Khamis, Oktober 28, 2010
HARGA BARANG KEPERLUAN DISERAGAMKAN DI BATU SAPI
Harga barang keperluan, gas petroleum cecair (LPG), petrol dan diesel yang dijual di pulau-pulau sekitar Batu Sapi diseragamkan bermula hari ini.
Langkah itu untuk membolehkan pengguna membeli barangan berkenaan dengan harga yang sama seperti di bandar berbanding sebelum ini apabila terdapat perbezaan harga antara RM1 dan RM8.
Program penyeragaman harga itu dilancarkan oleh Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di Kampung Segaliud kira-kira 70 kilometer dari Sandakan hari ini.
Berucap pada majlis itu, Ismail Sabri berkata, program itu membolehkan penduduk yang tinggal di pulau-pulau sekitar Batu Sapi khususnya di Dewan Undangan Negeri kawasan Sekong menikmati penjimatan dalam perbelanjaan harian.
Katanya, barangan yang terlibat adalah minyak petrol, diesel, LPG, barang subsidi seperti gula, tepung gandum, minyak masak dan beras ST 15 peratus.
KU LI MUNCUL SEMULA DALAM UTUSAN MALAYSIA
Sebelum 24 April 1987, nama Tengku Razaleigh Hamzah (Ku Li) sering mendapat tempat di dada akhbar tempatan kerana beliau adalah Menteri Kewangan (1976-1984) dan Menteri Perdagangan dan Perindustrian (1984-1987).
Ketika beliau melahirkan hasrat untuk bertanding jawatan Presiden UMNO pada tahun 2009, akhbar WATAN yang diterajui oleh saya yang sentiasa menyiarkan wawancara eksklusif beliau.Ketika itu Utusan Malaysia dan Berita Harian tidak pernah menyiarkan wawancara penuh beliau.
Selepas dilantik sebagai pengarah pilihanraya kecil Galas, nama Ku Li disanjung semula dan setelah sekian lama Utusan tidak menyiarkan wawancara ekslusif dengan beliau, hari ini Utusan menyiarkan wawancara penuh dengannya seperti mana berikut:-
UTUSAN: Awal lagi Yang Berhormat (YB) sudah 'diserang' apabila ada yang mentafsirkan YB tidak ada persefahaman dengan pemimpin UMNO lain hingga menyebabkan YB tidak mengiringi calon BN ke pusat penamaan, apa komen YB?
TENGKU RAZALEIGH: Itu tidak benar. Pada hari penamaan calon saya tidak mengiringi calon kerana saya mahu bersama dengan ahli-ahli parti yang turut sama berarak mengiringi calon. Tindakan saya ini bukannya luar biasa kerana saya sebelum ini pun hanya menghantar pencadang dan penyokong membawa borang penamaan calon. Saya tidak penting kerana yang penting adalah penyokong dan pencadang. Saya biarkan Abdul Aziz Yusoff (calon BN) diiringi oleh pemimpin-pemimpin UMNO yang lain.
Bagaimana pula tanggapan sesetengah pihak yang menyatakan YB berlainan pendapat dengan calon?
Mengapa saya dituduh sedemikian sedangkan pemilihan Abdul Aziz dibuat secara majoriti oleh jawatankuasa UMNO Bahagian Gua Musang. Abdul Aziz menerima undi terbanyak. Tambahan pula dia merupakan setiausaha saya dan saya tahu kemampuannya untuk menjadi calon pilihan raya kecil ini.
Adakah pemilihan ini juga menunjukkan Abdul Aziz merupakan calon terbaik dan mempunyai banyak kelebihan?
Masing-masing ada kelebihan tetapi Abdul Aziz jenis yang tidak tahu menonjol diri. Dia juga bukan jenis seorang yang terlalu bercita-cita tinggi. Sebelum dilantik sebagai setiausaha bahagian, saya lantiknya sebagai bendahari. Saya kemudian lihat dia seorang yang boleh diharapkan. Apabila dilantik sebagai setiausaha, saya nampak potensinya sebagai pemimpin. Dia selau mewakili saya untuk hadir pelbagai mesyuarat sama ada parti atau pun melibatkan Kerajaan Pusat dan negeri. Dalam mesyuarat, dia mampu melontarkan idea-idea yang bernas. Dari segi peribadi Abdul Aziz bukan seorang sombong tetapi agak sedikit pendiam.
