Isnin, Februari 27, 2017
SPRM TANGKAP PEGAWAI EXCO MESTI ADA ASASNYA
JOHOR BAHRU 26 Feb. - “Saya tak fikir SPRM suka-suka bila bangun tidur mana nak ‘tembak’ orang itu, dia akan pergi cari orang itu.”
Mohamed Khaled Nordin
Demikian komen Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin mengenai tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan enam individu termasuk anak dan pegawai seorang Exco kerajaan negeri semalam kerana disyaki terlibat dalam penyelewengan dan rasuah.
Beliau yakin, SPRM telah mendapat maklumat dan asas yang kukuh serta melakukan risikan terperinci sebelum membuat serbuan dan tangkapan tersebut.
“Saya percaya SPRM buat siasatan mesti berasas, mungkin ada aduan, bukan dibuat secara suka-suka,” katanya semasa ditemui selepas melancarkan Program Bantuan Subsidi Tambang Bas Sekolah 2017 di Dewan Taman Cendana, Pasir Gudang di sini semalam.
Keenam-enam suspek yang berusia antara 25 hingga 50 ditahan kira-kira 8.30 pagi di sekitar negeri ini kelmarin.
Pada 21 Februari lalu, SPRM menahan empat individu terdiri daripada dua pegawai Jabatan Agama Islam Johor (JAIJ) serta dua pegawai Pejabat Pendidikan Islam Daerah (PPID) Johor Bahru kerana disyaki menyalahgunakan kuasa dan menerima rasuah.
Mengulas lanjut, Mohamed Khaled berkata, pihaknya menyerahkan sepenuhnya siasatan kes tersebut kepada SPRM.
“Biarlah SPRM melakukan siasatan. Saya tidak mahu komen setiap hari, nanti jumpa saya asyik tanya itu sahaja,” katanya.
Ditanya kemungkinan kerajaan negeri akan menjalankan siasatan dan audit dalaman di semua jabatan, beliau berkata, setakat ini tiada tindakan seumpama itu dilakukan sambil meminta semua pihak menunggu hasil siasatan SPRM.
Langgan:
Catatan (Atom)