Khamis, Julai 12, 2018
UMAT ISLAM SEMAKIN RESAH
KUALA LUMPUR: Ketua Penerangan PAS Nasrudin Hassan mendakwa beberapa siri pelantikan dalam sektor undang-undang dan kehakiman oleh kerajaan Pakatan Harapan, baru-baru ini sangat meresahkan umat Islam.
Beliau merujuk kepada pelantikan hakim kanan Tan Sri Richard Malanjum sebagai ketua hakim negara, semalam, Datuk Liew Vui Keong sebagai menteri di jabatan perdana menteri yang menjaga ehwal undang-undang serta Tommy Thomas sebagai peguam negara.
“Melihat tiga posisi penting ini telah diisi oleh sosok yang sangat meresahkan umat Islam, maka apakah masih ada harapan rakyat khasnya umat Islam untuk melihat masa depan Islam terus terbela di bumi Malaysia ini khasnya dalam hal yang melibatkan undang-undang,” soal Nasrudin dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata HARAPAN berjaya "pecah rekod" dengan melantik ketua hakim negara bukan Islam pertama selepas pembentukan Malaysia 1963 dengan nama awalnya ‘lord president’.
Pemimpin PAS itu juga mendakwa bahawa rekod Malanjum membuktikan penghakimannya jelas tidak menyebelahi Islam dalam beberapa kes penting.
“Sudahlah Islam terumbang-ambing di zaman kerajaan BN dahulu, ternyata kini perubahan yang dilaungkan itu rupanya ke arah yang lebih teruk dan buruk.
“Apakah situasi ini meletakkan umat Islam terlepas dari mulut harimau lalu dilibas ekor buaya?” soalnya.
Nasrudin turut mempersoalkan sama ada kerajaan Pakatan Harapan akan “memekakkan” telinga dari mendengar keluhan dan teguran umat Islam serta tergamak “membutakan” mata dari melihat bagaimana reaksi bimbang umat Islam terhadap perkembangan ini.
“Reaksi bimbang dan teguran umat Islam telah jelas kedengaran sejak dari pelantikan peguam negara tempoh hari lagi.
“Kini pelantikan ketua hakim negara pula bakal mengundang petaka buat umat Islam,” katanya.
Langgan:
Catatan (Atom)