Rabu, Mei 30, 2018

PDRM NAFI TARIK SEMUA PEGAWAI KESELAMATAN NAJIB

KUALA LUMPUR, 29 Mei (Bernama) -- Polis DiRaja Malaysia (PDRM) menafikan dakwaan bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Tun Razak bahawa kerajaan telah menarik balik kesemua pegawai keselamatan kecuali seorang pegawai Aide De Camp (ADC) yang ditugaskan untuk beliau dan keluarganya.

Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata pihaknya tidak menarik balik kawalan keselamatan yang diberikan terhadap Najib sebaliknya hanya mengurangkan jumlah anggota yang ditugaskan itu.

"Setiap bekas perdana menteri mempunyai kelayakan tertentu namun, jumlah anggota yang bertugas tidak sama seperti sebelumnya. Kita hanya mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

"Bagaimanapun anggota yang bertugas seperti ADC, pemandu serta pengawal peribadi masih ditempatkan bagi mengawal keselamatan beliau dan Datin Seri (Rosmah Mansor)," katanya selepas Majlis Iftar Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad bersama Warga PDRM dan agensi Kementerian Dalam Negeri di Masjid Bukit Aman di sini, hari ini.

Menerusi laman sosialnya hari ini, Najib memuat naik kenyataan yang mendakwa kesemua pegawai keselamatan, polis pengiring serta pegawai bantuan, yang ditugaskan kepadanya telah ditarik balik oleh kerajaan baharu kecuali seorang pegawai ADC, sejak beberapa minggu lepas.