Isnin, Disember 22, 2008

DR.ZAHID ADA PELUANG



Calon naib presiden UMNO yang kedua yang mahu ditulis dalam kolum ini ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi. Beliau mendapat 106 pencalonan.


Beliau telah lama melahirkan hasrat untuk bertanding jawatan naib presiden UMNO tetapi menjelang hari raya adil fitri yang lalu, beliau telah mengejutkan orang ramai apabila mengumumkan akan bertanding jawatan timbalan presiden UMNO. Namun demikian akhirnya beliau tidak jadi bertanding jawatan tersebut dan membuat keputusan untuk tanding jawatan naib presiden UMNO sahaja.


Dr. Zahid lebih dahulu dari Datuk Seri Hishamuddin Hussein jadi ketua pemuda. Beliau jadi Ketua Pemuda UMNO pada tahun 1996 sedangkan Hishamuddin jadi ketua pemuda pada tahun 2000 tetapi Hishamuddin lebih awal jadi menteri daripada Dr. Zahid. Hishamuddin dilantik menteri penuh pada tahun 1999 sedangkan Dr. Zaid dilantik menteri penuh pada tahun 2008.


Oleh kerana Dr. Zahid bekas ketua pemuda ketika Hishamuddin menjadi naibnya, peluang untuk menang adalah cerah kerana majoriti perwakilan UMNO bahagian kini adalah bekas perwakilan pemuda di zaman beliau menjadi ketua pemuda.


Saya sendiri ada kenangan manis dengan Dr. Zahid ketika menjadi perwakilan pemuda dari bahagian UMNO Kemaman ke perhimpunan pemuda UMNO Malaysia pada tahun 1997. Ketika itu Dr. Zahid adalah ketua pemuda UMNO Malaysia.


Tiga orang perwakilan pemuda dari Kemaman ialah Ahmad Said selaku ketua pemuda bahagian (kini Menteri Besar Terengganu), Wan Ahmad Nizam Wan Abdul Hamid (kini Setiausaha politik kepada Menteri Besar) dan saya sendiri.


Sehari sebelum perhimpunan bermula, kebetulan ketika mendaftar sebagai perwakilan, saya terserempak dengan Dr. Zahid yang sedang meninjau suasana pendaftaran perwakilan di PWTC. Saya pun terus menemuinya dan dia terkejut bila melihat saya menjadi perwakilan pemuda.


Saya kenali Dr. Zahid semasa saya jadi wakil Watan di Sabah pada tahun 1989. Ketika itu beliau adalah Setiausaha Politik kepada Menteri Belia dan Sukan (Datuk Seri Najib Tun Razak).


“Datuk, saya nak jadi perwakilan pemuda (30 orang) ke perhimpunan agung UMNO lusa,”kata saya.


“Zabidi, u beritahu Ketua Pemuda negeri, Rahin Mohd. Said,” jawab beliau.


Saya pun pergi cari Rahin yang ada dalam Dewan Tun Dr. Ismail ketika itu. Kebetulan Rahin adalah rakan sekelas ketika belajar di sekolah rendah di Banggol Peradong, Kuala Terengganu dari tahun 1968-1971.


“I nak beri kepada Basir, naib ketua pemuda I,” kata Rahin yang masa itu adalah ahli parlimen Kuala Nerus.


“Tolonglah YB, kan kita kawan satu sekolah,” jawab saya.


“Nanti I tanya ketua pemuda u dulu,Ahmad Said,”kata Rahin.


Esoknya perhimpunan pemuda berlangsung. Saya tak follow-up dengan Rahin sama ada dapat jadi perwakilan dari pemuda UMNO mewakili pemuda UMNO Terengganu ke perhimpunan agung UMNO Malaysia.


Apabila pencalonan 30 orang wakil dari pemuda UMNO Malaysia dibuka, saya terkejut apabila ketua pemuda Pasir Putih, Razali mencadangkan nama saya sebagai salah seorang perwakilan pemuda ke perhimpunan agung UMNO Malaysia pada hari esoknya.


Bila 30 nama sudah dicadang dan ada penyokong. Cadangan itu terus ditutup dan saya adalah salah seorang dari 30 wakil pemuda ke perhimpunan agung UMNO Malaysia pada tahun tersebut. Inilah salah satu kenangan manis yang saya perolehi daripada Dr. Zahid yang memberi peluang ini setelah mendapat restu dari Rahin Mohd. Said dan Ahmad Said.


Dalam karier politik Dr. Zahid, beliau bermula dengan Ketua Penerangan Pemuda UMNO di zaman Najib menjadi ketua pemuda UMNO Malaysia. Di zaman Tan Sri Rahim Thamby Chik menjadi ketua pemuda, beliau masih ketua penerangan pemuda dan berjaya mengalahkan Rahim, Tan Sri Isa Samad dan Tan Sri Anuar Musa dalam pertandingan empat penjuru pada tahun 1996.


