Jumaat, Ogos 06, 2010

KAHWIN AWAL ELAK ZINA


Pelaksanaan undang-undang perkahwinan di awal usia seperti yang mahu dilaksanakan oleh Melaka merupakan jalan penyelesaian wajar bagi menangani masalah zina, hamil luar nikah dan pembuangan bayi.

Mufti Kedah, Datuk Sheikh Badaruddin berkata, Majlis Agama Islam Melaka (Maim) membuat keputusan tepat dengan memberi kelonggaran bernikah kepada pelajar lelaki bawah umur 18 tahun dan pelajar perempuan bawah 16 tahun.

"Perkahwinan adalah sesuatu yang halal di dalam Islam dan tiada had umur yang ditetapkan.

"Apabila sudah tiada jalan lain untuk membendung kehendak dan masalah zina melibatkan mereka, maka saya melihat perkahwinan adalah satu jalan yang wajar dilakukan,” katanya, semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas keputusan Maim yang telah memberi kelonggaran bernikah kepada pelajar lelaki di bawah umur 18 tahun dan bawah 16 tahun bagi pelajar perempuan.

Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd Ali Rustam turut menyebut prosedur permohonan bernikah bagi pelajar terbabit masih dikekalkan iaitu perlu melalui Mahkamah Syariah walaupun mendapat kebenaran ibu bapa

Mengulas mengenai pandangan sesetengah pihak yang menyatakan bahawa tindakan Maim itu hanya menjurus kepada peningkatan penceraian, Sheikh Badaruddin berkata, penilaian perlu dibuat dari sudut jangka panjang.

Menurutnya, bagi golongan yang tidak dapat mengawal nafsu seperti remaja bawah umur ini, apabila tidak dibenarkan berkahwin mereka akan melakukan zina dan seterusnya membawa kepada masalah hamil dan pembuangan anak.

“Dalam hal ini kita perlu melihat bahawa, penceraian itu walaupun dibenci Allah tetapi hukumnya halal. Sedangkan zina hukumnya haram.

“Zina itu sudah haram, apatah lagi hamil luar nikah dan membuang anak. Terlalu banyak kesan buruk akan berlaku jika perkahwinan tidak disyorkan," katanya.

TAHNIAH KEPADA DATUK SERI AHMAD SAID


Tujuh penerima semalam dianugerahkan darjah kebesaran sempena ulang tahun Hari Keputeraan ke-48 Sultan Terengganu Tuanku Mizan Zainal Abidin pada istiadat yang berlangsung di Istana Maziah di Kuala Terengganu.

Istiadat pengurniaan darjah kebesaran itu disempurnakan Pemangku Raja Terengganu Tengku Muhammad Ismail.


Pada istiadat itu, Tengku Seri Temenggong Raja, Tengku Baharuddin Sultan Mahmud yang merupakan adinda Tuanku Mizan menerima Darjah Seri Setia Sultan Mahmud Terengganu (S.S.M.T.) yang membawa gelaran Datuk Seri.

Menteri Besar Terengganu Datuk Ahmad Said menerima Darjah Seri Setia Sultan Mizan Zainal Abidin Terengganu (S.S.M.Z.) yang juga membawa gelaran Datuk Seri.

Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu Datuk Mazlan Ngah pula dianugerahkan Darjah Dato' Setia Sultan Mizan Zainal Abidin Terengganu (D.S.M.Z.) yang membawa gelaran Datuk.

Empat orang dianugerahkan Darjah Dato' Paduka Mahkota Terengganu (D.P.M.T.) yang membawa gelaran Datuk.

Mereka adalah Mufti Terengganu Dr Alias Abdullah, Pengarah Tanah dan Galian Terengganu Osman Muda, pegawai pejabat Sultan Terengganu Mohd Yasin Awang dan peguam Zamani Mohamad.