Ada kawan bertanya saya, kenapa saya suka menonton filem Tamil di Astro 202? Saya memang peminat filem Tamil biasanya malam tayangan 9 mlm, 12 malam dan 3 pagi. Saya kenal beberapa pelakon Tamil seperti Vijay, Surya, Arjun selain dari Rajnikant dan Kamal Hasan.
Saya minat dengan filem Tamil kerana ceritanya lebih realistik daripada filem Hindustan. Filemnya bebas mengkritik orang politik, polis, dan anggota masyarakat yang lain. Polis digambarkan sebagai kaki rasuah, tidak adil dan pecah amanah.
jangan harap filem melayu mahu menayangkan filem yang menunjukkan polis rasuah. Kalau ada, sudah tentu filem itu menjadi mangsa Lembaga Penapis Filem. Apa yang berlaku dalam skandal 1MDB sekarang seperti menonton filem Tamil. Penuh dengan konspirasi.
Yang menyiasat kes 1MDB ialah polis, SPRM, Bank Negara dan Jabatan Peguam Negara. Tiba-tiba Peguam Negara, Abdul Ghani Patail ditamatkan perkhidmatan atas sebab-sebab kesihatan pada hari yang sama Muhyiddin Yasin dipecat dari jawatan TPM.
Sehingga portal Sarawak Report menyiarkan kononnya deraf pertuduhan terhadap PM, Najib Razak sudah siap dan hanya menunggu Ghani Patail menandatanganinya. Peguam Negara yang baru, Apendi Ali menafikan ia kertas pertuduhan yang sah. Sebaliknya ia dipalsukan.
Jika benar ia palsu, kenapa timbalan pendakwaraya SPRM, Sazili ditahan polis? Seolah-olah Sazili yang membocorkan maklumat itu kepada Sarawak Report. Hari ini pengarah operasi khas SPRM< Bahari Mohd Zain marahi polis kerana menangkap pegawainya yang bekerja keras siang dan malam mencari kebenaran.
Dia mendakwa sudah tentu ada orang yang mengarahkan polis menangkap pegawai SPRM. Bukankah semuanya ini kerja gila, soal beliau. Malah pegawai SPRM dituduh menggulingkan kerajaan. yang lucunya jawatankuasa bersama polis, SPRM, Bank Negara dan Peguam Negara diarah menyiasat kes wang RM2.6 billion yang masuk ke akaun peribadi Najib tetapi pegawai yang menyiasat pula disiasat. Penuh dengan kelucuan.
kalau betul laporan Sarawak Report palsu, kenapa perlu siasat pegawai SPRM seolah-olah laporan Sarawak Report itu memang bukan palsu. Macam-macam hal berlaku dalam isu 1MDB. Tiba-tiba tiga orang ahli jawatankuasa PAC dilantik menteri dan timbalan menteri seperti Madius Tangau, Nur Jazlan Mohamed, Reezal Merican yang sudah tentu menyebabkan PAC yang sepatutnya bersidang esok ditangguhkan.
Mereka dinaikkan pangkat dari ahli jawatankuasa PAC kepada timbalan menteri mungkin Najib menghargai kesungguhan mereka menyiasat isu 1MDB atau mungkin mahu menutup mulut mereka.
Berita jam 8 malam ini SPRM mengesahkan RM2.6 bilion yang masuk akaun Najib bukan wang 1MDB tetapi wang penderma. Ini mengesahkan Najib ada akaun peribadi. Penderma mana yang sudi menderma kepada Najib sebanyak itu? Bertuahnya Najib sedangkan kita nak dapat derma RM260 pun sukar.
Kenapa SPRM tidak namakan penderma itu? Adakah KWSP? KWAP? Tabung Haji? Sime Darby?
Jika benar ia derma politik, kenapa Najib membisu selama ini mengenai akaun peribadinya itu?
hari ini Dr Mahathir mendakwa jika benar ada akaun Najib sebanyak RM2.6 billion kenapa LHDN tidak menyiasat Najib? SPRM mendakwa siasatannya belum selesai. Rafizi Ramli yang kecewa dengan isu ini sudah nampak bahawa Najib tidak bersalah dalam isu 1MDB. Jho Low akan terlepas begitu sahaja sedangkan rakyat akan menanggung hutang 1MDB sebanyak RM42 billion.
Dalam sibuk menyiasat isu 1MDB, tiba-tiba Bukit Aman terbakar. Adakah ia usaha untuk membuang bukti skandal 1MDB? Walaupun Zahid Hamidi menafikan dokumen penting tidak terbakar, orang sudah tidak percaya kepada penafian lagi. Anggapan orang sudah tentu ada usaha untuk membakar bahan bukti isu 1MDB walaupun kes itu disiasat di bawah jenayah perdagangan yang terletak di bangunan lain.
Rentetan isu 1MDB bermula dengan pemecatan Ghani patail, penyingkiran Muhyiddin, Bukit Aman terbakar, pegawai SPRM ditahan polis menunjukkan adegan ini sama dalam filem Tamil. Maka kita tunggu adegan seterusnya. malah pembunuhan pengasas Ambank, Husain Najadi yang melaporkan akaun yang menerima duit yang mencurigakan kepada Bank Negara tetapi bank negara tidak mengambil tindakan juga adegan yang menarik dalam filem 1MDB ini.
Jika benar RM2.6 bilion yang masuk dalam akaun peribadi Najib bukan duit 1MDB, yang perlu dipersoal apa nawaitu penderma itu. Adakah mereka mahu projek baru dari Najib sehingga sanggup menderma sebanyak RM2.6 billion? Jika penderma ada udang di sebalik batu, SPRM masih boleh menyiasat penderma itu dari segi menawarkan rasuah kepada PM. Selamat meneruskan siasatan SPRM.