Jumaat, Januari 20, 2012

MUZAKKIRAH: BUKU YANG MENARIK


Sudah lama saya mencari buku Muzakkkirah karya Tan Sri Wan Mokhtar Ahmad yang diterbitkan pada tahun 2008. Minggu ini baru saya dapat baca buku tersebut yang diberi oleh anaknya, YB Wan Hakim kepada saya melalui ustaz Sham Madi.

Memang seronok baca pengalaman Wan Mokhtar selama 35 tahun berkecimpung dalam politik dari tahun 1964 hingga 1999. Bekas guru agama lulusan Universiti Al Azhar ini mula menjadi ahli parlimen Kemaman selama dua penggal (1964-1974) sebelum dilantik sebagai MB Terengganu selama 25 tahun dari 1974-1999.

Beliau pernah ditawarkan jawatan sebagai pegawai Tabung Haji tetapi terpaksa menolaknya kerana beliau terikat dengan kerajaan negeri yang menghantarnya belajar di Mesir. Di Mesir beliau menjadi pemimpin pelajar Melayu yang belejar di negara itu dan sering berutus surat dengan TPM, Tun Razak. beliau sudah lama mengenali Tun Razak sejak belajar di Mesir lagi.

Pada tahun 1964 ketika mengajar di Sekolah Menengah Agama Sultan Zainal Abidin beliau menerima panggilan telefon supaya menemui MB, Tan Sri Ibrahim Fikri. MB berkata beliau telah dipilih sebagai calon Perikatan di parlimen Kemaman.

Sebagai anak kelahiran Kg. Nesan Empat, Kuala Terengganu, bertanding di Kemaman merupakan kawasan asing kepada beliau sungguhpun beliau berkata 60 peratus ahli parlimen negeri itu adalah dari keluarga beliau. Ketika itu Umn0 memerlukan lulusan Mesir untuk berhadapan dengan calon PAS.Maka Wan Mokhtar terpaksa meninggalkan alam perguruan yang diminatinya.

Hubungan beliau dengan Tun Razak semakin rapat apabila Umno Kemaman digantung gara-gara perebutan kuasa di antara Datuk Sulong dengan Datuk Wan Yahya. Tun Razak dilantik sebagai ketua bahagian manakala Wan Mokhtar dilantik sebagai setiausaha bahagian. Oleh kerana Tun Razak sibuk sebagai PM, maka Wan Mokhtar diamanahkan menjaga Bahagian.

pada pilihanraya kecil Batu Rakit pada tahun 1972, beliau ditawarkan jawatan MB oleh Tun Razak tetapi Wan Mokhtar menolaknya. Sebaliknya beliau mencadangkan nama Datuk Nik hasan sebagai MB baru. Bagaimanapun pada tahun 1974, beliau sekali lagi dipanggil Tun Razak untuk menjadi MB. Kali ini beliau yang sudah berusia 42 tahun sudah bersedia memikul tugas tersebut.

Sepanjang 25 tahun menerajui Terengganu beliau yang disindir sebagai ustaz yang tak layak menjadi MB akhirnya membuktikan bahawa pembangunan Terengganu berkembang di bawah zaman Wan Mokhtar. Pelbagai agensi ditubuhnya seperti Yayasan Terengganu, Yayasan Islam, Yayasan Pembangunan Keluarga, Yayasan Pembangunan Usahawan telah memacu pembangunan negeri Terengganu.

Pada tahun 1995 beliau sudah beritahu dr Mahathir untuk bersara dari politik tetapi Dr mahathir mahu beliau terus menerajui terengganu walaupun Dr yusof noor dihantar bertanding di kerusi DUN. Cuma kekalahan beliau pada tahun 1999 menyebabkan namanya agak tercemar kerana sepatutnya beliau lebih disanjung sebagai MB sekiranya beliau tidak bertanding pada pilihan raya umum 1999.

masih banyak cerita di belakang tabir yang tidak ditulis oleh Wan Mokhtar dalam buku ini. Sepatutnya beliau menulis bagaimana beliau boleh menarik Dr yusof noor menyertai politik pada tahun 1984 sedangkan ketika itu Datuk Zakaria Abdul Rahman yang mengetuai Umno Besut tidak mahu Dr Yusof menyertai UMNO di Besut.

bagi saya autobigrafi ini kurang lengkap kerana banyak lagi yang tidak disentuh Wan Mokhtar dalam buku tersebut bagaimana beliau menolak nama Ahmad Said sebagai calon dalam pilihanraya kecil Kijal pada tahun 1990. Beliau ada menulis tentang bekas setiausaha politiknya Nazri Salleh yang sabotajnya dalam pilihanraya umum 1995 tetapi tidak menulis bagaimana beliau cuba ditentang oleh Mokhtar Abdul Rahman dalam pertandingan ketua umno bahagian pada tahun 1998.

Namun demikian usaha Wan Mokhtar menulis autobiografi ini wajar dipuji. Selepas ini kita berharap lebih ramai lagi bekas orang politik dapat menulis autobigrafi mereka terutamanya Dr Yusof Nor yang boleh menulis pengalamannya dalam politik dari tahun 1984-1999.