Jumaat, Julai 25, 2014

KHALID ENGGAN TUNDUK KEPADA ARAHAN PARTI

SHAH ALAM (Bernama) -- Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata beliau menghormati keputusan Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang mencalonkan presiden parti Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai penggantinya, namun segala tatacara pelantikan perlu dibuat mengikut Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri. Abdul Khalid berkata beliau berpegang teguh kepada Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri yang menetapkan tatacara yang khusus bagi pelantikan atau penggantian Menteri Besar. "Saya percaya mereka yang terlibat dalam usaha ini perlu melalui proses-proses tersebut untuk mencapai matlamat yang mereka inginkan. Sehingga proses tersebut berlaku dan selesai, saya akan terus menjalankan tugas sebagai Menteri Besar dengan penuh tanggungjawab, tekun dan amanah seperti yang telah diamanahkan oleh rakyat Selangor yang telah memilih saya melalui proses pemilihan yang sah," katanya dalam satu kenyataan hari ini. Semalam, PKR menamakan Dr Wan Azizah yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri Kajang sebagai calon Menteri Besar Selangor yang baharu menggantikan Abdul Khalid yang memegang jawatan itu sejak 2008. Penamaan Dr Wan Azizah itu akan dikemukakan kepada Majlis Pimpinan Tertinggi Pakatan Rakyat untuk diputuskan. Ramai pihak termasuk pemerhati politik sebelum ini telah pun menduga bahawa pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang pada 23 Mac lepas sememangnya sengaja diadakan dan digunakan sebagai platform untuk menukar Menteri Besar Selangor. Rata-rata mereka menyifatkan isu pertukaran Menteri Besar sebenarnya berpunca daripada krisis dalaman PKR di Selangor. Dalam pada itu, Abdul Khalid memberikan jaminan kepada rakyat dan pelabur Selangor bahawa isu pertukaran Menteri Besar tidak sama sekali menjejaskan sistem pentadbiran di negeri itu. -- BERNAMA