Jumaat, November 07, 2008

SEKAT MENYEKAT PERKARA LUMRAH


Nampaknya calon timbalan presiden, Muhammad Muhd. Taib dan calon naib ketua wanita, Azalina Othman kena beri bukti kepada UMNO bahawa mereka disekat oleh ketua bahagian untuk mendapatkan pencalonan.


Soal sekat menyekat bukanlah soal baru. Soal biasa dalam politik. Jika Muhammad hubungi ketua bahagian di Melaka, sudah tentu ketua bahagian itu tidak berani kerana pengerusi perhubungan UMNO Melaka ialah Ali Rustam yang mahu mencabar Muhammad dan Muhyiddin.



Hal yang sama dialami di Selangor yang mana mungkin ketua bahagian di negeri itu takut mencalonkan Ali kerana Muhammad adalah pengerusi perhubungan UMNO negeri. Di Johor sentiment kenegerian terhadap Muhyiddin mesti tebal. Jadi sukarlah Muhammad dan Ali mendapat pencalonan dari Johor kecuali Kota Tinggi dan Johor bahru yang tidak mencalonkan Muhyiddin.


Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor meminta pemimpin yang mendakwa diri mereka disekat daripada dicalonkan supaya tidak hanya bercakap sebaliknya mengemukakan bukti.


Beliau berkata, mereka yang terbabit perlu memaklumkan kepada ibu pejabat perkara itu dengan menyertakan bersama fakta bagi membolehkan siasatan rasmi dilakukan.


‘‘Jangan setakat cakap saja. Dakwa ada sekat (pencalonan) sana, ada sekat sini. Kalau nak bercakap (tentang dakwaan disekat) biar ada fakta.


‘‘Sebab itu kalau betul, sila tampil buat laporan, biar ibu pejabat bertindak menyiasat. Kita ada saluran untuk bertindak,’’ katanya semalam.


Ketua Penerangan UMNO, Tan Sri Muhammad Muhd. Taib yang menawarkan diri bertanding jawatan Timbalan Presiden semalam mendakwa terdapat cubaan menyekat pencalonannya bagi memastikan beliau tidak layak bertanding pada pemilihan Mac depan.


Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah itu mendakwa hasil maklumat yang diterimanya, kumpulan terbabit bergerak aktif pada minggu-minggu terakhir persidangan perwakilan bahagian sekarang termasuk menyebarkan cerita kononnya beliau akan menarik diri daripada pertandingan tersebut.


Selain Muhammad, kelmarin, Menteri Pelancongan, Datuk Seri Azalina Othman Said juga mendakwa terdapat usaha di peringkat bahagian untuk menyekat pencalonan beliau bagi jawatan Naib Ketua Wanita UMNO.


Ditanya sama ada terdapat laporan dibuat kepada ibu pejabat berhubung perbuatan menyekat pencalonan, Tengku Adnan berkata, setakat ini belum ada.

CHERAS BANTAH PEKAN, KEPALA BATAS BERKECUALI


Majlis Tertinggi (MT) UMNO tidak berhak mengecualikan Bahagian Kepala Batas dan Pekan daripada membuat pencalonan untuk pemilihan parti pada Mac depan.


Ketua UMNO Bahagian Cheras, Senator Datuk Syed Ali Alhabshee berkata, pengecualian itu menyebabkan hak ahli yang terkandung dalam perlembagaan parti telah dinafikan.


"Memang calon yang menerima sokongan daripada dua bahagian tersebut boleh mendakwa mereka adalah calon pilihan namun kedudukan mereka akan ditentukan oleh undi perwakilan.


"Ia juga berpotensi menutup peluang calon untuk melepasi kuota kelayakan, mungkin terdapat calon-calon yang kurang satu atau dua pencalonan berikutan pengecualian kepada bahagian itu," katanya.


Akhbar semalam menyiarkan kenyataan Setiausaha Agung UMNO, Tengku Adnan Tengku Mansor bahawa MT telah memberi pengecualian kepada Bahagian Kepala Batas yang diketuai Presiden UMNO, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan Pekan yang diketuai Timbalannya, Datuk Seri Najib Tun Razak daripada membuat pencalonan.

