Jumaat, Mac 12, 2010

KAWINI KANAK-KANAK BUKAN SUNNAH


Perkahwinan kanak-kanak perempuan 11 tahun dengan lelaki berusia 40-an yang berlaku di Kelantan adalah tidak mengikut sunnah sebaliknya berdasarkan nafsu semata-mata, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom.

Beliau berkata enakman Majlis Agama Islam di Malaysia jelas menunjukkan lelaki boleh berkahwin apabila berumur 18 tahun ke atas manakala perempuan pula berusia 16 tahun ke atas.

"Bayangkan bagaimana budak perempuan berusia 11 tahun dikahwinkan dengan seorang lelaki yang berusia 40 tahun lebih, dia menggunakan kalimah iaitu sunnah tetapi kita tengok sunnah itu pun tidak dilaksanakan...hanya mengikut nafsu sendiri," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan program mencari Imam Muda Astro Oasis dan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) di sini hari Khamis.

Mengenai program mencari Imam Muda Astro Oasis dan Jawi itu, Jamil Khir berkata ia dapat membentuk generasi muda ke arah perilaku yang baik dan berakhlak.