Ahad, November 16, 2008

BERI BETIS NAK PAHA

Anggota Parlimen Larut, Datuk Hamzah Zainuddin berkata beliau tidak berniat mengancam kedudukan sesiapa apabila menyatakan hasrat mahu bertanding jawatan Ketua UMNO Bahagian Larut.

Hamzah berkata, beliau setuju untuk bertanding apabila meyakini bahawa majoriti anggota di kawasan Parlimen itu mahukan perubahan dan telah meminta agar beliau bertanding jawatan itu. Beliau berkata, keputusan itu dibuat setelah 70 peratus daripada ketua cawangan dan perwakilan UMNO bahagian itu mahukan supaya beliau bertanding.

"Soalnya adakah kemasukan saya ke bahagian Larut dan kemudian bertanding Ketua UMNO Bahagian Larut mengancam kedudukan sesetengah pihak?," tanya Hamzah yang juga Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

Hamzah sebelum ini merupakan Ketua UMNO Bahagian Ipoh Barat, tetapi pada pilihan raya umum lepas beliau bertanding kerusi Parlimen Larut dan kemudian memindahkan keanggotaannya ke UMNO Bahagian Larut.

Bagaimanapun, Ketua UMNO Bahagian Larut, Datuk Seri Raja Ahmad Zainuddin Raja Omar menolak pencalonan Hamzah atas alasan Hamzah tidak layak bertanding kerana menjadi anggota bahagian itu selepas 31 Disember 2007.

Semalam, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor mengumumkan keputusan membenarkan Hamzah bertanding sebagai Ketua UMNO Bahagian Larut berdasarkan kepada peraturan parti.

Tengku Adnan berkata, ia adalah sebagaimana kebenaran diberikan kepada Datuk Abdul Aziz Sheikh Fadzir bertanding di Kulim/ Bandar Baharu, Kedah setelah bertukar dari UMNO Bahagian Baling.

Selain itu, katanya, bekas Setiausaha Politik Perdana Menteri, Datuk Osman Desa juga dibenarkan bertanding di UMNO Bahagian Sik setelah bertukar dari Kepala Batas, Pulau Pinang manakala Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Noraini Ahmad dibenarkan bertanding apabila bertukar ke bahagian Parit Sulong, Johor.

Memang betul Hamzah tidak ada niat untuk ancam sesiapa. Sepatutnya dia tak payahlah kacau tempat orang. Beri Datuk Raja Ahmad Zainuddin jadi ketua, dan beliau masuklah di bahagian itu jadi timbalan apa salahnya. Dahlah tempat orang dirampasnya untuk tanding pilihan raya, kerusi dalam UMNO pun nak dirampasnya juga. Jangan tamak dalam politik. Beri tumpuan jadi ahli parlimen Larut cukuplah. Jangan ibarat beri betis, nak paha pula.

Macam mana Perak nak dirampas kembali dalam pilihan raya umum akan datang jika pemimpinnuya lebih utamakan rebutkan jawatan dalam parti? Sepatutnya sebagai bekas Ketua UMNO Ipoh Barat, beliau kaji kenapa BN melalui MCA tak pernah menang di situ. Apa peranan UMNO yang dipimpinnya kerana tak dapat membantu MCA untuk menang kawasan parlimen Ipoh Barat?

Ini yang silapnya pemimpin UMNO. Dahlah diberi peluang tanding pilihan raya di tempat orang, nak rampas pula kerusi ketua bahagian. Soal majoriti ketua cawangan yang minta tak timbul kerana ketua cawangan memang ada kepentingan dengan ahli parlimen pasal mahu projek dan sebagainya.

Raja Ahmad Zainuddin pun tak kesah kalau Hamzah tukar cawangan sebelum 31 Disember 2007 tetapi dia tukar selepas jadi ahli parlimen pada Mac 2008 yang mana itu sudah tidak ikut perlembagaan UMNO. Yang hairannya kenapa ibu pejabat UMNO boleh melanggar peraturan ini?