Selasa, September 29, 2009

BN TAK YAKIN DENGAN UNDI POS?


Bekas Menteri Besar Negeri Sembilan Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad telah dinamakan sebagai calon Barisan Nasional (BN) bagi pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) kawasan Bagan Pinang.

Pemilihan Isa, 59, yang pernah berkhidmat sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan selama 22 tahun dari April 1982 hingga Mac 2004, bukanlah sesuatu yang memeranjatkan kerana nama beliau disebut-sebut sebagai pilihan utama Umno bahagian Teluk Kemang, yang diketuai oleh beliau sendiri.

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin sewaktu mengumumkan nama calon BN itu di Pusat Operasi BN di sini petang ini, berkata pemilihan Mohd Isa dibuat selepas pucuk pimpinan parti mengambil kira kehendak rakyat di kawasan DUN itu.

Ia selaras dengan dasar 1Malaysia yang diamalkan kerajaan sekarang, iaitu rakyat didahulukan, katanya.

Beliau berharap dengan pemilihan calon itu, rakyat di Bagan Pinang akan memberi isyarat kuat menyokong BN melalui peti undi pada pilihan raya kecil kawasan DUN itu pada 11 Okt ini. Penamaan calon bagi pilihan raya kecil itu akan berlangsung Sabtu ini.

Mohd Isa dijangka ditentang oleh calon PAS, yang akan diumumkan namanya oleh pucuk pimpinan parti itu Isnin malam.

Kerusi DUN Bagan Pinang yang dimenangi BN dengan majoriti 2,333 undi pada pilihan raya umum lepas, menjadi kosong berikutan kematian penyandangnya Azman Mohammad Noor pada 4 Sept lepas.

Muhyiddin, yang juga Timbalan Pengerusi BN meminta seluruh para anggota parti komponen BN supaya menyatukan kekuatan dan memberi tumpuan yang sepenuhnya bagi menentukan kemenangan besar parti itu pada pilihan raya kecil kali ini.

Beliau berharap Bagan Pinang akan menjadi titik permulaan kepada transformasi yang sedang dibawakan oleh Kerajaan BN kepada seluruh rakyat di negara ini.

Mohd Isa juga merupakan bekas Menteri Wilayah Persekutuan dan bekas Naib Presiden UMNO.

Dilahirkan di Melaka pada 14 Nov, 1949, beliau mendapat pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Bagan Pinang, di sini sebelum melanjutkan pelajaran menengah di Sekolah Alam Shah, Kuala Lumpur.

Mohd Isa menyandang kerusi DUN Linggi sejak 1978 sehinggalah pada tahun 2004 apabila beliau beralih bertanding kerusi Parlimen Jempol dan kemudiannya dilantik sebagai Menteri Wilayah Persekutuan, jawatan kerajaan terakhir yang beliau sandang sebelum metelakkan jawatan pada tahun 2005.

Pengalaman beliau dalam parti juga menarik, khususnya dalam cubaan bertanding jawatan-jawatan penting di peringkat pusat.

Pada tahun 1993, Mohd Isa mencuba nasib bertanding jawatan Ketua Pemuda Umno tetapi tewas kepada Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik dan pada tahun berikutnya beliau mencuba nasib pula bertanding jawatan naib presiden Umno tetapi tewas juga.

Mohd Isa akhirnya memenangi jawatan Naib Presiden Umno bagi penggal 2004-2007 dengan memperoleh 1,507 undi, iaitu undi tertinggi mengatasi Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Mohd Ali Rustam (1,329 undi) dan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri ketika itu Tan Sri Muhyiddin Yassin (1,234 undi).

Bagaimanapun jawatan itu tidak dapat bertahan lama apabila keahliannya digantung selama tiga tahun (24 Jun 2005 hingga 23 Jun 2008) setelah beliau didapati bersalah terhadap dakwaan amalan politik wang dalam Perhimpunan Agung UMNO 2004.

Beliau pada asalnya digantung keahlian selama enam tahun oleh Lembaga Disiplin Umno kerana kesalahan itu tetapi tempoh hukuman itu dikurangkan separuh oleh Majlis Tertinggi UMNO setelah beliau membuat rayuan.

