Ahad, April 28, 2019

MUHYIDDIN TOLAK JADI PM KERANA BERI LALUAN KEPADA DR MAHATHIR



KUALA LUMPUR 27 April - Rombakan barisan Exco Kerajaan Negeri Johor yang baharu mengangkat sumpah di hadapan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, Isnin lalu tidak dibuat oleh Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Perkara itu ditegaskan oleh Pegawai Khas Tugas-Tugas Khas Kementerian Dalam Negeri, Datuk Dr. Marzuki Mohamad sambil menjelaskan dengan panjang lebar bahawa Muhyiddin berada di luar negara dan tidak terlibat langsung dalam keputusan melantik serta merombak Exco negeri tersebut.

Berikut adalah kenyataan penuh Marzuki:


Penglibatan Muhyiddin dalam rombakan Exco Kerajaan Negeri Johor: Fakta sebenar

Beberapa pihak telah melemparkan tuduhan terhadap Muhyiddin Yassin berhubung isu rombakan barisan Exco Kerajaan Negeri Johor. Kononnya Muhyiddin telah membuat u-turn di saat akhir dengan membuat rombakan barisan Exco yang bercanggah dengan keputusan Kabinet supaya tiada rombakan dibuat.

Ramai ahli Bersatu menghubungi saya bertanyakan kedudukan sebenar perkara ini. Walaupun saya berasa berat hati untuk tampil membuat penjelasan kerana ini merupakan hal dalaman parti, tetapi oleh kerana fitnah terhadap Muhyiddin yang disebarkan oleh pihak-pihak tidak bertanggungjawab telah berleluasa, terutamanya dalam kalangan ahli-ahli Bersatu, saya berasa bertanggungjawab untuk menyatakan perkara yang sebenar.

Pertama, rombakan barisan Exco Kerajaan Negeri Johor tidak dibuat oleh Muhyiddin. Menteri Besar Johor, Datuk Dr Sahruddin Jamal berjumpa Muhyiddin pada 20 April 2019 untuk mendapatkan nasihat beliau mengenai pembentukan Exco Kerajaan Negeri Johor yang baharu. Saya berada bersama dalam pertemuan tersebut di mana Muhyiddin telah memberikan nasihat secara umum bahawa berdasarkan Undang-Undang Tubuh Negeri Johor, Menteri Besar berhak menasihati Sultan Johor mengenai pembentukan barisan Exco Kerajaan Negeri.

Menteri Besar Johor memberitahu Muhyiddin bahawa beliau mahukan satu pasukan Exco yang beliau percaya boleh bekerjasama dengannya dalam mengurus pentadbiran kerajaan Negeri Johor. Ini selaras dengan kenyataan Menteri Besar Johor sendiri yang dilaporkan oleh media. Oleh kerana Menteri Besar Johor mempunyai kuasa di bawah Undang-Undang Tubuh Negeri Johor untuk menyembah maklum nama-nama Exco yang akan dilantik, maka Muhyiddin menyerahkan perkara ini kepada budi bicara Menteri Besar.

Kedua, Muhyiddin berada di luar negara ketika Kabinet membuat keputusan bahawa barisan Exco Kerajaan Negeri Johor tidak boleh dirombak. Keputusan ini tidak dimaklumkan kepada Muhyiddin. Beliau hanya mengetahuinya setelah dimaklumkan oleh Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman pada petang Isnin 22 April 2019, iaitu beberapa jam sebelum Mesyuarat Khas MPT Bersatu diadakan. Saya percaya jika Muhyiddin mengetahui keputusan ini dari awal, beliau sudah pasti menasihati Menteri Besar Johor supaya mematuhi keputusan tersebut.

Ketiga, ada pihak yang mendakwa Muhyiddin mengadap Sultan Johor pada 21 April 2019 semata-mata untuk menyembah maklum nama-nama Exco Kerajaan Negeri Johor kepada Tuanku Sultan. Saya telah jelaskan dalam tulisan saya sebelum isu rombakan barisan Exco Kerajaan Negeri Johor timbul bahawa Muhyiddin telah memohon perkenan Tuanku Sultan untuk mengadap kerana beliau tidak berkesempatan mengadap Tuanku untuk menyembah maklum nama Menteri Besar Johor kerana beliau berada di luar negara pada ketika itu. Ia tiada kaitan sama sekali dengan rombakan Exco Kerajaan Negeri Johor. Sebagai bekas Menteri Besar, Muhyiddin amat maklum bahawa bukan kuasa beliau untuk menasihati Tuanku Sultan mengenai pembentukan barisan Exco Kerajaan Negeri. Itu adalah kuasa Menteri Besar.

Saya juga ingin menyentuh sedikit mengenai tulisan Tamrin Ghafar bertajuk “Jika Tak Nak Bantu Jangan Jadi Hantu”. Tulisan ini menyentuh tentang sejarah awal penubuhan Bersatu yang menggambarkan Muhyiddin sebagai seorang yang tamak kuasa dan ingin menghalang Dr. Mahathir daripada menjadi Perdana Menteri.

Saya tidak ingat bila masa Tamrin berada dalam Bersatu. Mungkin kerana dia tidak berada dalam Bersatu, dia tidak tahu sejarah sebenar.

Saya masih ingat di peringkat awal dahulu ketika beberapa pimpinan parti anggota Pakatan Harapan mula hendak menamakan Dr. Mahathir sebagai calon Perdana Menteri, Bersatu masih belum membuat apa-apa pendirian rasmi mengenainya. Ada beberapa ahli MPT Bersatu datang menemui saya bertanya pendirian Muhyiddin mengenainya. Mereka merasakan Muhyiddin juga layak.

Tetapi Muhyiddin tegas mengatakan tiada orang yang lebih layak untuk dinamakan sebagai calon Perdana Menteri selain daripada Dr. Mahathir. Malah, Muhyiddin adalah orang yang pertama membuka mulut dalam Mesyuarat MPT Bersatu mengesyorkan agar Bersatu secara rasmi menamakan Tun Mahathir sebagai calon Perdana Menteri. Yang selebihnya adalah sejarah.

Malah, di ambang pembentukan kerajaan PH selepas 9 Mei 2018, seorang individu berpengaruh menawarkan jawatan Perdana Menteri kepada Muhyiddin. Tetapi tawaran ini ditolak oleh Muhyiddin kerana rasa hormat beliau kepada Dr. Mahathir selain janji yang telah termeterai untuk menjadikan Dr. Mahathir sebagai Perdana Menteri. Tamrin tidak tahu sejarah ini kerana dia tidak berada dalam Bersatu.


Akhir kalam, kepada mereka yang gemar membuat cerita rekaan dan menabur fitnah, hentikanlah perbuatan terkutuk ini. Ingat, beban yang anda tanggung di padang Mahsyar nanti amatlah berat.

Bagi saya, sudah-sudahlah membuang masa bermain politik. Berilah ruang kepada pimpinan parti untuk menumpukan kerja membela rakyat kerana itulah sebab sebenar rakyat memilih Pakatan Harapan sebagai kerajaan