Jumaat, September 25, 2009

REMAJA DILINDUNGI KANSER PAKAR RAHIM


Mulai tahun depan, remaja perempuan berusia 13 tahun di seluruh negara akan diberikan pelalian 'human papillomavirus' (HPV) bagi melindungi mereka daripada penyakit kanser pangkal rahim.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Liow Tiong Lai ketika mengumumkannya pada hari Jumaat berkata program itu akan menelan belanja RM150 juta setahun meliputi 300,000 remaja perempuan yang akan divaksin setiap tahun.

Program itu berkemungkinan dijalankan di sekolah-sekolah menengah dan bukannya di hospital atau klinik kerajaan bagi memudahkan pelajar mendapatkan vaksin tersebut iaitu tiga dos bagi setiap enam bulan, katanya.

"Perkara ini kita belum muktamadkan butirannya tetapi besar kemungkinan kita buat di sekolah-sekolah sebab sekolah-sekolah tempat terbaik untuk beri vaksin," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Klinik Bergerak Skuad Menangani Krisis MCA (CRSM) dan kempen kesedaran kesihatan di Kuala Lumpur.

Liow berkata melalui program itu, kementerian yakin penyakit kanser pangkal rahim di negara ini dapat diatasi dengan jayanya pada masa depan.

"Vaksin HPV dilaporkan 98 peratus berkesan dalam memberi perlindungan terhadap HPV jenis 16 dan 18... ada banyak jenis HPV. Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia, vaksin ini akan mengurangkan kekerapan berlaku kanser pangkal rahim sekurang-kurangnya 70 peratus," katanya.

Liow berkata vaksin itu sudah berada di pasaran negara ini dan boleh diperoleh di sektor swasta pada harga sekitar RM1,200 bagi tiga dos yang diberikan.

"Bagaimanapun, kita akan terus berunding dengan penyedia vaksin bagi mengurangkan harganya kepada RM500 seorang supaya orang ramai akan mendapat vaksin yang lebih murah," katanya.

Di Malaysia, kanser pangkal rahim merupakan kanser kedua kerap berlaku di kalangan wanita selepas kanser payu dara dan hampir 2,000 kes baru didiagnos di negara ini setiap tahun.

"Wanita Cina di negara ini mempunyai risiko yang lebih tinggi daripada wanita kaum lain iaitu 23.2 peratus berbanding India (16.4 peratus) dan Melayu (8.7 peratus).

"Jadi saya ingin menyeru para penyelidik kita untuk mengkaji fenomena yang aneh ini dan mencari sebabnya," katanya.

Liow juga menggalakkan semua wanita agar melakukan pemeriksaan "pap smear" secara berkala dan melakukan rawatan dengan awal jika dikesan menghadapi kanser tersebut.

"Menurut pakar perubatan, jika kanser ini dikesan dan dirawat dengan awal, kadar sembuhnya adalah lebih tinggi iaitu lebih daripada 90 peratus pesakit masih hidup selepas lima tahun, manakala jika pesakit datang lewat untuk rawatan, kurang daripada 15 peratus masih hidup selepas lima tahun," katanya.

KISAH SEORANG QARIAH


SERONOK mata memandangnya. Sentiasa tersenyum, sisipan lesung pipit di pipi begitu menarik perhatian. Malah khabarnya gadis berasal dari Ipoh ini juga mempunyai ramai peminat lelaki!

Manakan tidak, penampilan dan kebijaksanaannya membuang kelaziman pandangan orang ramai terhadap seorang qariah kebangsaan.

Bibir yang tidak pernah dibiar pucat, pilihan pakaian yang berwarna ceria dan petah menjawab soalan, naib johan Akademi Al-Quran musim ketiga TV9, Sharifah Khasif Fadzilah Syed Mohd. Badiuzzaman, 25, memiliki banyak kelebihan. Beliau memenangi johan qariah peringkat antarabangsa di Kuala Lumpur baru-baru ini.

"Bagi saya, biarlah melawan arus, daripada melawan akidah. Tentang pilihan berpakaian atau berfesyen, tepuk dada tanya selera. Apa yang penting ialah keikhlasan. Tuhan saja yang tahu keikhlasan kita," jawabnya tenang.

Tidak mengikuti pendidikan formal dalam pengajian Islam, anak kedua daripada tiga adik-beradik ini tidak pula melatah apabila ada yang mempersoalkan 'qariah bekerja di Astro?'

"Kalau bekerja dalam bidang sekular tidak semestinya seseorang itu tidak tahu mengaji. Begitu juga sebaliknya," katanya.

Pemegang Sarjana Muda Kewangan dari Universiti Tenaga Nasional (Uniten) ini sekarang bertugas sebagai pegawai di Jabatan Perkhidmatan Pelanggan di Pusat Penyiaran Asia Astro di Bukit Jalil.

