Khamis, Februari 25, 2016

ANAK MAHATHIR ORANG MELAYU KEENAM TERKAYA DI MALAYSIA

Anak kepada bekas Perdana Menteri, Tan Sri Mokhzani Mahathir turut berada di dalam senarai keenam terkaya dengan kekayaannya AS$700 juta (RM2.52 bilion). Beliau baru-baru ini meletakkan jawatan daripada Lembaga Pengarah SapuraKencana, tetapi masih mengekalkan 9.12 peratus kepentingan dalam syarikat itu menerusi syarikat Khasera Baru.

Akibat kejatuhan harga minyak dunia serta kesannya kepada saham SapuraKencana, majalah Forbes meletakkan kedudukan Mokhzani di tempat ke-26 terkaya di Malaysia dengan nilainya menyusut kepada AS$700 juta (RM2.52 bilion).

Tan Sri Syed Mokhtar 
Al­bu­­khary, 63, kekal sebagai ahli perniagaan Melayu terkaya dengan nilai kekayaan sebanyak AS$2.9 bilion (RM10.44 bilion), mengikut maklumat yang dikumpul oleh majalah perniagaan, Forbes.


Beliau yang tidak mempunyai latar belakang pendidikan tinggi bermula kariernya sebagai pedagang beras dan kini menjalankan pelbagai perniagaan terutamanya menerusi syarikat tersenarai di Bursa Malaysia, iaitu MMC Corp. dan DRB-Hicom. Syarikat-syarikatnya itu juga berjaya memenangi beberapa projek utama kerajaan seperti pengangkutan dan komunikasi.

Selain itu, perniagaannya turut meliputi industri tenaga, perladangan, pelabuhan dan pembekalan pertahanan.

Berdasarkan senarai 50 orang terkaya di Malaysia yang dikeluarkan majalah itu, Syed Mokhtar berada di kedudukan kelapan.

Sementara itu, Tan Sri Azman Hashim yang mengetuai perbankan AmBank Group, yang diasaskannya pada 1976 dengan nama Arab-Malaysian Merchant Bank, merupakan orang Melayu kedua terkaya dengan nilai kekayaan AS$865 juta (RM3.11 bilion).

Tempat ketiga ialah adik-beradik Tan Sri Shahril Shamsuddin dan Datuk Shahriman Shamsuddin yang merupakan taikun minyak dan gas (O&G) menerusi syarikat penyedia perkhidmatan O&G, SapuraKencana Petroleum Bhd. (SapuraKencana). Kekayaan terkumpul kedua-dua beradik itu ialah AS$860 juta (RM3.10 bilion).

Seterusnya ialah Tan Sri Syed Azman Syed Ibrahim dengan nilai kekayaan sebanyak AS$740 juta (RM2.66 bilion). Beliau merupakan pemilik syarikat perkhidmatan helikopter, Weststar Aviation yang memberi tumpuan kepada sektor O&G. Antara syarikat-syarikat yang menggunakan perkhidmatannya ialah Petronas Carigali, Shell dan Tullow Oil.


Melayu terkaya berikutnya ialah Ahmayuddin Ahmad dengan kekayaan AS$600 juta (RM2.16 bilion). Beliau bersama orang ke-17 terkaya di Malaysia, Tan Sri G. Gnanalingam merupakan pengasas syarikat pelabuhan di Pelabuhan Klang, Westports Holdings.

Kekayaan Ahmayuddin melonjak 36 peratus menurut Forbes hasil keuntungan dan peningkatan saham syarikat pelabuhannya itu.

Pengerusi Eksekutif AirAsia Bhd., Datuk Kamarudin Meranun turut berada di dalam senarai dengan kekayaan sebanyak AS$540 juta (RM1.94 bilion) yang mengasaskan jenama penerbangan AirAsia bersama Tan Sri Tony Fernandes pada 2001. Beliau memulakan kerjayanya sebagai pengurus portfolio di Arab-Malaysian Merchant Bank dengan tumpuan perkhidmatan kepada individu berpendapatan tinggi.

Melayu terakhir yang berada di dalam senarai tersebut ialah Datuk Abdul Hamed Sepawi yang terlibat dalam industri pembalakan menerusi syarikatnya, Ta Ann Holdings dengan kekayaan AS$255 juta (RM918 juta). Selain itu, beliau turut terlibat di dalam sektor kelapa sawit, pembinaan dan O&G.

Mengikut senarai penuh 50 individu terkaya itu, Tan Sri Robert Kuok berada di kedudukan teratas dengan kekayaan AS$11.3 bilion (RM40.7 bilion) dengan asetnya menerusi syarikat PACC Offshore Services Holdings dan Wilmar International. Tempat kedua ialah T. Ananda Krishnan dengan kekayaan bernilai AS$9.7 bilion (RM34.9 bilion) menerusi jenama perniagaan Astro dan Maxis.

