Selasa, November 06, 2018

IBRAHIM YAKIN PERISTIWA 1998 TIDAK AKAN BERULANG



KUALA LUMPUR: Datuk Ibrahim Ali menggesa semua pihak untuk tidak lagi membuat spekulasi berkenaan dakwaan pergeseran antara Tun Dr Mahathir Mohamad dan Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung isu peralihan jawatan perdana menteri.

Beliau berkata ia selepas perdana menteri sekali lagi menegaskan akan menyerahkan kedudukan itu kepada Anwar selepas tempoh dua tahun.

Ia susulan BERSATU Setiawangsa yang membentangkan usul agar Mahathir melengkapkan tempoh lima tahunnya sebagai perdana menteri, dalam persidangan pertamanya pada 31 Oktober lalu.

Ibrahim yang juga presiden PERKASA berkata spekulasi itu diperkatakan di mana-mana saja tetapi beliau yakin ia tidak akan terjadi.

"Penegasan Mahathir amat terpuji dan tiada yang lebih mulia untuk setiap individu berbanding menunaikan janji yang telah dipersetujui dan diketahui umum

"Saya yakin beliau akan mengotakan janji kepada Anwar. Jika peristiwa 1998 berulang, ia akan membawa kesan buruk kepada kestabilan politik negara dan rakyat akan terus berpecah, terutama di kalangan penyokong tegar.

"Semua pihak mesti memainkan peranan untuk memastikan pisang tidak berbuah dua kali," katanya dalam kenyataan hari ini.

Spekulasi itu muncul sekali lagi selepas dakwaan sejumlah 40 anggota parlimen Umno akan keluar parti itu dengan sebahagiannya akan menyertai BERSATU.

Ia dikatakan bagi memperkukuhkan kedudukan BERSATU dalam Pakatan Harapan (HARAPAN) dan kerajaan.

Ibrahim berkata lagi cakap-cakap mengenai perkara itu oleh pemimpin politik hanya akan membuat rakyat terus berpecah-belah.

"Saya pernah terlibat dan menyaksikan perebutan kuasa dan akhirnya ahli parti dan rakyat menjadi mangsa. Tukang kipas, tukang cucuk dan batu api bersorak dapat cari makan kerana masing-masing diberi peranan oleh bos mereka," katanya tanpa menyebut perkara itu secara khusus.

"Utamakanlah kehidupan rakyat yang diberi janji penuh harapan," katanya lagi.