Isnin, November 16, 2015

PENJELASAN ARUL KANDA MEYAKINKAN

 Tidak sia sia mendengar taklimat Presiden dan Pengarah Eksekutif Kumpulan 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Arul Kanda di PWTC Sabtu lalu. Dewan Tun Hussein Onn penuh dengan 800 hadirin yang mahu melihat kehebatan Arul Kanda yang berani menyahut cabaran Tony Pua untuk berdebat.


 Bukan semua CEO yang berani berdebat dengan orang politik tetapi melihat kefasihan beliau berucap memang beliau yang paling layak berdebat dengan Tony Pua yang hanya fasih berdebat dalam bahasa Inggeris. Sebaliknya Arul Kanda fasih berdebat dalam dua bahasa.

Penjelasan beliau untuk mengatasi hutang RM42 bilion 1MDB memang meyakinkan. Beliau yang fasih dalam Bahasa Melayu telah menghuraikan satu persatu apa yang akan dilaksanakan oleh 1MDB. Bukan sahaja beliau fasih dalam Bahasa Melayu malah beliau bercakap dalam loghat Kelantan apabila ditanya soalan oleh orang Kelantan.

Isu ini sebenarnya digembar-gemburkan oleh pihak pembangkang dan disambut oleh bekas PM, Dr Mahathir Mohamad untuk menjatuhkan Najib Razak. Sebab itu Arul Kanda berani berdebat dengan Tony Pua apabila dicabar oleh ahli parlimen DAP itu. Tetapi oleh kerana Tony Pua lebih sayangi jawatannya dalam PAC maka debat itu tidak menjadi kenyataan. Sebaliknya DAP yang tiada telur memilih ahli parlimen PKR, Rafizi Ramli untuk berdebat dengan Arul.

Tony Pua yang cabar Arul Kanda, Rafizi yang nak berdebat maka buat apa Arul mahu layan Rafizi. Bukan Rafizi yang cabar Arul Kanda berdebat. Majlis itu dibuka kepada orang ramai untuk bertanya soalan tetapi mereka tidak bersedia dengan soalan yang kritikal dan mencabar. Sepatutnya mereka tanya soalan apa kaitan Jho Low dengan 1MDB, benarkah RM2.6 bilion itu duit 1MDB sebaliknya soalan yang ditanya kepada Arul memang soalan kacang.

Yang lucunya ada seorang wanita bertanya dapatkah saya minum kopi dengan anda Arul? Apa motif beliau bertanya soalan seperti itu di khalayak ramai. Secara spontan Arul menjawab nanti saya tanya isteri saya terlebih dahulu sambil disambut gelak ketawa para hadirin.

Ada juga yang berpendapat bahawa majlis penerangan seperti ini dibuka kepada pembangkang supaya mereka faham isu 1MDB. Arul menjawab beliau sedia berdepan dengan sesiapa sahaja selepas selesai kes 1MDB disiasat oleh PAC.

Dalam majlis itu, Arul berkata penjualan Edra Global Energy Bhd tidak akan memberi kesan kepada tarif elektrik.

Menurut beliau, ini kerana bakal pembeli Edra Global Energy harus mengekalkan tarif seperti yang telah dipersetujui di dalam Perjanjian Pembelian Tenaga (PPA).

"Tarif itu akan 'fixed' (tetap) untuk sepanjang hayat PPA itu. Jadi sesiapa yang beli, tidak boleh menaikkan tarif," katanya.

Penjualan Edra Global Energy adalah sebahagian daripada program rasionalisasi 1MDB yang bertujuan untuk mengurangkan hutang syarikat pelaburan strategik kerajaan berkenaan.

Tiga pembida iaitu dua pembida asing dan satu tempatan, telah disenarai pendek untuk menghantar bidaan mereka bagi membeli Edra Global Energy yang bernilai antara RM16 bilion hingga RM18 bilion.

Mengenai PPA milik 1MDB yang hampir tamat tempoh, beliau berkata hanya satu PPA dengan kapasiti 400 megawatt akan berakhir dalam tempoh terdekat iaitu Januari tahun depan, sementara PPA yang lain masih mempunyai tempoh perjanjian lama.

Jumlah ini jauh lebih rendah berbanding kapasiti penjanaan keseluruhan oleh Edra Global Energy yang berjumlah 5,550 megawatt.

Sementara itu, Arul Kanda berkata selepas proses rasionalisasi, 1MDB masih mempunyai aset bernilai antara RM10 bilion hingga RM12 bilion termasuk pegangan 100 peratus dalam Tun Razak Echange (TRX).

Aset-aset lain yang kekal dimiliki 1MDB ialah 40 peratus pegangan dalam Bandar Malaysia Sdn Bhd bernilai RM4 bilion hingga RM5 bilion, tanah di Ayer Itam, Pulau Pinang (RM1 bilion) dan Pulau Indah (RM300 juta).