Isnin, Oktober 05, 2009

ISA TAK KAN TERIMA JAWATAN EXCO


Insya Allah pada malam Ahad depan, Tan Sri Isa Samad akan diumumkan sebagai ADUN Bagan Pinang yang baru. Inilah kali pertama beliau bertanding di kampungnya sendiri sejak menjadi ahli politik pada tahun 1978.

Keyakinan Isa menang berdasarkan undi pos sebanyak 4,000 lebih. Kecuali semua pengundi pos gila, barulah PAS menang kerana 4,000 pengundi pos pangkah PAS semua. Seperti kata Menteri Besar, Mohamad Hassan, tidak semestinya undi pos pangkah BN, memang betul tetapi majoritinya akan mengundi BN. Jadi Isa akan jadi wakil rakyat undi pos seperti Datuk Zulhasnan Rafique yang menang di parlimen Setiawangsa kerana undi pos.

Semalam Malaysiakini melaporkan Mohamad Hassan enggan mengulas sama ada akan melantik Isa sebagai Exco Kerajaan Negeri jika beliau menang.

Sebagai bekas Menteri Besar dan bekas Menteri Wilayah Persekutuan, masakan Isa mahu menerima jawatan Exco kerana ia merendahkan kedudukannya sebagai seorang pemimpin veteran. Beliau adalah bekas naib presiden UMNO. Masakan dia mahu terima jawatan yang rendah kecuali dia dilantik semula sebagai Menteri Besar selepas pilihanraya umum 2012.

Soal bekas menteri jadi Exco bukan perkara luar biasa. Bekas Menteri Perusahaan Awam, Tan Sri Dr Yusof Noor (1990-1995) pernah jadi Exco Kerajaan negeri Terengganu (1995-1999). Jadi kalau Isa terima jawatan Exco tidak salah kerana sudah ada contoh yang boleh diteladaninya.

Kemenangan Isa sudah tentu menggugat beberapa orang ahli politik seperti Mohamad Hassan yang mungkin bimbang Isa akan merampas kerusi Menteri Besar dari tangannya. Apatah lagi Mohamad Hassan dikaitkan dengan Pak Lah maka Najib memerlukan Menteri Besar baru pada tahun 2012.

Kemenangan Isa juga bakal menggugat Tan Sri Muhyiddin Mohd. Yassin sebagai Timbalan Presiden UMNO.Pada tahun 2004, Isa menang besar mengatasi undi Muhyiddin dalam pertandingan Naib Presiden UMNO. Jika beliau tidak dihukum oleh Lembaga Disiplin UMNO atas kesalahan politik wang, sudah tentu Isa sebagai Menteri Wilayah Persekutuan adalah pencabar kuat Muhyiddin bagi jawatan Timbalan Presiden UMNO Mac lalu.

Isa lebih baik PRnya daripada Menteri Pembangunan Luar Bandar, Tan Sri Muhammad Muhd Taib yang kalah di tangan Muhyiddin setelah Ketua Menteri Melaka, Datuk Wira Ali Rustam dilarang bertanding.

Dalam pertandingan Mac lalu, Isa kalah bertanding jawatan Naib Presiden UMNO kerana beliau bukan lagi seorang menteri kerana perwakilan memilih tiga orang menteri sebagai naib presiden UMNO iaitu Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi;Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishamuddin Hussein dan Menteri Perpaduan, Kebudayaan, Keseniaan dan Warisan, Datuk Seri Shafie Afdal.

PAS KENA MAIN DENGAN ANWAR IBRAHIM


Ketua Menteri, Lim Guan Eng menyerahkan isu mengenai siapa yang layak memegang jawatan Yang Dipertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAIPP) kepada Timbalan Ketua Menteri 1, Mansor Othman.

"Saya tidak mahu komen apa-apa, ia diserahkan kepada Exco yang bertanggungjawab. Lebih baik tanya Mansor," katanya kepada pemberita selepas upacara pecah tanah pembinaan Tokong Guan Im Po Mo Gong di Jalan Raja Uda di Pulau Pinang semalam.

Isu jawatan YDP MAINPP hangat diperkatakan berikutan pendedahan surat perkenan Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin yang telah berkenan melantik bekas pengarah Pusat Islam Universiti Sains Malaysia (USM), Ellias Zakaria.

Bagaimanapun, kerajaan negeri gabungan parti pembangkang menjanjikan jawatan itu kepada Pesuruhjaya Pas Pulau Pinang, Salleh Man, sebagai memancing undi sekiranya beliau memenangi pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang Pasir pada 25 Ogos lalu .

Surat perkenan itu telah diterima kerajaan negeri pada pertengahan Ogos lepas iaitu sebelum pilihan raya kecil itu diadakan tetapi pucuk pimpinan tidak mengumumkannya kepada orang ramai.

Pendedahan surat perkenan itu dibuat oleh Yang Dipertua MAIPP ketika ini, Shabudin Yahaya semalam. Shabudin, yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permatang Berangan tamat tempoh perkhidmatan pada 31 Disember ini.

Itu yang peliknya Datuk Seri Anwar Ibrahim yang berangan jadi Perdana Menteri menjanjikan benda yang bukan dalam bidangnya sedangkan beliau tahu bahawa kuasa melantik Yang Dipertua MAIPP adalah bidang kuasa Yang Dipertuan Agong.

Menjelang pilihanraya kecil Permatang Pasir Anwar mengumumkan jika calon PAS, Salleh Man menang, beliau akan dilantik sebagai Yang Dipertua MAIPP. Oleh kerana calon PAS sudah kena main maka Lim Guan Eng perlulah melantik Salleh Man sebagai Exco. Gantikanlah seorang Exco dari DAP. Ramai sangat China jadi Exco, Guan Eng. Jika anda berjiwa besar lucut seorang DAP jadi Exco digantikan oleh PAS, baru orang Melayu Pulau Pinang tabik kepada anda.