jemaah yang akan menunaikan umrah di
Makkah akan turut berdoa bagi menemui semula pesawat Malaysia Airlines (MAS)
MH370 yang hilang sejak Sabtu lalu.
Penolong Jurutera Jabatan Kerja Raya, Ahmad Tarmizi Lim Abdullah, 54,
berkata beliau akan menggunakan sebaiknya masanya di sana nanti bagi membawa
bersama doa dan harapan rakyat Malaysia, agar ditemui semula pesawat itu.
Menyifatkan kejadian itu sebagai ketentuan Allah, katanya doa adalah senjata
paling utama bagi umat Islam, katanya kepada Bernama di Lapangan Terbang
Antarabangsa KL (KLIA) sebelum berlepas ke tanah suci hari ini.
Beliau pergi bersama isterinya Kamariah Husin, 53.
"Walaupun tidak berkesempatan untuk turut serta menunaikan solat hajat yang
dianjurkan di masjid, namun tanggungjawab saya sebagai rakyat Malaysia, saya
mengajak keluarga bersama-sama menunaikan solat hajat di rumah," katanya.
Pesawat Boeing 777-200 itu yang membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal
hilang setelah berlepas dari KLIA menuju Beijing, pada pukul 12.41 pagi Sabtu
lalu.
Operasi mencari yang memasuki hari ketujuh hari ini masih
gagal mengesan pesawat.
Rohani Awang, 60, dari Perlis berharap doanya di depan Kaabah agar pesawat
itu ditemui semula akan dimakbulkan.
"Apa pun kita mesti jadikan insiden ini sebagai iktibar untuk memperbaiki
diri kita," katanya yang sentiasa mengikuti setiap perkembangan di media massa.
Pekerja swasta Afzan Othman, 37, berkata semua pihak mesti optimis dan terus
berusaha mencari pesawat itu.
-- BERNAMA
RBN YAZ BBJ HK HM
Langgan:
Catatan (Atom)