Isnin, Oktober 27, 2008

KENYATAAN PENUH KHAIRY JAMALUDDIN MENGENAI DEBAT


Kita tidak dapat memaksa rakan-rakan yang keberatan untuk tampil bersama dalam debat. Tetapi cadangan debat terbuka inilah yang dikatakan demokrasi dan keterbukaan, politik bertanggungjawab yang beretika, tidak berlandaskan persepsi dan tohmahan. Sebaliknya debat ini berusaha menyampaikan idea, supaya masing-masing dapat memikirkan soal masa depan negara."


Saya rasa agak keterlaluan jika kita sendiri membuat andaian public opinion atau pendapat rakyat umum tidak ada kena mengena dengan proses pemilihan Umno. Umno milik rakyat dan rakyat mahu menilai calon-calon yang bertanding dalam Umno kerana Umno masih merupakan parti yang paling penting dalam kerajaan.



"Umum faham proses pemilihan Umno mencorakkan politik negara dan kerajaan, maka Umno perlu telus dan sekurang-kurangnya memberi peluang seluruh rakyat mengenali semua calon-calon yang bertanding. Proses ini sudah pun berlaku kerana sudah berbulan lamanya, pemilihan Umno ini menjadi tajuk utama akhbar dan tv.


"Tak kan lah sebagai sahabat kita nak bercakaran semasa debat. Kita cuma mengutarakan pandangan. Debat ini adalah medan untuk setiap calon menjelaskan visi dan halatuju mereka secara berhemah tanpa serangan peribadi.


"Masyarakat sudah bijak menilai. Mereka mahu menyokong semula Barisan Nasional, tetapi mereka perlu terlebih dahulu mengenali calon-calon dengan lebih dekat."

STED HAMID, ALI DAN SHAHRIZAT: APA CERITA?


Menteri Dalam Negeri, Syed Hamid Albar telah cukup kuota semalam untuk bertanding jawatan Naib Presiden UMNO. Beliau mendapat 20 pencalonan tempat kelima selepas Hishamuddin Hussein (79 pencalonan), Dr. Zahid Hamidi (56 pencalonan), Khalid Nordin (47 pencalonan) dan Shafie Afdal (44 pencalonan).

Jika beliau bekerja kuat menjelang Mac ini, saya rasa beliau boleh mendudukki salah satu kerusi Naib Presiden. Sebagai menteri yang senior beliau banyak pengalaman sejak jadi Menteri Kehakiman (1990-1995), Menteri Pertahanan (1995-1999), Menteri Luar (1999-2008) dan kini menjadi Menteri Dalam Negeri yang mana dahulunya jawatan itu dipegang oleh Perdana Menteri atau Timbalan Menteri Dalam Negeri.

Kerusi Naib Presiden terdapat dua kekosongan kerana Muhyiddin dan Ali Rustam merebut kerusi timbalan presiden. Sehubungan itu mereka yang sudah cukup kuota ini mampu mengisi kedua kekosongan itu sementara Isa Samad naib presiden yang digantung kini kembali menggugat walaupun beliau belum cukup kuota untuk bertanding.

Bagi jawatan Timbalan Presiden UMNO, Ali Rustam perlukan 16 pencalonan lagi. Beliau kini dapat 23 pencalonan manakala Muhammad dapat 15 pencalonan. Muhyiddin jauh meninggalkan mereka berdua, 63 pencalonan. Masa masih ada dua minggu lagi. Ali ada harapan untuk capai kuota pada minggu hadapan manakala Muhammad rasanya tercicir. Mungkin pertandingan dua penjuru di antara Muhyiddin proksi Mahathir dengan Ali proksi Pak Lah.

Beranikah Shahrizat melanggar Rafidah? Semakin banyak beliau mendapat pencalonan. Peluang datang sekali dalam seumur hidup manusia. Jika Shahrizat tidak ambil peluang ini, ia tidak akan datang lagi pada masa akan datang. Oleh itu Shahrizat perlu berani buat keputusan supaya wanita UMNO dapat membuat perubahan. Rafidah Aziz naik kerana melawan penyandang jawatan pada tahun 1984, Aishah Ghani. Jadi sanggupkah Shahrizat mencontohi langkah Rafidah pada tahun 1984 itu?