Apabila berlaku kekosongan kerusi DUN Galas, BN memilih calon baru dan bukan calon lama seperti mana Pas.
Apabila berlaku kekosongan selepas kematian penyandangnya Allahyarham Chek Sulaima Hashim saya berunding dengan jawatankuasa bahagian untuk memilih calon BN. Apa yang saya lakukan ini sejajar dengan Perlembagaan parti. Menurut Perlembagaan, untuk mencari calo,n Perdana Menteri hendaklah berunding dengan bahagian. Selepas saya pulang dari luar negara saya kumpulkan semua jawatankuasa dan saya kemudian keluarkan kertas untuk memilih siapakah calon tersebut. Akhirnya Abdul Aziz terpilih setelah dia mendapat undi terbanyak berbanding calon lain. Kemudian saya membawa nama ini kepada Perdana Menteri dan kebetulan Perdana Menteri juga mempunyai sumber-sumbernya bahawa Abdul Aziz adalah calon paling layak.
Pokoknya, kita memilih Abdul Aziz secara demokratik. Perdana Menteri turut mempunyai sumber-sumber dia dan kemudian bersetuju dengan pilihan jawatankuasa bahagian. Kita memilih calon atas dasar demokratik. Pemilihan Abdul Aziz tidak boleh diketepikan begitu sahaja dan ia harus dihormati.
YB menyatakan masing-masing ada kelebihan tetapi saya pasti Abdul Aziz ada keistimewaan tersendiri. Mungkin disebabkan pengalamannya sebagai bekas pengurus operasi Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar)?
Memang saya tidak nafikan potensi yang ada pada Abdul Aziz yang bagi saya elok diketengahkan. Dia telah melalui pelbagai ujian dan cubaan dalam politik. Saya dapati Abdul Aziz dapat menghadapinya dengan baik. Boleh beri markah tinggi. Abdul Aziz juga seorang yang ada integriti. Semasa dia menjadi setiausaha bahagian saya lihat minit mesyuarat yang dibuat tersusun dan bersistematik. Abdul Aziz mempunyai kualiti kepimpinan yang amat diperlukan oleh rakyat. Dia juga tidak pernah datang berjumpa saya untuk melobi sebagai calon. Sepatah pun dia tidak pernah lobi.
BATU SAPI SAILANG BAGI SAPP
Lagenda Batu Sapi, sejenis formasi batu yang kelihatan seperti seekor sapi berkaki tiga di muara sungai dekat Sandakan, menjadi satu tarikan pelancongan di Sandakan.
Dalam satu perkembangan dilihat sebagai menguntungkan, ramai orang termasuk pemimpin dari seluruh negara, dijangka membanjiri kawasan indah ini sekurang-kurangnya untuk tempoh sembilan hari akan datang.
Ianya bukan semata-mata untuk menikmati dan bercakap mengenai rahsia Batu Sapi yang berkaki tiga tetapi akan menumpukan perhatian kepada pertandingan tiga penjuru dalam pilihan raya kecil parlimen Batu Sapi melibatkan calon BN, SAPP dan PKR.
Beberapa penganalisis politik menggelar pilihan raya ini sebagai 'sailang' atau pertempuran habis-habisan terutama bagi SAPP yang menaruh harapan menggunung agar presidennya Datuk Yong Teck Lee yang juga calon parti itu akan berjaya merampas kerusi itu daripada BN.
Mengakui pentingnya pengundi muda dalam menentukan kemenangan di Batu Sapi, Ketua Pemuda Umno Sabah Azman Ruslan, berkata berdasarkan arah aliran politik semasa, generasi muda menumpukan perhatian kepada pilihan raya kecil, terutama selepas gelombang tsunami politik tanah air pada pilihan raya umum 2008.
"Kebanyakan mereka tidak sabar untuk mengundi pada pilihan raya kecil ini," katanya kepada Bernama.
Sebaik sahaja selesaid proses penamaan calon semalam, sesi kempen digunakan sepenuhnya oleh parti-parti yang bertanding untuk menarik pengundi.
Azman berkata adalah penting untuk rakyat terutama generasi muda untuk menyokong perjuangan BN melalui gagasan 1Malaysia yang menggunakan pendekatan 'Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan' kerana akan membawa manfaat kepada semua rakyat Malaysia.
"Dalam hubungan ini saya percaya pengundi muda dalam pilihan raya kecil Parlimen Batu Sapi tidak mudah terpengaruh dengan janji kosong pembangkang.
