Isnin, Mei 29, 2023

KPT TAK MINAT KAWAL UNIVERSITI



 GEORGETOWN: Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) sekali lagi menyatakan pendirian tidak berminat melakukan 'kepolisan pendidikan' atau mengawal pihak universiti, misalnya dalam menetapkan garis panduan berhubung kebenaran kemasukan ahli politik di kampus masing-masing.

Menterinya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata kebenaran itu termasuk membabitkan parti politik pembangkang.

Beliau berkata, perkara itu terpulang kepada budi bicara Naib Canselor selaku 'tuan rumah' dan ia tertakluk di bawah kuasa autonomi pihak universiti.

"Kita nak masuk rumah orang minta izin, saya tidak pernah kawal universiti. Parti politik boleh masuk dengan kebenaran Naib Canselor, mungkin dia nak masuk hari ada majlis di universiti atau ada menteri dia pun nak datang.

"Tanya Naib Canselor universiti masing-masing. Saya sudah beritahu dan tekankan kementerian tidak berminat melakukan educational policing...kita kena faham perkara ini, saya bukan polis mahu menjaga universiti," katanya kepada pemberita ketika mengadakan lawatan kerja di Universiti Sains Malaysia (USM) di sini, hari ini.

Mohamed Khaled turut mengulangi, parti politik tidak boleh menubuhkan cawangan di universiti bagi menumpukan usaha membangunkan kesarjanaan universiti.

"Maka saya kata kalau begitu saya boleh mendapat konsensus semua bersetuju jangan ada parti politik dalam kampus. Jadi jangan timbulkan lagi," katanya.

Beliau berkata, dalam hal ini, KPT bukan sahaja berhasrat melahirkan graduan yang memiliki ilmu pengetahuan malah mempunyai matlamat membangunkan kekuatan pemikiran mereka.

"Kita tidak mahu daripada awal dia menjadi taasub kepada satu pemikiran kerana kita nak bangunkan kesarjanaan universiti.

"Kalau katakanlah di luar sudah toksik...kita bergantung kepada universiti supaya betulkan keadaan di luar," katanya.

Terdahulu, Mohamed menyatakan sokongan terhadap usaha USM menganjurkan Wacana Madani dan menggalakkan program seumpama itu diadakan bagi menjayakan agenda nasional dan ia adalah satu daripada peranan institusi pendidikan dalam negara.

Beliau turut mengalu-alukan keputusan USM untuk menubuhkan jawatankuasa khas bagi mengkaji agenda Program Pemacuan Untuk Kecemerlangan (APEX) yang telah memasuki usia 15 tahun sejak menerima pengiktirafan itu pada 2008.

"Sudah 15 tahun program itu jadi dalam kesempatan saya hadir pada hari ini saya telah minta pihak universiti melihat kembali agenda APEX kerana ia sangat penting dan menjadi fokus USM dalam memberi perhatian kepada empat perkara.

"Pertama, menjadi universiti peneraju dalam mencapai kecemerlangan melalui pendidikan tinggi, kedua melakukan penyelidikan kajian merentasi sempadan supaya dapat melahirkan bakat dan keempat menentukan B40 sentiasa diberi perhatian dan tidak tercicir," katanya.