UPKO TAK PERLU UGUT BN


Apalah malangnya nasib BN? Selepas SAPP, Pertubuhan Kebangsaan Pasokmomogun Kadazandusun Murut Bersatu (UPKO) pula yang ugut mahu keluar dari BN jika kerajaan pusat tidak batalkan projek saluran paip gas bernilai RM3 bilion dari Kimanis, Sabah ke Kompleks Gas Asli cecair Petronas di Bintulu, Sarawak.


UPKO akan mengkaji kedudukannya dalam Barisan Nasional (BN) sekiranya kerajaan tetap meneruskan projek saluran paip gas bernilai RM3 bilion dari Kimanis, Sabah ke Kompleks Gas Asli Cecair Petronas di Bintulu, Sarawak, kata Presidennya, Tan Sri Bernard Dompok.


Beliau berkata, bantahan tersebut akan dibawa ke mesyuarat Kabinet hai ini dan sebarang keputusan selepas itu akan mempengaruhi hala tuju UPKO.


Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu berkata, pihaknya sudah beberapa kali membantah dan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi sendiri sebelum ini memberi jaminan tidak akan meneruskannya.


"Perdana Menteri sudah memaklumkan pada 31 Mei lalu bahawa projek ini tidak akan diteruskan. Kita akan menyeberang (keluar BN) jika projek tersebut tetap diteruskan," katanya.


Kalau UPKO nak keluar, keluarlah dari BN. Tak payah ugutlah. Baru ini pula Wilfred Bumburing salah seorang pemimpin kanannya turut buat ugutan yang sama jika kerajaan tidak selesaikan masalah kad pengenalan orang kadazan yang hilang.


UPKO menang pun bukan kerana kekuatan sendiri tetapi kekuatan BN. Jika PBS mewakili BN lawan calon UPKo, kalah UPKO. Tapi oleh kerana tak faham dengan setiakawan BN, BN sanggup beri kerusi UMNO di Kinabalu kepada UPKO pasal nak suruh presidennya berada dalam kabinet selepas kalah di kubunya sendiri di Penampang. Sedarlah sikit diri UPKO.

LEBIH BAIK ONG TEE KEAT MASUK PKR


Presiden MCA, Ong Tee Keat hari ini berkata, sudah sampai masanya bagi rakyat Malaysia membebaskan diri mereka daripada belenggu isu perkauman.


Dengan mengambil Barack Obama, yang dipilih sebagai Presiden kulit hitam pertama Amerika Syarikat, sebagai contoh, Ong berkata: "Sedihnya di Malaysia, kita masih berbalah dalam soal remeh berhubung pelantikan seorang wanita Cina sebagai Pemangku Pengurus Besar, Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS).


"Sudah sampai masanya bagi kita membebaskan diri melakukan sesuatu perkara secara ortodoks. Di Amerika Syarikat, ia mengambil masa lebih 200 tahun bagi seorang lelaki kulit hitam untuk dipilih sebagai presiden di sebuah negara yang dikuasai orang kulit putih.


"Ironiknya, rakyat di Malaysia, yang bersorak untuk Obama tidak berfikir bahawa seorang wanita Cina itu layak menerajui PKNS, kata Ong yang juga Menteri Pengangkutan, dalam satu kenyataan di sini.


Ong berkata, reaksi daripada sesetengah ahli politik daripada kedua-dua belah pihak kerajaan dan pembangkang berhubung pelantikan itu menunjukkan bahawa mereka masih lagi berada di dalam kepompong perkauman mereka sendiri.


Apa tujuan Ong Tee Keat menyamakan isu Pemangku Pengurus Besar PKNS dengan Obama. Ia tak ada kena mengena. Rakyat Amerika memilih Obama bukan atas dasar perkauman. Ia adalah atas dasar kemampuan Obama.


Bukan orang Melayu marah orang Cina jadi Pemangku GM PKNS. Ong kena faham bahawa tujuan PKNS ditubuhkan untuk membantu orang Melayu. Apa jaminan orang bukan Melayu duduk di situ dapat membantu orang Melayu?


Ong sendiri tak tolong orang Melayu masa berkuasa di kementeriannya. Kalau Ong setuju dengan PKR, masuk PKRlah dan berhenti jadi Presiden MCA.