JANGAN DIKELIRUKAN DENGAN PEMBOHONGAN WALL STREET JOURNAL

Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak Salleh berkata rakyat Malaysia tidak harus membenarkan diri mereka dikelirukan oleh propaganda, pembohongan dan kempen memburuk-burukkan menerusi penyamaran jijik sebagai berita.

"Cerita sebenar mengenai Malaysia adalah berbeza - kedudukan ekonomi baik, walaupun dalam keadaan ekonomi global tidak menentu.

"Perdana Menteri mempunyai perancangan, dan ia berjalan dengan baik. Sebagai contoh, Tabung Kewangan Antarabangsa baru-baru ini memuji kerajaan kerana menjaga keselamatan negara dengan mengekalkan kestabilan, dan mengatakan bahawa "ekonomi Malaysia terus menunjukkan prestasi yang baik ". Dan baru semalam Fitch (Rating Inc) mengesahkan Malaysia berada pada tahap 'A-' dengan prospek stabil.

"Mengapa perkara ini tidak disebut dalam artikel terbaru Wall Street Journal (WSJ)? Sebenarnya ia tidak begitu menyenangkan bagi WSJ. Agenda anti-Malaysia mereka menjadi lebih jelas setiap hari," katanya.

Beliau menyelar WSJ kerana mengamalkan apa yang beliau sifatkan sebagai kewartawanan tidak bertanggungjawab.

Beliau berkata serangan berterusan WSJ terhadap Malaysia dan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak adalah berdasarkan dakwaan tidak berasas dan sumber tanpa nama yang menurutnya mungkin tidak langsung wujud.

"...ini contoh klasik kewartawanan tidak bertanggungjawab yang ekstrem. Ia menjadi semakin jelas bahawa WSJ telah membenarkan dirinya untuk digunakan sebagai saluran bagi kempen Anti-Najib," katanya dalam kenyataan kepada Bernama.

Memberikan contoh artikel terbaru disiarkan WSJ, beliau berkata akhbar itu membangkitkan dakwaan lama tentang siasatan Switzerland ke atas kononnya syarikat yang dikaitkan dengan 1MDB, tetapi gagal untuk menyebut fakta bahawa Peguam Negara Switzerland telah menjelaskan bahawa Perdana Menteri tidak terlibat langsung.

"Mereka mendakwa kononnya 'seorang pegawai Saudi berkata kementerian kewangan dan kementerian luar negara itu tidak tahu menahu mengenai sumbangan berkenaan dan pemindahan wang ke dalam akaun bank peribadi seorang pemimpin asing tidak pernah berlaku sebelum ini' - langsung tidak mempedulikan hakikat bahawa Menteri Luar Saudi telah menyatakan yang sumbangan itu memang datang dari negaranya!

"Kenapa WSJ tidak menghiraukan butiran penting seperti ini, yang amat mustahak terhadap mana-mana laporan tidak berat sebelah mengenai berita ini? Sebab mereka tidak berminat untuk menjadi tidak berat sebelah, apatah lagi untuk mematuhi etika dalam kewartawanan. Mereka amat komited - sama ada untuk ditipu atau kerana mahu mengikut agenda mereka sendiri - bagi memburuk-burukkan Malaysia dan kerajaan yang dipilih secara demokrasi," katanya.

Katanya WSJ juga mendakwa kononnya mendapat tahu daripada "seorang menteri kabinet", "seorang pegawai Saudi" dan versi laporan interim Ketua Audit Negara "tahun lepas" yang mereka dakwa dibocorkan kepada mereka tetapi tidak menunjukkan bukti terhadap dakwaan itu.

"Di mana bukti semua ini? Bagaimana untuk kita tahu yang orang berkenaan wujud? Bagaimana kita tahu bahawa laporan itu tulen dan bukan palsu?" soal Menteri.

Salleh memetik apa yang dikatakan oleh Margaret Sullivan, editor New York Times yang bertanggungjawab mengenai standard: "Tidak menamakan sumber merupakan pilihan terakhir. Editor mempunyai peranan di sini...dalam memutuskan untuk tidak membenarkan penggunaan bahan daripada sumber-sumber yang tidak dikenali, terutama yang menggunakan petikan, bagi disiarkan. Pembaca berhak untuk membantah apabila mereka melihat sumber yang tidak dinamakan yang tidak sepatutnya diterbitkan."

Beliau menegaskan selain daripada Tony Pua daripada DAP, semua orang yang dipetik dalam artikel WSJ itu tidak dinamakan.

"Menyebut suatu sumber tanpa nama merupakan etika kewartawanan paling teruk. Jadi mengapa editor-editor WSJ membenarkan perkara ini? Tiada apa yang berlaku secara kebetulan pada akhbar seperti WSJ," katanya.