Khamis, Oktober 13, 2016

TAJA GEGAR VAGANZA MAMPU, BAYAR GST TAK MAMPU

IPOH, 13 Okt (Bernama) -- Jutawan kosmetik Datuk Seri Dr Hasmiza Othman,45, atau lebih dikenali sebagai Datuk Seri Vida hari ini didakwa di Mahkamah Sesyen di sini atas 32 pertuduhan di bawah Akta Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) 2014.

Vida mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Hakim
Murtazadi Amran.

Berdasarkan kertas pertuduhan, pemilik dan pengasas Vida Beauty Sdn Bhd itu didakwa gagal mengemukakan penyata GST dan gagal membayar cukai GST membabitkan jumlah kira-kira RM4.2 juta sejak April 2015 hingga Julai 2016.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Bahagian GST, Wisma Kastam, No 1 Jalan Tun Razak di sini.

Ahli perniagaan itu didakwa atas 16 pertuduhan gagal membayar cukai GST di bawah Seksyen 41 (7) Akta GST 2014 yang boleh dihukum denda maksimum RM50,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Sementara itu, 16 lagi pertuduhan adalah atas kegagalannya mengemukakan penyata GST dan dia didakwa mengikut Seksyen 41 (6) Akta GST 2014 yang boleh dihukum denda maksimum RM50,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Datuk Raja Rozela Raja Toran dan Farah Ezlin Yusop Khan manakala tertuduh diwakili peguam Khairilazwar Khalil dan Syed Ahmad Syed Abas.

Mahkamah menetapkan wang jaminan RM1.76 juta bagi kesemua pertuduhan dan pasport serta dokumen perjalanan milik tertuduh perlu diserahkan kepada mahkamah sehingga prosiding perbicaraan selesai. Sebutan semula kes ialah pada 15 Nov.

Terdahulu, Farah Ezlin memohon wang jaminan sebanyak RM100,000 bagi setiap pertuduhan dan mengemukakan dua penjamin warganegara Malaysia selain pasport tertuduh diserahkan kepada pihak mahkamah kerana kesalahan yang dilakukan Vida adalah serius dan tidak boleh dipandang ringan.

"Kepentingan awam perlu melebihi daripada kepentingan peribadi kerana tertuduh tidak membayar cukai dan ia sekali gus akan memberi kesan kepada negara kerana ia melibatkan hasil negara," katanya.

Sementara itu, Khairilazwar memohon wang jaminan dikurangkan kepada RM3,000 bagi setiap pertuduhan kerana tertuduh seorang ahli perniagaan yang mempunyai 40 cawangan serta 200 pekerja.

"Sekiranya tertuduh tidak dapat dijamin, pasti ia akan menjejaskan keseluruhan pentadbiran 200 pekerja kerana tertuduh merupakan pemilik tunggal syarikat itu," katanya.

Dalam pada itu, Murtazadi berkata jaminan ke atas tertuduh tidak boleh terlalu tinggi dan melampau sehingga menyusahkannya, manakala jumlah jaminan juga tidak boleh terlalu rendah seolah-olah menampakkan kesalahan itu remeh.

"Jaminan mesti setimpal antara kepentingan awam dan tertuduh. Kita juga perlu mengambil kira status pekerja dan kesusahan yang dialami tertuduh kerana kes ini akan memberi impak kepada keluarga dan pekerja di outletnya.

"Dalam masa yang sama mahkamah tidak boleh pejam mata kerana tertuduh berdepan dengan 32 pertuduhan dan ia merupakan kesalahan yang perlu diberi perhatian lebih serius oleh mahkamah," katanya.

Vida yang memakai jubah berwarna hitam dan bertudung merah hati, tiba di Kompleks Mahkamah Ipoh kira-kira pukul 9 pagi, manakala prosiding hanya bermula 12.15 tengah hari sebelum ditangguhkan kira-kira pukul 2 petang.

-- BERNAMA