Duduk berbual dengannya, nyata anak perempuan tunggal pasangan Syed Mohd. Badiuzzaman Al Yahya dan Zauyah Ahmad ini masih terkenangkan arwah bapanya.

Syed Mohd. Badiuzzaman baru pulang ke rahmatullah pada hari ketiga Ramadan lalu.

"Selama ini walid (bapa) menemani saya ke semua tilawah yang saya sertai. Dialah yang mula-mula mengajar saya mengaji dan mengesan bakat saya untuk bertaranum.

"Dia jugalah yang mendorong saya menyertai Akademi Al-Quran. Bukan kerana hadiah, tetapi kerana di dalamnya ada pembelajaran qiraati yang saya belum pelajari," kongsi Sharifah Khasif.

Kematangan yang terserlah pada bait pertuturannya rupa-rupanya datang dari era hidupnya sejak berumur empat tahun.

"Arwah walid seorang yang sangat garang. Saya takut padanya. Semasa bermain di laman rumah, kalau saya dan abang terdengar bunyi enjin motor walid, walaupun masih jauh, kami akan lari bertempiaran masuk ke dalam rumah.

"Kerana kalau dirotan walid, kami akan ingat rasanya sampai bila-bila," ujar Sharifah Khasif.

Fasih berbahasa Arab, si manis, bersama-sama abang sulungnya, sudah dilatih untuk mengaji lima kali sehari.

"Kami mengaji setiap kali selepas solat. Walid sangat bersungguh-sungguh melatih kami mengaji kerana minatnya yang mendalam dalam pengajian al-Quran.

Idolanya ialah qari dan qariah Allahyarham Datuk Ismail Hashim dan Datuk Rogayah Sulong.

"Walid sehinggakan sanggup pulang dari tempat kerja dan hantar kami pergi mengaji di masjid dan pondok-pondok. Kemudian dia pergi bekerja semula.

Hasilnya, pada hari ini tujuh jenis taranum dikuasai Sharifah Khasif, termasuklah bayati, soba, nahwand, rast, sikah, hijaz, dan jiharkah.

Walaupun mengakui takut setiap kali berdepan dengan bapanya, Sharifah Khasif bagaimanapun merasakan kehilangan yang besar berikutan pemergian bapanya itu.

"Sebenarnya, apa yang walid ajar dan katakan adalah baik untuk saya," ungkapnya sambil sekali-sekala menyeka air mata yang hampir tumpah.



Mengingati arwah bapanya, kata Sharifah Khasif, membuatkan dirinya lebih bersemangat untuk membaca al-Quran.

"Ini perjuangan walid. Walaupun saya yang membacanya, walid juga akan mendapat manfaatnya," ujarnya.

Mengakui mempraktik taranum adalah jauh lebih sukar berbanding menyanyi kerana ia perlu mengutamakan hukum tajwid, walkman menjadi alat yang dikelek ke sana ke mari sepanjang beliau belajar.

"Melalui walkman, saya dapat mencari kesilapan sendiri dan memperbaikinya untuk pembelajaran yang seterusnya. Ia alat yang paling penting," katanya yang begitu meminati taranum nahwand.

Sharifah Khasif menjadi johan tilawah kebangsaan Tenaga Nasional ketika berumur tujuh tahun.

Rentetan daripada itu, namanya terus mengisi rekod pencapaian dalam majlis-majlis tilawah. Beliau sehinggakan pernah menerima jolokan pelapis Datuk Rogayah Sulong.

Ketika usia mencecah 12 tahun, Sharifah Khasif meraih kejuaraan dalam Tilawah Sekolah-sekolah Malaysia. Hadiah daripada kemenangan itu membolehkan beliau mengerjakan ibadat haji pada usia yang sangat muda.

"Sepanjang saya bertanding, saya tidak pernah mengambil tahu tentang hadiah yang ditawarkan. Saya sekadar menyertai dan mengaji.

"Hadiah kemenangan, saya hanya ketahui setelah pihak penganjur mengumumkannya semasa majlis penyampaian hadiah," imbaunya yang menjadi naib johan Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Antarabangsa ke-50 di Pusat Konvensyen, Taman Tamadun Islam, Pulau Wan Man, Kuala Terengganu pada tahun lepas.

Malah melalui hadiah-hadiah yang dimenanginya itulah Sharifah Khasif mampu membawa ibu, bapa dan abangnya pergi mengerjakan haji, membina rumah yang baik untuk mereka dan membeli kereta untuk kegunaan sekeluarga.

Majlis khatam al-Quran pada bulan Ramadan adalah acara tahunan keluarganya.

Tidak pernah sekali pun dalam hayat beliau tidak dapat mengkhatam al-Quran melainkan semasa beliau menerima jemputan memperdengarkan bacaan di Iran pada tahun 2005.

