Rabu, Disember 30, 2015

KRONOLOGI PERISTIWA POLITIK SEPANJANG TAHUN 2015

KUALA LUMPUR, 29 Dis (Bernama) -- Berikut antara peristiwa yang menjadi tumpuan umum dalam perkembangan politik di Malaysia sepanjang 2015:

FEBRUARI:

10 Feb - Ketua Pembangkang yang juga Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim gagal dalam rayuan terhadap keputusan Mahkamah Rayuan yang mengubah penghakiman Mahkamah Tinggi dan mensabitkan beliau dengan kesalahan meliwat bekas pembantunya Mohd Saiful Bukhari Azlan pada 26 Jun 2008 serta menjatuhkan hukuman penjara lima tahun terhadapnya bagi kesalahan berkenaan.

12 Feb - PAS kelihangan seorang tokoh politik berpengaruh berikutan kematian bekas Menteri Besar Kelantan yang juga Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat di kediamannya di Pulau Melaka, Kelantan akibat kanser prostat.

APRIL:

1 April - Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim hilang kelayakan sebagai Anggota Parlimen Permatang Pauh selepas Lembaga Pengampunan Diraja menolak petisyen beliau untuk dibebaskan daripada hukuman lima tahun penjara.



4 April - Anggota Parlimen Rompin Datuk Seri Dr Jamaluddin Jarjis terkorban dalam kemalangan helikopter di Semenyih, Selangor, menyebabkan kerusi Parlimen Rompin yang disandangnya, kosong.



8 April - Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh Pilihan Raya Kecil (PRK) Permatang Pauh pada 7 Mei.

10 April - Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh Pilihan Raya Kecil (PRK) Rompin pada 5 Mei.



MEI:

5 Mei - Bekas Timbalan Menteri Besar Pahang Datuk Hasan Arifin dari Barisan Nasional memenangi kerusi Parlimen Rompin selepas menewaskan calon PAS Nazri Ahmad dengan majoriti 8,895 undi.



7 Mei - Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail memenangi kerusi Parlimen Permatang Pauh selepas menewaskan calon Barisan Nasional Suhaimi Sabudin dengan majoriti 8,841 undi.

JUN:



4 Jun - Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengekalkan jawatan sebagai Presiden PAS bagi penggal 2015-2017 setelah menewaskan pencabarnya bekas Naib Presiden PAS Ahmad Awang pada pemilihan parti PAS manakala Mohamad Sabu gagal mempertahankan jawatan timbalan presiden apabila tewas kepada Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

5 Jun - Muktamar PAS ke-61 menerima usul Dewan Ulama untuk memutuskan hubungan politik dengan DAP, tetapi kekal bersama PKR dan Pakatan Rakyat.



17 Jun - Susulan tindakan PAS memutuskan hubungan politik dengan DAP, Ketua Pembangkang yang juga Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mengumumkan Pakatan Rakyat sudah tidak berfungsi lagi.

25 Jun - Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS) menyatakan menerima surat makluman mengenai pembatalan keanggotaan bekas Presiden MIC Datuk Seri G. Palanivel dan mengumumkan Datuk Seri Dr S. Subramaniam sebagai pemangku presiden sementara menunggu Pemilihan Jawatankuasa Tertinggi MIC diadakan pada November.

JULAI:



28 Julai - Tan Sri Muhyiddin Yassin digugurkan daripada jawatan Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Pelajaran dalam rombakan kabinet yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak. Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi diumumkan sebagai Timbalan Perdana Menteri yang baharu.

Turut digugurkan ialah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal sebagai Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah dan Datuk Seri G. Palanivel sebagai Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, setelah keanggotaan beliau dalam MIC terbatal.

SEPTEMBER:



16 Sept - Mohamad Sabu dan beberapa bekas pemimpin PAS bertindak menjenamakan semula Parti Pekerja-Pekerja Malaysia sebagai Parti Amanah Negara (AMANAH) dan susulan itu, keanggotaan mereka dalam PAS terbatal secara automatik mengikut Perlembagaan parti.



16 Sept - Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Adenan Satem memberi bayangan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-11 mungkin akan diadakan awal 2016 selepas mengambil kira beberapa faktor termasuk tarikh pembentangan bajet persekutuan dan negeri serta musim tengkujuh yang mungkin berlaku pada hujung tahun ini.



22 Sept - DAP, PKR dan AMANAH bergabung membentuk Pakatan Harapan dan bekas anggota UMNO Datuk Saifuddin Abdullah dipilih menjadi ketua setiausaha sekretariat gabungan itu.

NOVEMBER:



6 Nov - Keputusan Pemilihan Jawatankuasa Tertinggi MIC menyaksikan Datuk Seri Dr S. Subramaniam memegang jawatan presiden secara rasmi manakala Speaker Dewan Undangan Negeri Perak Datuk Seri S.K. Devamany dipilih menjadi timbalan presiden.

DISEMBER:



10 Dis - Presiden UMNO dan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak dalam ucapan dasarnya di Perhimpunan Agung UMNO, menghulurkan 'tali silaturahim' kepada PAS untuk mengadakan hubungan kerjasama dengan parti itu bagi membina dan membangunkan negara mengikut syariat Islam.

12 Dis - Presiden UMNO Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak menyatakan kesediaan untuk berdamai dengan pihak yang menentang beliau dalam parti bagi mengukuhkan ikatan UMNO. Perkara ini disampaikan beliau semasa menggulung perbahasan pada akhir Perhimpunan Agung UMNO.



-- BERNAMA