Berikutan itu semua jawatannya dalam parti, termasuk sebagai ketua Umno bahagian Teluk Kemang digantung.

Selepas digantung keahlian, Mohd Isa telah meletakkan jawatan sebagai Menteri Wilayah Persekutuan pada 17 Okt 2005.

Ulasan saya, senang sahaja iaitu BN tidak yakin dengan undi pos. Jika BN yakin, sudah tentu BN letak calon baru yang tidak ada kes peribadi. Letak Isa tak payah kerja banyak kerana semua pengundi sudah kenal siapa itu Isa.

Kalau letak orang baru sama ada ketua pemuda atau ketua wanita, BN kena kerja kuat dalam tempoh seminggu untuk memperkenalkan calon baru kepada para pengundi.

Kemungkinan kedua ialah Isa hantar tiga nama dari bahagiannya kepada pusat tetapi dua nama yang dihantar lagi tidak dikenali oleh Najib dan Muhyiddin. Maka Najib rasa lebih baik letak Isa kerana risiko meletakkan nama orang tidak dikenali lagi tinggi untuk kalah. Tiada siapa pun yang tahu nama siapa dua orang lagi yang dihantar oleh Isa. Sudah tentu Isa cerdik. Takkan dia nak hantar nama anaknya, Najib atau nama Exco Pemuda UMNO Malaysia, Faizal Ramli. Maka jalan terbaik letak nama ketua kampung yang kerja di kampung sahaja suya kedua nama itu mudah ditolak oleh Najib dan Muhyiddin.

ULANGTAHUN PERTAMA BLOG MEMO BELAKANG


Hari ini 29 September 2009 genap setahun usia blog saya, MEMO BELAKANG. Terima kasih kepada 69,063 pengunjung blog ini sehingga pukul 7.25 pagi ini. Pada mulanya saya menumpukan kepada isu-isu politik. Tetapi kini saya menumpukan kepada semua isu termasuk isu ekonomi, sosial dan hiburan.

Salah satu kenangan yang tidak dapat dilupakan ialah apabila diundang oleh RTM untuk muncul dalam program TV1 iaitu Blog@1. Ia merupakan satu penghormatan buat saya walaupun blog itu masih baru. Selepas saya muncul di TV1, Ketua Pengarah Penyiaran, Datuk Tiger menawarkan saya bekerja di RTM tetapi atas sebab-sebab tertentu saya menolak tawaran tersebut.

Sepanjang tahun lalu mesti ada yang kurang senang dengan saya. Saya minta maaf kepada mereka. Ada seorang KSU sebuah kementerian menelefon saya untuk menarik balik sebuah posting. Maka satu tarik balik kerana saya tidak sangka KSU itu sendiri sanggup menelefon saya. Ada pula pengarah sebuah jabatan kerajaan menggunakan kawan baik saya untuk menarik balik satu posting dalam blog ini. Saya kata kepadanya, kalau nak tarik balik suruh pengarah itu call saya. Saya turut terkejut pengarah itu tergamak menelefon saya dan merayu kepada saya untuk menarik balik posting itu. Walaupun ia bukan fitnah, tetapi di atas sifat malu alah, saya tarik balik posting itu. Yang sedihnya orang tuduh saya telah dibeli sebanyak RM1,000 kerana menarik balik posting itu sedangkan satu sen pun saya tidak dibayar. Saya menarik balik atas sifat ikhlas bukan kerana wang.

Hari ini masuk tahun kedua MEMO BELAKANG, jadi saya akan cuba pertahankan blog ini dengan memasukkan posting setiap hari. Terima kasih kepada bekas house mate saya di Damansara Damai, Abdul Mubin Ismail yang mengajar saya menyediakan blog ini. Dah banyak kali Sang Kelembai nak ajar saya buat blog, tetapi sampai ke sudah Sang kelembai tak sempat ajar saya kerana blognya sendiri pun sudah terkubur. Terima kasih buat semua.