DEKLARASI JANDA BAIK

Memandangkan keadaan politik negara yang gawat, cabaran dan gugatan terhadap kepimpinan Melayu yang lemah oleh pihak-pihak tertentu, dari dalam dan luar negara serta keadaan ekonomi dunia yang kucar kacir dewasa ini, maka KAMI, para penulis, wartawan dan blogger yang prihatin terhadap nasib Bangsa, Agama dan Tanah Air, yang bersidang di Janda Baik, Pahang mengambil sikap dan pendirian seperti berikut:-

1. KAMI mendesak dan menuntut agar para pemimpin Melayu dari berbagai fahaman politik mengembelengkan tenaga, kerjasama dan buah fikiran demi mempertahankan keluhuran dan kekeramatan PERLEMBAGAAN MALAYSIA TANPA KOMPROMI.

2. KAMI memberi amaran kepada para pemimpin politik Melayu dari semua fahaman ideologi agar jangan menjadi pemimpin Pak Pandir yang hanya menang sorak tetapi kampung halaman dan negara terjual kepada pihak asing.

3. KAMI juga memberi amaran keras kepada pihak-pihak tertentu yang memainkan sentimen perkauman dan mempertikaikan HAK ISTIMEWA MELAYU sepertimana yang termaktub dalam PERLEMBAGAAN NEGARA agar jangan mencetuskan permusuhan antara kaum, antara agama dan antara budaya oleh kerana mereka menganggap kepimpinan Melayu lemah dan boleh diperdagangkan untuk memenuhi agenda perkauman mereka.

4. KAMI juga memberi amaran keras kepada para pemimpin Melayu, khasnya UMNO, agar mereka jangan menjadi pengkhianat BANGSA, AGAMA DAN TANAH AIR hanya kerana didorong oleh nafsu kekayaan kebendaan, kuasa yang dipinjamkan Allah, hingga melupai tanggungjawab mereka terhadap generasi Melayu akan datang.

5. KAMI menggesa seluruh umat Melayu yang menjadi para pejuang BANGSA, AGAMA DAN TANAHAIR tanpa mengira aliran politik agar memilih barisan pemimpin mereka yang terbaik dan bersih dari korupsi, berbagai skandal yang memalukan, yang berwibawa, berilmu dan berjiwa dinamik untuk menerajui kerajaan dan badan-badan amanah lainnya.

6. KAMI memberi peringatan dan teguran ikhlas bahawa UMNO mesti melakukan revolusi mental dan perombakan pemikiran yang dekaden, konservatif, materialistik yang melampau, anti ilmu, berpuak-puak, mementingkan diri, kaum keluarga dan para kroni hingga sanggup memperjudikan nasib BANGSA, AGAMA DAN TANAHAIR.

7. KAMI memberi amaran keras dan peringatan yang tulus ikhlas bahawa kepimpinan UMNO yang lemah, korup, rakus dan gila kuasa boleh menggerhanakan masa depan generasi muda Melayu dan rakyat yang telah memberikan sokongan mereka sejak 51 tahun UMNO memimpin kerajaan Malaysia.

8. KAMI juga ingin mengingatkan para pemimpin Melayu yang berkuasa agar jangan terlalu banyak berkompromi dengan golongan-golongan tertentu yang mempunyai agenda tertentu untuk melemahkan kepimpinan Melayu.

9. KAMI juga ingin mengingatkan para pemimpin Melayu yang berkuasa bahawa kelemahan kekuasaan politik Melayu akan membawa kehancuran dan penghapusan kuasa orang Melayu di bumi Malaysia yang bertuah ini.

10. KAMI menyeru dan menggesa rakyat Melayu bertindak proaktif dalam berbagai bidang kehidupan untuk menjamin kekuasaan politik Melayu tidak terhakis dan ketuanan Melayu dan Islam kekal subur selagi ada matahari dan bulan

11. KAMI merafak sembah memohon agar Duli-duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu mempertahankan kedaulatan baginda seperti mana yang termaktub dalam PERLEMBAGAAN MALAYSIA dengan memberi sokongan moral kepada perjuangan umat Melayu dan Islam dalam berbagai lapangan hidup. Perlulah dihayati kedaulatan dan kedudukan Raja-Raja Melayu akan berterusan sekiranya rakyat Melayu dan umat Islam memperjuang dan mempertahankan institusi Raja tersebut.

