Sabtu, Oktober 25, 2014
YAYASAN PENULIS MALAYSIA WAJAR BANTU PENULIS UZUR
JITRA, 25 Okt (Bernama) -- Aktiviti yang bakal dirancang oleh Yayasan
Penulis Malaysia tidak akan bertindih dengan kegiatan persatuan penulis di
seluruh negara malah ia akan menjadi saluran tambahan bagi meningkatkan kegiatan
masing-masing.
Presiden Persatuan Penulis Malaysia (Pena) Dr Mohamad Saleeh Rahamad
berkata Pena mengalu-alukan penubuhan yayasan itu kerana ia akan menjadi wadah
tambahan untuk menyatupadukan penulis pelbagai kaum di seluruh negara.
"Ketika ini, persatuan sedia ada hanya menjalankan kegiatan khusus untuk
anggota persatuan masing-masing mengikut daerah atau negeri,” kata Saleeh kepada
Bernama pada hari kedua sidang kemuncak Penulis Malaysia 2014 (SKPM 2014) di
Darulaman Golf and Country Club, Jitra dekat sini hari ini.
Saleeh yang mengulas pengumuman penubuhan yayasan itu oleh Menteri Besar,
Datuk Seri Mukhriz Tun Dr Mahathir pada pelancaran SKPM 2014 malam tadi berkata,
Pena masih belum memikirkan struktur yayasan yang bakal ditubuhkan itu walaupun
perkara itu pernah dibincang secara tidak rasmi.
"Terpulanglah kepada pihak berkenaan iaitu Bina Darulaman Berhad (BDB),
anak syarikat kerajaan negeri yang mengusulkan perkara itu, untuk menyediakan
kertas kerja penubuhan yayasan itu," kata Saleeh.
SKPM 2014 adalah sidang kemuncak yang julung-julung kali diadakan bagi
menghimpun para penulis, wakil penerbit, aktivis sastera, bahasa serta budaya
dari seluruh negara.
Program tiga hari ini merupakan tanggungjawab sosial korporat BDB dan
merupakan sinergi pintar antara BDB, Institut Terjemahan dan Buku Malaysia
serta Pena.
Ulasan saya, YPM (YPM) sepatutnya membantu penulis yang uzur di seluruh negara. Ramai di antara mereka terutamanya bekas wartawan hidup dalam keadaan melarat dan terpinggir. Sehubungan itu PENA seharusnya membuka keahlian kepada semua penulis tidak semestinya penulis kreatif sahaja sebaliknya termasuk penulis non-kreatif. YPM seharusnya memberi bantuan kepada semua penulis tanpa mengira kaum.
Langgan:
Catatan (Atom)