"Kebetulan pula waktu itu bulan Ramadan. Kerana sibuk memenuhi undangan, saya tidak sempat menghabiskan kesemua 30 juzuk. Walid marah tapi saya ke sana pun untuk mengaji," katanya.

Bersiap sedia untuk berhari raya, Sharifah Khasif, pada tahun ini beraya dengan empat pasang baju baru.

"Ini tahun pertama beraya tanpa walid. Sedih mengenangkannya, tetapi kami perlu teruskan hidup. Jadi kami beraya ala kadar saja," jelasnya yang sebelum ini lazimnya beraya dengan lima pasang baju.

Masjid Negeri Perak menjadi destinasi setiap solat Hari Raya Aidilfitri bersama keluarga. Hidangan wajib ada di meja pula ialah lemang, ketupat, dan rendang daging.

PERGINYA SEORANG IDOLA


Bekas Menteri Besar Pahang, Datuk Abdul Rahim Abu Bakar meninggal dunia di kediamannya di Jalan U-Thant di Kuala Lumpur pukul 7.10 petang semalam dipercayai akibat serangan jantung. Allahyarham berusia 66 tahun.


Beliau merupakan seorang tokoh politik yang berprinsip yang mempertahankan wang rakyat ketika berkrisis dengan Sultan Pahang. Di atas ketegasannya itu maka Perdana Menteri, Tun Hussein Onn terpaksa tunduk kepada desakan Sultan Pahang yang mahu Rahim digantikan dengan Datuk Abdul Rashid Abdul Rahman sebagai Menteri Besar Pahang sebelum menghantar Datuk Seri Najib ke Pahang sebagai Menteri Besar baru pada pilihanraya umum 1982.


Ketegasannya itu menyebabkan beliau sering kali menang jawatan ahli majlis tertinggi UMNO. Sebelum UMNO terlibat dengan krisis istana di zaman Dr. Mahathir (1981-2003) menjadi Perdana Menteri, Rahim telah mencipta sejarah sebagai Menteri Besar yang enggan tunduk kepada kehendak istana.


Anak keduanya, Rosnita, 35, ketika ditemui Bernama di kediamannya berkata, bapanya sedang menunggu azan untuk berbuka puasa di meja makan apabila tiba-tiba didapati tidak lagi bernafas oleh ibunya, Datin Rosnah Kamaruddin.


Katanya, mereka segera menghubungi paramedik dari Pusat Perubatan Gleneagles Intan dan Abdul Rahim disahkan sudah meninggal dunia.


“Ayah tidak menunjukkan tanda-tanda pelik sebelum meninggal, bahkan setahu saya Allahyarham tidak menghidap sebarang penyakit tetapi berkemungkinan kematiannya akibat serangan jantung,” katanya.


Rosnita berkata, semua adik-beradiknya sempat menemui Allahyarham sebelum beliau menghembuskan nafas terakhir kerana masih berada di rumah itu sempena Aidilfitri.


Jenazah Allahyarham akan disembahyangkan di Masjid Kampung Pandan sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Taman Kosas selepas solat Jumaat hari ini.


Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Noh Omar ketika ditemui menyifatkan pemergian Abdul Rahim sebagai kehilangan besar dalam arena politik negara khususnya kepada UMNO. Allahyarham selaku Yang Dipertua Angkasa.


Allahyarham meninggalkan seorang balu dan empat orang anak iaitu Roslina, 37, Rosnita, Mohd. Rizal, 32, dan Rosazreen, 25, serta empat cucu.


Abdul Rahim yang dilahirkan pada 7 Februari 1943 di Beserah, Kuantan memulakan karier politiknya sebagai Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Beserah setelah memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) itu pada pilihan raya umum 1978.


Allahyarham, yang berkelulusan Sarjana Muda Ekonomi (Kepujian) dari Universiti Malaya, menjadi Menteri Besar Pahang selama kira-kira tiga tahun bermula 19 Julai 1978 hingga 7 November 1981.


Beliau masih bergiat aktif dalam politik terutamanya UMNO walaupun selepas meletakkan jawatannya sebagai menteri besar, antaranya menjadi Anggota Parlimen Kuantan setelah memenangi kerusi Parlimen kawasan itu pada pilihan raya umum 1982.


Abdul Rahim pernah dipilih beberapa kali sebagai Anggota Majlis Tertinggi (MT) UMNO mulai tahun 1980 tetapi gagal mempertahankan kedudukannya sebagai anggota MT pada pemilihan 1996.


Allahyarham pernah dilantik Timbalan Menteri Tenaga, Pos dan Telekomunikasi pada 1984 selama dua tahun selain menjadi Yang Dipertua Angkasa sejak Januari lepas.


Beliau juga pernah menjadi Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara) pada 1982 dan Pengerusi Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pada 1986, selain memegang jawatan dalam sektor swasta termasuk Pengerusi Shamelin Holding Sdn. Bhd. dan Koperasi Shamelin Berhad sejak 1991 sehingga kini.