OLEH SHAHBUDIN HAJI EMBUN (sudah disiarkan dala Berita Harian)
Sejak dari dahulu lagi penulis sudah memberikan komen tentang kepimpinan Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak , khasnya apabila beliau diasak dan diserang dari pelbagai sudut. Beliau sentiasa tenang dengan segala tohmahan yang dilemparkan. Dan apa yang lebih penting , beliau membuktikan ketokohannya dengan terus melaksanakan tanggungjawab yang telah diamanahkan.
Begitulah sikap pemimpin yang perlu dicontohi untuk terus menerajui parti keramat orang Melayu iaitu UMNO yang sudahpun mencapai usia 70 tahun.Bagi manusia,usia 70 tahun ialah usia yang menggambarkan kematangan dan pengalaman yang luas. Dan begitu juga dengan UMNO yang pastinya lebih matang apabila menghadapi pelbagai dugaan yang bakal mendatang.
Kita tidak boleh menafikan yang UMNO hari ini berdepan dengan pelbagai isu yang boleh menggugat keharmonian dan keutuhan parti yang ditubuhkan pada tahun 1946 ini. Dalam hal ini, Najib dengan rendah hati menjelaskan cabaran yang dihadapinya ini tidaklah begitu hebat jika dibandingkan dengan zaman bekas-bekas perdana menteri seperti Allahyarham Tun Abdul Razak, dan Tun Dr Mahathir Mohamed.
Mungkin apa yang ingin dinyatakan oleh Najib ialah zaman hari ini berdepan dengan isu yang berkaitan dengan peranan media sosial dan juga media asing dalam membicarakan isu-isu yang berkaitan dengan parti dan negara.
Itu sebabnya ahli-ahli UMNO perlu lebih matang dalam menangani masalah seperti ini. Bahkan mereka perlu memainkan peranan yang lebih proaktif apabila UMNO ditohmah oleh media sosial dan juga media asing yang mempunyai agenda tersendiri untuk menjatuhkan UMNO.Ahli-ahli UMNO perlu turun ke padang dan memberi penjelasan khasnya tentang isu-isu yang dilontarkan di media sosial dan digembar-gemburkan di media asing.
Selain itu ahli-ahli UMNO perlu menjadi pemimpin dan pengamal media sosial yang aktif .Jangan biarkan persekitaran baru media ini dikawal oleh mereka yang mempunyai agenda jahat untuk menjatuhkan segala usaha baik Najib untuk membangunkan negara kita.
Dalam wawancara baru-baru ini, penulis amat tertarik dengan kenyataan Najib yang menggesa UMNO perlu berubah sekiranya ingin kekal relevan khasnya di kalangan generasi hari ini dan masa depan.
Itu sebabnya Najib begitu menekankan soal perkembangan dari segi teknologi termasuklah persekitaran baru media seperti internet, facebook dan sebagainya.Jika saranan ini gagal diterima oleh ahli-ahli UMNO , maka jangan terkejut jika UMNO tidak dapat bergerak ke hadapan dan hanya terpaksa berpuas hati dengan kisah sejarah lampaunya. Sudah sampai masanya UMNO menjadi lebih agresif dan proaktif dalam menggemblengkan tenaga untuk menguasai arena media sosial.
Ahli-ahli UMNO juga perlu bertanyakan pada diri sendiri. Apakah jasa yang telah disumbangkan kepada parti keramat Melayu ini? Adakah cukup dengan sekadar menghadiri Perhimpunan Agung UMNO setiap tahun dan berteriak dengan penuh semangat di depan barisan peimpin UMNO.Bagaimana pula dengan tugas mengajak generasi muda menghayati perjuangan UMNO dan sekaligus mendidik golongan ini menjadi pemimpin pada masa depan. Adakah ahli-ahli UMNO sanggup berkorban untuk terus memperkasa dan mempertahankan UMNO? Jujur kepada diri sendiri dan jawablah segala persoalan yang dilontarkan di atas.
Sejarah lampau perlu dijadikan sebagai pengajaran untuk terus maju ke hadapan. UMNO kaya dengan sejarahnya dan dalam apa pun keadaan, kita tidak boleh menidakkan peranan UMNO sebagai pemacu yang membina dan membangunkan negara ini sehingga Malaysia mampu bersaing di persada antarabangsa dalam pelbagai bidang.Dan sudah pastinya juga UMNO akan sentiasa diingati sebagai sebuah parti politik yang memberikan aspirasi kepada perjuangan dan hak serta kepentingan orang Melayu di negara kita.
Itulah sebabnya juga UMNO perlu dikekalkan dalam sanubari orang melayu sebagaimana yang disarankan oleh Naib Presiden UMNO yang kini menjalankan tugas Timbalan presiden UMNO, Datuk Seri Dr.Ahmad Zahid Hamidi. Beliau mejelaskan bahawa mukadimah untuk merakyatkan agenda UMNO perlu diperkukuhkan bukan hanya dengan kata-kata tetapi juga di minda dan sanubari orang-orang melayu.
Tujuh dekad merupakan satu tempoh yang lama.Dan selama itulah UMNO terus berdiri megah menjadi aspirasi kepada perjuangan agama Islam, bangsa Melayu dan pembangunan negara amnya. UMNO akan terus memainkan peranannya dan akan terus relevan memperjuangkan agama Islam, bangsa Melayu dan negara kita. Dan itulah sebabnya begitu sesuai artikel ini diakhiri dengan mengambil kata-kata Presiden UMNO sendiri."Kini, 70 tahun selepas penubuhannya, kita mempunyai jutaan ahli Umno serata Malaysia, ayuh kita pastikan kelangsungan perjuangan parti yang kita cintai ini tidak terkubur, malah subur sepanjang zaman,"