Ahad, Januari 22, 2012

BN KELANTAN TAK SERIK KE?


Kesemua 14 bahagian Umno di Kelantan diarah mengenalpasti lebih 100,000 pengundi yang berada di luar negeri itu supaya pulang mengundi dalam pilihan raya umum ke-13 akan datang.

Timbalan pengerusi badan perhubungan Umno Kelantan, Datuk Dr Awang Adek Hussin berkata, mereka merupakan kira-kira 15 peratus pengundi yang berdaftar di Kelantan yang mempunyai kuasa penentu kemenangan sesebuah parti.

"Mereka berada di beberapa buah negeri termasuk, Kuala Lumpur, Selangor, Pulau Pinang, Johor dan Trengganu," katanya kepada pemberita selepas merasmikan seminar pemantapan jentera pilihan raya BN DUN Perupuk hari ini.

Lebih 100 peserta menyertai seminar itu yang turut dihadiri Timbalan Ketua Umno bahagian Bachok, Datuk Dr Ilias Hussin.

Awang Adek, yang juga ketua Umno bahagian Bachok, berkata usaha setiap bahagian mengenalpasti pengundi luar itu akan dipantau oleh Biro Pengundi Luar yang dipengerusi ketua Umno bahagian Tanah Merah, Datuk Ikmal Hisham Abdul Aziz.

Sementara itu, Umno Terengganu telah menyiapkan bancian pengundi luar bagi mengenal pasti mereka yang layak mengundi dalam pilihan raya umum Ke-13.

Pengerusi badan perhubungan Umno negeri Datuk Seri Ahmad Said berkata menerusi bancian itu, pihaknya berjaya mengesan seramai 69,000 pengundi luar yang tidak pulang semasa pilihan raya lalu selain turut membuat bacaan sikap mereka.

"Kita ada semua maklumat perhubungan seperti nombor telefon, alamat tempat tinggal sebab kita nak hubungi mereka dan minta mereka pulang mengundi pada PRU 13 nanti," katanya ketika berucap pada majlis Penutupan Pemukiman Kepimpinan
Umno Terengganu hari ini.

Penutupan program tiga hari yang berakhir hari ini dilakukan oleh Naib Presiden Umno Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein dan dihadiri 421 anggota parti.

Ahmad, yang juga menteri besar Terengganu, berkata bancian terhadap pengundi luar merupakan segmen penting bagi sesebuah parti dan ia tidak boleh dipandang ringan kerana golongan berkenaan berupaya menentukan kemenangan parti dalam pilihan raya.

Sehubungan itu, beliau meminta semua wakil rakyat sama ada di peringkat Parlimen atau DUN supaya menggunakan data dan maklumat bancian itu pada PRU 13 kelak.

Komen aaya, BN Kelantan nampaknya tak serik dengan pengalaman 2008. BN panggil balik pengundi luar balik mengundi tetapi mereka undi pembangkang. Oleh itu BN Kelantan tak perlu buang duit tarik pengundi luar balik kecuali bawa balik hard core orang BN sahaja. Bila bawa balik atas pagar, mereka tak undi BN walaupun duit mereka sapu.

sekiranya mereka berjiwa Umno mereka tetap balik mengundi tanpa dibayar. Oleh itu BN Kelantan jangan habiskan duit untuk tarik pengundi luar sedangkan anda memberi peluang kepada mereka mengundi pembangkang.