PETALING JAYA, 9 Dis (Bernama) -- Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo dilantik sebagai Pengerusi DAP Selangor yang baharu pada pemilihan jawatankuasa parti negeri itu di sini hari ini.
Pelantikan itu diumumkan oleh Speaker Konvensyen DAP Selangor 2018, Leong Yu Man.
Terdahulu, Gobind yang juga Anggota Parlimen Puchong merupakan antara 15 anggota jawatankuasa baharu yang mendapat jumlah undian tertinggi dalam pemilihan itu yang diadakan pada konvensyen berkenaan.
Beliau kemudian dilantik sebagai pengerusi negeri dan Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Kembangan, Ean Yong Hian Wah sebagai timbalannya atas persetujuan bersama dalam kalangan anggota jawatankuasa baharu itu.
Dalam pemilihan jawatankuasa baharu itu, ADUN Kinrara Ng Sze Han mendapat jumlah undi tertinggi sebanyak 491, diikuti bekas Timbalan Setiausaha Publisiti DAP Selangor Tiew Way Kheng dengan 463 undi.
Gobind ketika ditemui pemberita berkata beliau akan memainkan peranan untuk mendengar suara hati dari peringkat akar umbi di samping menyatupadukan parti di peringkat negeri.
“Tugas utama saya adalah untuk mendengar apa yang dikehendaki oleh semua bahagian dalam parti dan kita perlu membina parti yang kuat bagi menghadapi cabaran akan datang.
“Saya cukup yakin bahawa kami merupakan satu ‘team’ yang berkebolehan dan akan melakukan sedaya upaya untuk membawa DAP Selangor ke arah lebih cemerlang,” katanya.
Sementara itu, bekas Pengerusi DAP Selangor Tony Pua ketika ditemui pemberita, akur dengan keputusan tidak terpilih dalam senarai 15 jawatankuasa tersebut.
Pua yang mendapat 292 undi berkata perwakilan telah membuat pilihan dan beliau menerimanya dengan hati terbuka.
"Terima kasih kepada memberi peluang kepada saya menjadi pemimpin di Selangor selama ini. Keputusan ini tidak akan menjejaskan kerja saya, saya akan terus bekerja untuk parti dan kerajaan PH", katanya.
Hanya 756 daripada 1,092 perwakilan hadir pada konvensyen itu yang menyaksikan 40 calon bertanding untuk 15 jawatan dalam jawatankuasa DAP Selangor.
-- BERNAMA
Ahad, Disember 09, 2018
HANYA 55,000 ORANG PESERTA HADIRI PERHIMPUNAN TOLAK ICERD?
KUALA LUMPUR, 8 Dis (Bernama) -- Perhimpunan menolak ratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) di sekitar Jalan Raja di sini hari ini berlangsung dalam suasana aman.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim dalam satu kenyataan berkata dianggarkan 55,000 peserta hadir dan himpunan itu berjalan lancar dan selamat tanpa sebarang kejadian yang tidak diingini.
Katanya terdapat peserta yang membawa kanak-kanak ke perhimpunan itu dan ia menyalahi Akta Perhimpunan Aman 2012.
Tinjauan Bernama mendapati perhimpunan yang dijadualkan tamat 6 petang itu berakhir lebih awal susulan hujan di ibu negara petang ini.
Antara pemimpin pembangkang yang hadir ialah bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang.
Sebelum ini, penganjur perhimpunan ini dilaporkan berkata perhimpunan itu diadakan sebagai tanda ‘kesyukuran’ di atas keputusan kerajaan untuk tidak meratifikasikan konvensyen berkenaan dan seterusnya mempertahankan Perlembagaan Persekutuan.
Pada 23 Nov lepas, Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan berkata Kerajaan Pakatan Harapan tidak akan meratifikasi ICERD dan akan terus mempertahankan Perlembagaan Persekutuan yang di dalamnya termaktub kontrak sosial dipersetujui wakil semua kaum ketika pembentukan negara ini.
-- BERNAMA
Langgan:
Catatan (Atom)