Selasa, Februari 02, 2010
MUKHRIZ YANG TERBUKA
Hari ini kali pertama saya menemui Datuk Mukhriz Mahathir selaku Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri. Beliau menjadi timbalan kepada Datuk Mustapha Mohamed sejak kabinet Datuk Seri Najib Tun Razak diumumkan pada April lalu.
Ini adalah kali kedua saya menemui beliau dari dekat. Kali pertama pada 28 September 2008 ketika beliau menjadi calon Ketua Pemuda UMNO Malaysia. Pada petang itu beliau mengadakan majlis berbuka puasa bersama media. Kebetulan saya selaku Editor akhbar WATAN datang awal, maka saya dapat peluang duduk di sebelahnya.
Jika pada 28 September 2008 saya menemui Mukhriz atas sifat seorang wartawan, hari ini saya menemuinya bukan atas sifat seorang wartawan lagi kerana saya tidak bekerja dengan media lagi. Tetapi saya ucapkan terima kasih kepada pegawai media beliau, Saudara Azrin yang memberi peluang kepada saya untuk menemui Mukriz.
Pada hari Selasa lalu, saya terbaca akhbar Utusan Malaysia yang mengatakan Mukhriz mengalu-alukan pandangan dari orang ramai mengenai sistem pengurusan subsidi yang akan dilaksanakan pada pertengahan tahun ini. Kebetulan rakan saya, Burhanuddin (Baha) Tan Sri Ibrahim yang mencetuskan idea ini sejak tahun 2005 lagi maka saya ajak Baha menemui Mukhriz. Saya sms kepada Azrin untuk menemui Mukriz pada hari Rabu lalu tetapi Azrin kata jadual Mukhriz padat. Maka beliau tetapkan temujanji itu pada hari ini. Saya ucapkan terima kasih kepada Azrin kerana sekurang-kurangnya kami dapat memberi pandangan kami kepada Mukhriz.
Kali pertama Baha mengemukakan kertas cadangan ini kepada Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Shafie Afdal pada tahun 2005. Tetapi kertas cadangan yang disampaikan kepada pegawainya, Karim tidak mendapat sebarang jawapan dari kerajaan.
Baha tidak putus asa. Beliau pergi ke Kepala Batas menemui Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi. Tetapi beliau setakat dapat jumpa setiausaha politiknya,Datuk Othman Desa. Sekali lagi kertas ini tidak mendapat perhatian kerajaan.
Baha masih juga tidak putus asa. Kebetulan ketika itu saya bekerja dengan akhbar Warta Parlimen Kepala Batas (WPKB), Baha datang menemui saya. Pada masa yang sama kerajaan mengumumkan penubuhan Majlis Harga Negara (MHN) yang diketuai oleh Tan Sri Dr. Kamal Salleh.
Saya dapat mewawancara Dr. Kamal Salleh untuk WPKB. Saya ajak Baha ikuti wawancara itu. Selesai wawancara, Baha mengemukakan cadangannya kepada Dr. Kamal. Beliau tertarik dengan cadangan Baha mengenai sistem pengurusan subsidi ini. Beliau suruh Baha bentangkan dalam mseyuarat jawatankuasa MHN di Pan Pacific pada malam esoknya. Saya turut hadir dalam mesyuarat itu ketika Baha membentangkan cadangannya. MHN akhirnta tidak berfungsi. Cadangan tinggal cadangan sahaja.
Maka saya bawa Baha ke rumah Shafie Afdal. Shafie suruh kami jumpa Karim tetapi ia tidak mendapat respon dari Shafie. Kementerian itu bertukar tangan kepada Datuk Shahrir Samad. Baha dapat menemui Shahrir dan Shahrir tertarik dengan idea ini dan mencadangkan kementeriannya membuka RFP (Request For Proposal). Maka banyak syarikat membentangkan cadangan kepada KPDNHEP itu termasuk Baha yang menggunakan vehicle Antah Group. Antah dipanggil oleh Kementerian Kewangan (MOF) dan EPU untuk pembentangan sistem pengurusan subsidi ini yang dibentang oleh Baha sendiri dalam kedua-dua pembentangan dalam MOF dan EPU.