"Pembangkang boleh bercakap macam-macam termasuk janji untuk mendapatkan kuasa politik autonomi tetapi akhirnya rakyat akan dapat melihat logiknya.
"Jika anda melihat di sekitar bandar Sandakan hari ini, anda akan perasan terdapat banyak kemudahan untuk pendidikan dan institusi akademik telah wujud, tidak termasuk rancangan yang sedang dilaksanakan untuk menubuhkan pusat Pelajaran Sandakan yang baru.
"Kemudahan pendidikan ini adalah bukti kukuh kerajaan BN serius untuk memperkayakan generasi muda melalui pembangunan sumber manusia," katanya.
Azman, yang berada di sini untuk mengetuai Pemuda BN berkempen untuk calon parti itu, Datin Linda Tsen Thau Lin, menggariskan beberapa faktor kenapa rakyat terutamanya golongan muda dalam kawasan itu harus menyokong BN.
Ini termasuk usaha ikhlas BN dalam menyediakan dan membabitkan golongan muda dalam pendidikan serta program sosial dan politik malah melibatkan mereka dalam perbincangan mengenai dasar, katanya.
"Kerajaan BN amat komited untuk membina generasi pemuda yang dinamik dan progresif pada abad ke-21," katanya.
Selain Tsen dan Yong, seorang lagi calon bagi kerusi itu ialah Ketua PKR Tuaran, Ansari Abdullah.
Kerusi itu kosong berikutan kematian penyandangnya Datuk Edmund Chong Ket Wah, 54, dari BN dalam kemalangan jalan raya pada 9 Okt lepas. Chong adalah suami Tsen.
Batu Sapi mempunyai 25,582 pengundi berdaftar. Pengundian ialah pada 4 November ini.
KU LI LEBIH SUKA JUMPA PENGUNDI DARI BUAT CERAMAH
BN menyerahkan sepenuhnya kepada kebijaksanaan Tengku Razaleigh Hamzah untuk mencorak bentuk kempen bagi memenangi hati pengundi pada pilihan raya kecil bagi kerusi Dewan Undangan Negeri Kelantan kawasan Galas pada 4 November ini, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini.
Timbalan perdana menteri berkata, sebagai orang tempatan dan Pengarah Pilihan Raya BN serta Anggota Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh lebih memahami sikap dan keperluan pengundi, logistik dan taburan penduduk sebelum merangka strategi.
"Itu mengikut keadaan dan atas situasi yang kita fikir sesuai. Apa pun Tengku Razaleigh adalah pengarah (pilihan raya BN) dan kalau (beliau) berpendapat pendekatan itu adalah amat berkesan untuk Barisan Nasional, (kita) tidak ada halangan," katanya kepada pemberita selepas menghadiri program mesra rakyat bersama orang Asli di Pos Brooke di Gua Musang.
Beliau diminta mengulas mengenai corak kempen Tengku Razaleigh yang lebih menumpukan kepada menemui pengundi di kawasan peti undi tertentu daripada mengadakan program ceramah besar-besaran.
Katanya walau apa corak dan bentuk kempen yang dilaksanakan, sasarannya masih sama iaitu pengundi.
"Yang penting kita bercakap dengan pengundi. Apa pun kita serah kepada kebijaksanaan Pengerusi BN di sini," katanya.
Mengenai penceramah PAS yang tidak menyentuh isu tuntutan royalti minyak semasa kempen kali ini kemungkinan kerana "segan" kepada Tengku Razaleigh, Muhyiddin berkata: "Itu saya tak tau, yang pasti kita tak bicarakan soal itu kerana urusan ini sudah ada di mahkamah.
"Saya pun tak perlu menjelas dan menjawab soal itu."
Sebelum ini, Tengku Razaleigh pernah menawarkan diri menjadi saksi dalam tuntutan royalti minyak oleh Kelantan.
Dikenali dengan panggilan "Ku Li", Tengku Razaleigh merupakan tokoh yang dihormati kerana membangunkan jajahan Gua Musang sejak menjadi wakil rakyatnya selama 41 tahun mulai 1974.
Pilihan raya kecil itu melibatkan calon Barisan Nasional Abdul Aziz Yusof, 49, dan calon PAS Dr Zulkefli Mohamad, 44.
Langgan:
Catatan (Atom)