Ahad, Oktober 15, 2017

KERAJAAN HARGAI NELAYAN MELALUI GNN

KEMAMAN: Gelombang Nelayan Nasional (GNN) yang julung kali diadakan di Kuala Kerteh, Kemaman selama tiga hari mulai 12 hingga 14 Oktober berjaya mengumpul 30,000 orang nelayan dari seluruh negara.

Menurut Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek GNN adalah usaha kerajaan menghargai nelayan yang dianggap sebagai wira yang tidak didendang. Mereka mengharung laut yang bergelora untuk memberi kita ikan maka GNN adalah langkah MOA untuk menghargai jasa mereka yang tidak terhingga.

Sebanyak 70 acara diadakan selama tiga hari itu. Pekan Kuala Kerteh sesak dengan orang ramai. Hotel dan homestay di daerah Kemaman penuh dengan orang ramai yang datang mahu melawat Terengganu sempena Tahun Melawat Beautiful Terengganu.

Kemunculan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi semalam di Kuala Kerteh bersetuju menambah peruntukan sebanyak RM2 juta untuk diadakan GNN setiap tahun. Banyak yang boleh dibuat dengan RM2 juta dengan menambah acara lagi. Kalau kini ada 70 acara mungkin dengan peruntukan tambahan RM2 juta ini dapat diadakan 100 buah acara.

Tahniah kepada Ahmad Shabery dan MOA yang mengilhamkan idea GNN ini. Kebetulan pula ia diadakan di kawasan parlimen menteri sendiri. Kalau boleh biar GNN kekal di Kuala Kerteh setiap tahun walaupun Ahmad Shabery bertukar ke kementerian lain.

Bukan mudah mengumpulkan 30,000 orang nelayan dan mengadakan 70 acara dalam tempoh 3 hari. Ia amat rumit tetapi kejayaan GNN merupakan satu manifestasi kesungguhan kerajaan menghargai jasa nelayan.

Pada perasmian GNN 2017 semalam, sebanyak 700 bot nelayan daripada Pahang dan Terengganu yang berkumpul di sini sejak Khamis lalu memeriahkan suasana dengan berarak ke jeti Kuala Kerteh manakala ramai nelayan veteran turut hadir untuk memberi sokongan.

Selain itu akan turut diadakan acara menarik seperti pertunjukan akrobatik udara, demonstrasi masakan dan aktiviti beli-belah.

GNN julung kali ini yang berakhir semalam menampilkan 133 gerai jualan pelbagai produk hasil tani dan makanan laut, 43 gerai pameran dan 10 kaunter perkhidmatan agensi dan jabatan kerajaan.

Syabas kepada MOA yang menganjurkan GNN yang boleh menarik kedatangan pelancong ke negeri Terengganu.