12. KAMI dengan penuh takzimnya memohon Duli-duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu dan kaum kerabat baginda agar jangan mengkhianati dan melakukan sesuatu tindakan yang boleh menjejaskan institusi Raja dan melukai perasaan umat Melayu yang mempertahankan institusi Raja selama ini.

13. KAMI juga menyeru kepada kerajaan agar melaksanakan KEADILAN dan TANGGUNGJAWAB sebagai pemerintah kepada semua rakyat Malaysia tanpa mengira kaum memandangkan Malaysia negara majmuk.

14. KAMI ingin memberi peringatan kepada bukan Melayu agar berpegang teguh pada kontrak sosial dan PERLEMBAGAAN NEGARA demi menjaga keharmonian hubungan antara kaum serta kesejahteraan dan keamanan yang kita sama-sama mempertahankannya.

15. KAMI yakin dan percaya bahawa Kebebasan suara Rakyat dan amalan Demokrasi mestilah dipertahankan oleh kerana rakyat yang memberi mandat dan amanah kepada parti-parti politik tertentu untuk berkuasa. Oleh hal demikian KAMI akan bekerjasama dengan siapa saja, dan dari golongan mana sekali pun, demi memperjuangkan hak dan kebebasan Rakyat serta amalan Demokrasi di bumi Malaysia yang bertuah ini.Inilah deklarasi yang tulus ikhlas yang KAMI abadikan sebagai cetusan rasa dari buah fikiran KAMI demi memperjuangkan hak dan kepentingan Rakyat, Keamanan dan Kesejahteraan Negara Malaysia.

KAMI rakamkan cetusan hati nurani Rakyat yang bernama DEKLARASI JANDA BAIK, bertempat di kediaman Sdr Syed Hussein Al-Attas, bertarikh 26 Oktober 2008. Gambar di atas adalah atas ehsan Mohd Sayuti Omar.

PERTANDINGAN TIGA PENJURU BAGI KETUA PEMUDA


Sehari selepas ahli parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin dapat kuota untuk bertanding jawatan Ketua Pemuda, bekas Menteri Besar Selangor, Dr. Khir Toyo pula mendapat kuota yang sama pada hari semalam (26 Oktober).

Sehingga petang semalam, ahli parlimen Jerlun, Mukhriz Mahathir telah memperolehi 66 pencalonan manakala Khairy mendapat 47 pencalonan dan Dr. Khir mendapat 43 pencalonan.

Yang pastinya, pertandingan tiga penjuru akan berlaku di antara mereka bertiga. Yang pening adalah para perwakilan sama ada mahu undi Khairy atau Mukhriz atau Dr. Khir.

Dr. Khir mungkin jadi pilihan jika mereka rasa pilih Khairy, Dr. Mahathir akan kecil hati atau jika pilih Mukriz, Pak Lah akan kecil hati. Jadi Dr. Khir mungkin jadi pemenang.

Dalam pada itu, ada yang menghujah Dr. Khir gagal mempertahankan Selangor dari rempuhan Pakatan Rakyat, jadi beliau tak layak ketuai pemuda. Maka biarlah Mukhriz atau Khairy jadi ketua pemuda. Hal yang sama berlaku pada Kedah yang kalah. Agak sukar bagi Mukhriz untuk tawan balik Kedah. Hujah itu menambah biar Khairy menerajui pemuda supaya dapat menawan semula Selangor dan Kedah.

Khairy telah mencabar calon-calon ketua pemuda berdebat. Ia disambut oleh Dr. Khir tetapi debat seperti itu tidak digemari oleh Mukhriz. Kenapa takut pada debat? Biar perwakilan tengok siapa yang hebat dengan hujah masing-masing mengemukakan visi dan misi calon ketua pemuda dalam menentukan BN disokong semula oleh generasi muda.

Ada 35 lagi bahagian pemuda yang belum bermesyuarat. Ini akan menentukan siapa yang paling popular dari segi pencalonan di antara mereka bertiga. Tetapi harus diingat bahawa pencalonan tidak menggambarkan pengundian. Malam terakhir sebelum mengundi keesokannya, para perwakilan masih boleh berubah. Oleh itu terpulanglah kepada para perwakilan untuk menentukannya.

Jika mereka mahu golongan bangsawan terus menerajui pemuda, pilihlah anak bekas Perdana Menteri atau menantu Perdana Menteri. Tetapi jika mereka mahu anak orang kampong yang mengenali cara hidup orang miskin pilihlah Dr. Khir Toyo.