Tiba-tiba kerajaan Pak Lah tidak berminat meneruskan sistem pengurusan subsidi ini apabila Pak Lah mengumumkan semua pemilik kenderaan mendapat rebat RM625 apabila membaharui cukai jalan kenderaan mereka. Matlamat sistem pengurusan subsidi Baha untuk menjimatkan RM5 bilion setahun tidak tercapai sebaliknya dengan rebat ini kerajaan telah membazirkan RM6 bilion.Yang untung ialah Pos Malaysia.
Kerajaan Pak Lah bertukar kepada kerajaan Najib pada April tahun lepas. Pada pembentangan bajet 2010 pada Oktober lalu, tiba-tiba Najib mengumumkan bahawa kerajaan akan melaksanakan sistem pengurusan subsidi dengan menggunakan myKad dan infrastruktur yang sedia ada.
Kami pernah menemui seorang rakan yang rapat dengan Najib. Bila Baha beritahu idea ini kepada rakan itu, rakan itu tidak nampak kerana masa itu Najib belum bentang bajet 2010. Hari ini rakan itu sudah dilantik sebagai pegawai khas Najib. Sayang pegawai khas itu tidak nampak idea Baha ini. Malah ketika Najib masih menjadi TPM, Baha pernah temui setiausaha politiknya, Datuk Shafie Abdullah mengemukakan cadangan ini tetapi Shafie pun tak nampak kenapa perlunya sistem pengurusan subsidi ini yang bukan sahaja boleh dilaksanakan untuk minyak malah untuk barangan lain seperti gula, tepung dan sebagainya.
Sekali lagi Baha rasa terpanggil untuk menyatakan kelemahan myKad dan infrastuktur yang sedia ada demi keselamatan negara. Maka peluang menemui Mukriz adalah peluang terbaik untuk Baha menyatakan kenapa penggunaan myKad adalah bahaya dari segi keselamatan negara.Itupun setelah Mukriz buat kenyataan dalam akhbar minggu lepas bahawa kerajaan mengalu-alukan cadangan dari orang ramai cara mana untuk laksanakan sistem pengurusan subsidi ini.
Dalam pembentangan kepada MOF dan EPU, Baha mencadangkan myKad digunakan sewaktu pendaftaran sahaja. Tetapi untuk melaksanakan subsidi ini biometrik yang perlu digunakan, kerana jika myKad digunakan , sesiapa sahaja boleh meminjam myKad orang lain untuk menikmati subsidi yang diberikan oleh kerajaan. Maka myKad menjadi bahan komoditi.
Jika kerajaan menggunakan infrastruktur yang sedia ada melalui mesin credit card, mesra card atau apa sahaja card, dari segi keselamatan, butir-butir peribadi dalam myKad boleh diklon oleh kerana infrastruktur yang sedia ada bukan milik kerajaan tetapi milik swasta. Jadi ia bahaya kepada keselamatan negara.
Oleh itu jika kerajaan mahu melaksanakan pengurusan subsidi ini, maka jangan guna myKad sebaliknya guna biometrik dan guna infrastuktur yang baru yang dimiliki oleh KPDHEP. Baha turut mengatakan sistem yang dicadangkannya dapat mengesan penyeludupan minyak diesel dan langkah sistem ini dapat menjimatkan wang kerajaan sebanyak RM5 bilion setahun.
Mukhriz bukan sahaja seorang pendengar yang baik tetapi beliau banyak bersoal jawab dengan Baha. Beliau puas hati dengan penjelasan Baha dan beliau berjanji akan mengemukakan kertas cadangan Baha itu kepada bossnya, Tok Pa supaya Tok Pa bangkitkan isu ini dalam kabinet bahawa betapa bahayanya jika myKad digunakan bersama infrastuktur yang sedia ada.
Nampaknya Mukhriz yang bersifat terbuka dalam soal pengurusan subsidi ini sedangkan usaha kami untuk menemui menteri berkenaan, Datuk Seri Ismail Shabery Yaacob melalui abangnya Kamaruzaman Yaacob sampai sekarang tidak dapat tarikh temujanji. Tahniah Mukhriz!
Sekurang-kurangnya jika projek ini jatuh ke tangan orang lain, Baha puas hati kerana beliau telah mendahului zaman kerana mengemukakan cadangan pengurusan subsidi ini sejak tahun 2005 lagi. Soal ideanya diciplak orang adalah soal biasa.
Langgan:
Catatan (Atom)