Selepas Datuk Seri Anwar Ibrahim dipecat dari UMNO, beliau melepaskan jawatan ketua pemuda dan pada tahun 2000, beliau menang dalam pertandingan ahli majlis tertinggi UMNO walaupun beliau hanya ahli parlimen Bagan Datuk. Pada tahun 2004, sebagai Timbalan Menteri Pelancongan, beliau menang di tempat kedua dalam barisan ahli majlis tertinggi UMNO.


Berdasarkan populariti ini, peluang beliau untuk menang jawatan naib presiden amat cerah kerana senarai perwakilan 2008 tidak banyak berubah dengan senarai perwakilan 2004.


Dengan pengalaman luas beliau sebagai setiausaha politik, senator, ahli parlimen, timbalan menteri dan kini menteri, Dr. Zahid memang ada peluang untuk menang. Tambahan pula PR beliau dengan para perwakilan UMNO amat mesra.

RTC PERLU SATU LAGI PENCALONAN


Persidangan perwakilan UMNO Bahagian Tenom semalam mencalonkan Hishamuddin Tun Hussein, Syed Hamid Albar dan Rahim Tamby Chik (RTC) untuk jawatan Naib Presiden UMNO.


Ini bermakna bekas Ketua Menteri Melaka ini memerlukan satu lagi pencalonan untuk dibolehkan bertanding jawatan tersebut. Seperti kata bekas Menteri Wilayah Persekutuan, Isa Samad, RTC tidak ada masalah untuk mendapatkan lesen untuk bertanding.


Sehingga kini dua bahagian belum bersidang lagi iaitu Larut dan Seremban. Ini bermakna RTC perlu dapat dua pencalonan kerana jika mana-mana pencalonan ditolak, beliau ada kuota yang cukup untuk bertanding. Selamat maju jaya RTC.

KENANGAN BERSAMA RIZALMAN


Saya terkejut juga mendengar berita kekalahan bekas ahli parlimen Tenom, Datuk Rizalman Abdullah di tangan ADUN Kemabong, Datuk Rubin Balang dalam pertandingan Ketua UMNO Bahagian Tenom semalam.




Inilah budaya politik UMNO. Bila tak ada kuasa, perwakilan pun lari kerana Rizalman bukan lagi ahli parlimen sedangkan Rubin masih seorang ADUN.



Saya kenali Rizalman sejak tahun 1989 ketika bertugas sebagai wakil akhbar WATAN di Sabah. Ketika itu beliau adalah Exco Pemuda USNO dan beliau adalah pegawai luar Jabatan Penerangan (kini JASA). Rizalman rapat dengan saya bersama dua orang lagi Exco Pemuda USNO, Datuk Bung Mokhtar (kini ahli parlimen Kinabatangan) dan arwah Kipli Haji Abas.



Apabila UMNO masuk ke Sabah pada tahun 1991, Rizalman mengalahkan ketua penaja UMNO Bahagian Pensiangan, Datuk Karim Ghani. Menerima berita kekalahannya, Karim kata Pensiangan bukan kampung halamannya maka kalahlah dia di tangan Rizalman yang sudah lama bertapak di Pensiangan.




Lama kelamaan nama Pensiangan ditukar kepada nama Tenom apabila berlaku persempadanan semula kawasan pilihan raya. Sejak itu Rizalman menjadi ketua bahagian Tenom selama 17 tahun.



Pada tahun 1999, beliau dipilih sebagai calon BN bagi parlimen Tenom. Beliau dilantik Setiausaha Parlimen Kementerian Pembangunan Usahawan (KPUN). Apabila dia tahu saya bekerja dengan Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu, sebuah agensi kerajaan negeri (ketika itu PAS memerintah Terengganu) beliau menawarkan jawatan pegawai medianya kepada saya.



Oleh kerana tawaran ini datangnya dari kawan lama, saya terimanya dan Perbadanan Nasional Berhad (PNS), sebuah agensi di bawah KPUN diarah membayar gaji saya sebagai pegawai media Setiausaha Parlimen KPUN.




Sebagai setiausaha parlimen beliau berani arahkan agensi di bawah kementeriannya membayar gaji pegawainya sedangkan saya pernah minta tolong seorang lagi kawan lama di Sabah untuk bekerja dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) tetapi Datuk Shafie Afdal yang jadi menteri yang jaga SSM tak berani tolong saya sepertimana Rizalman pernah menolong saya.




Apabila Rizalman ditukarkan ke Kementerian Penerangan, saya diarah balik bekerja full time dengan PNS.Sejak itu saya bekerja dengan PNS. Walaupun kontrak saya disambung semula pada 1 Oktober 2002, tetapi saya menolak tawaran itu kerana kononnya nak berniaga pallet di Kemaman.



Walaupun saya dan Rizalman tidak sebumbung lagi, hubungan saya dengan Rizalman tetap erat seperti dahulu. Kami sering berjumpa di waktu malam bila siang kami sibuk dengan urusan masing-masing.



