Khamis, September 13, 2018

KALI PERTAMA DALAM SEJARAH NEGARA DEWAN NEGARA TOLAK RUU YANG DILULUSKAN DEWAN RAKYAT

KUALA LUMPUR, 12 Sept (Bernama) -- Keputusan Dewan Negara menolak usul pemansuhan Rang Undang-undang (RUU) Antiberita Tidak Benar 2018 (Akta 803) amat bertentangan dengan semangat majoriti rakyat yang mahu melihat kerajaan baharu pimpinan Pakatan Harapan (PH) membetulkan keadaan di negara ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Liew Vui Keong berkata penggubalan Akta 803 semasa pentadbiran terdahulu telah dibuat dalam keadaan tergesa-gesa tanpa konsultasi dan perbincangan menyeluruh dengan semua pihak berkepentingan dan mendapat tentangan daripada pelbagai pihak khususnya pihak media serta mendapat reaksi negatif daripada rakyat.

Justeru, katanya banyak pihak termasuk pertubuhan bukan kerajaan yang mahu akta itu dimansuhkan namun keputusan Dewan Negara menolak usul pemansuhan akta itu amat bertentangan dengan semangat majoriti rakyat seperti yang dizahirkan menerusi keputusan Pilihan Raya Umum yang lalu.

Yang Dipertua Dewan Negara Tan Sri S. A. Vigneswaran hari ini mengumumkan bahawa persidangan Dewan Negara menolak Rang Undang-Undang Antiberita Tidak Benar (Pemansuhan) 2018 selepas undi belah bahagi yang menyaksikan 28 anggota dewan tidak menyokong berbanding 21 yang menyokong, manakala tiga yang lain memilih untuk tidak mengundi.

"Kebanyakan senator sekarang yang menentang Rang Undang-Undang tersebut adalah daripada pihak Barisan Nasional (BN) dan kini mereka adalah suara majoriti dalam Dewan Negara," katanya dalam satu kenyataan di sini malam ini