Pada tahun 2004, beliau digugurkan sebagai calon BN di saat-saat akhir. Pagi itu sebelum terbang ke Labuan, beliau diberi jaminan oleh Setiausaha Agung UMNO, Tun Khalil Yaacob (Menteri Penerangan yang juga bossnya) bahawa namanya kekal sebagai calon. Pada hari itu Radio Sabah menyiarkan siaran langsung pengumuman nama calon BN oleh Pengerusi BN Sabah, Datuk Seri Musa Aman.



Beliau terkejut apabila namanya tiada dalam senarai calon. Rubin dikatakan telah melobi Musa dan berkata jika Rizalman kekal sebagai calon, para pengundi bukan Islam tidak akan mengundi BN kerana majoriti pengundi memang orang bukan Islam sedangkan Rizalman adalah orang Islam.




Percaya dengan dakwaan Rubin, Musa Aman menggugurkan nama Rizalman sebagai calon di saat-saat akhir. Sedangkan jika dia menang sudah tentu Rizalman dinaikkan pangkat sebagai timbalan menteri. Sebaliknya dengan meletakkan orang baru sebagai calon, rakyat Tenom kerugian kerana ahli parlimen mereka tidak jadi setiausaha parlimen atau timbalan meteri.



Pada tahun yang sama beliau berjaya mengekalkan jawatan ketua bahagian walaupun sudah tidak jadi ahli parlimen lagi. Beliau mengalahkan Rubin Balang. Semalam Rubin Balang pula berjaya mengalahkan Rizalman. Walaupun Rizalman bukan lagi setiausaha parlimen, ahli parlimen dan ketua bahagian, saya tetap berkawan dengannya seperti dahulu. Saya tidak pernah lari dari beliau walaupun ramai kawan-kawannya sudah lari.

BILA SAYUTI PUJI KHAIRY


Setahu saya Mohd. Sayuti Omar jarang memuji orang. Bila Sayuti memuji Khairy Jamaluddin yang sanggup berdebat dengan Husham Musa, ini menunjukkan Sayuti adalah penulis yang rasional.


Kita seharusnya memuji keberanian Khairy menyertai wacana di Balai Islam, Kota Bharu minggu lepas. Husham Musa adalah Naib Presiden PAS tetapi Khairy yang merupakan seorang naib ketua pemuda UMNO berani berdepan dengannya.


Malah Khairy berani memprovok Husham bila dia berkata PAS sudah lupakan hukum hudud dan sekali lagi Khairy mendakwa peranan PAS dalam Pakatan Rakyat tidak besar. Selepas ini kita mahu lihat dua orang lagi calon Ketua Pemuda duduk berdebat dengan para pemimpin PAS di Balai Islam. Saya kira Datuk Seri Dr. Khir Toyo tidak ada masalah untuk menerima undangan. Cuma Datuk Mukhriz Mahathir yang tidak dipastikan sama ada sanggup berdepan dengan Husham di Balai Islam.


Sehingga ini keberanian Khairy berdebat dengan Husham wajar diberi pujian sedangkan calon-calon Naib Presiden UMNO pun tak sanggup naik pentas di Balai Isla. Oleh itu Khairy sudah mendahului mereka. Syabas Khairy!

IDRIS KENA BERI PENJELASAN


Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh mampu memberikan kemenangan cemerlang kepada Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya kecil di Kuala Terengganu 17 Jan ini, kata bekas menteri besar Terengganu Datuk Seri Idris Jusoh.


Beliau berkata ini berdasarkan kredibiliti dan pengalaman Wan Ahmad Farid yang juga Ketua Umno Bahagian Kuala Terengganu.


"Saya lihat dengan pemilihan calon yang sesuai, sebagai seorang Ketua Umno Bahagian, timbalan menteri yang mempunyai kaliber asasnya kita peroleh satu jentera parti yang kuat."Pengalaman dan kredibiliti Wan Ahmad Farid akan mempastikan kemenangan yang cemerlang bagi BN di Kuala Terengganu nanti," katanya kepada pemberita selepas menutup pertandingan Olimpiad Robot Antarabangsa (IRO) 2008 di Universiti Islam Antarabangsa, Gombak semalam.


Idris, yang juga Pengerusi Mara, mewakili Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Noh Omar.Bagaimanapun, Idris berkata BN tidak menjangkakan akan memperoleh kemenangan mudah kerana pertandingan pada pilihan raya kecil ini dijangka sengit.

Hairan betul Idris. Masa dia jadi Menteri Besar Terengganu, dia tak pilih Wan Farid bertanding pada pilihan raya umum lalu. Masa tu Wan Farid tak mampu menang ke?

Kenapa beliau kekalkan abang Wan Farid, Wan Hisham di DUN Ladang yang menyebabkan Wan Hisham kalah? Kalau Idris letak Wan Farid di DUN Ladang, Wan Farid menang. Kenapa masa itu tak letak Wan Farid? Atau Datuk Seri takut Wan Farid menang jadi Menteri Besar ganti Datuk Seri?

Oleh itu Datuk Seri kena buat penjelasan kenapa tak pilih Wan Farid sebagai calon sedangkan masa itu pun Wan Farid sudah ada pengalaman sebagai Ketua UMNO Bahagian Kuala Terengganu.