Rabu, Ogos 14, 2013

100 HARI MUKHRIZ JADI MB KEDAH

Senario 1 Sewaktu menghadiri majlis kenduri perkahwinan di Kuala Kedah baru-baru ini, tuan rumah meminta saya untuk tunggu sebentar. "Jangan balik lagi," kata beliau yang merupakan saudara terdekat saya. "Kenapa?" tanya saya. "Dato' Mukriz nak datang," kata beliau penuh bangga. Saya memandang beliau kehairanan. Beliau yang merupakan saudara saya pernah memberitahu yang dia sudah "cemuih dengan UMNO." Senario 2 Ketika berucap dalam satu perjumpaan dengan pegawai-pegawai kanan kerajaan Negeri Kedah, Dato' Paduka Mukhriz Mahathir menyebut mengenai sejumlah hutang kerajaan negeri kepada kerajaan persekutuan. "Sebenarnya hutang ni bukanlah berlaku dalam tempoh kepimpinan kerajaan lima tahun lalu, tetapi sebelum itu lagi," katanya. Selepas mesyuarat, saya berbual dengan beberapa orang pegawai kanan kerajaan. Seorang pegawai menyebut bahawa beliau suka dengan pendekatan Mukriz yang tidak menyalahkan kerajaan lalu. "Ini berbeza dengan Menteri Besar (beliau sebutkan nama negeri) yang asyik salahkan Menteri Besar dulu walaupun dia sudah lima tahun duduk di kerusi itu," katanya. Senario 3 Bekas Menteri Besar, Tan Sri Azizan Abd Razak tidak menghadiri majlis angkat sumpah Mukhriz sebagai Menteri Besar yang baru di Istana Anak Bukit. Puncanya, beliau sakit dan dimasukkan di Kedah Medical Center (KMC). Selepas angkat sumpah, Muhriz menziarahi beliau di KMC. Apabila Azizan dimasukkan ke Hospital Pulau Pinang, Mukriz beberapa kali melawat beliau di sana. Selain itu, Mukhriz juga mengadakan majlis bacaan doa di Masjid Zahir Alor Setar untuk bermunajat agar Azizan segera sembuh. Muhriz pernah memberitahu beberapa orang, apa saja yang baik yang dilakukan oleh Azizan, akan diteruskannya. Sebagai contoh, majlis ilmu yang diadakan Azizan di kediaman rasmi di Mentaloon diteruskan oleh Mukhriz. Senario 4 Sejak menjadi Menteri Besar, Mukhriz masih tinggal di kediaman keluarganya di Titi Gajah. Sama seperti Azizan, Mukhriz tidak berpindah ke kediaman rasmi Menteri Besar. Apabila soalan ini diajukan kepada pegawainya, alasan yang diberikan ialah Mukriz tidak mahu membelanjakan kos yang tinggi untuk membaikpulih kediaman rasmi tersebut. Untuk masa ini, beliau memilih untuk tinggal di Titi Gajah. Malah, ada pegawai pejabat beliau yang menumpang di rumah tersebut untuk sementara waktu. * * * * * Sehingga 100 hari kepimpinannya, Mukhriz telah melangkah dengan baik. Rata-rata, penduduk Kedah selesa dengan Mukhriz. Beberapa orang penyokong PAS yang ditemui juga senang dengan kepimpinannya. Ini adalah satu permulaan yang baik. Bagaimanapun, ini bukan bermaksud Mukhriz tidak akan berhadapan dengan cabaran. Sebagai Menteri Besar Kedah, Mukhriz harus memikirkan bagaimana untuk memajukan negeri itu dengan sumber yang terbatas. Mukhriz ada idea yang banyak. Persoalannya ialah adakah dia juga ada sumber yang diperlukan untuk memajukan Kedah. Usaha menarik pelabur bukanlah satu usaha yang mudah. Industri pelancongan berkembang pesat di Langkawi, tetapi di tanah besar tidak begitu. Sektor pendidikan dan perkilangan mempunyai potensi. Begitu juga pertanian yang selama ini mendominasi ekonomi negeri perlu dimajukan. Bagi menggembeling agensi dan pemikir, Mukhriz menganjurkan Makmal Transformasi Kedah mulai 1 September ini. Terus-terang, beliau mempunyai harapan yang besar kepada makmal ini. Namun, mampukah makmal ini menjana idea-idea baru? Dalam politik, Mukhriz bukanlah Ketua UMNO Bahagian, namun beliau diberikan kepercayaan untuk menjadi Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri. Ini adalah satu amanah yang besar. Kemampuan Mukhriz menguruskan Ketua-ketua UMNO Bahagian - dan mengambil pendekatan inklusif - akan memperlihatkan skil kepimpinan politik beliau. Sekarang sudah ada suara-suara yang inginkan beliau bertanding Naib Presiden UMNO pada pemilihan parti yang akan datang. Saya kurang pasti sekuat manakah suara-suara tersebut, namun saya fikir eloklah pada masa ini beliau tumpukan kepada kepimpinan di negeri Kedah. Masih banyak yang perlu dilakukan. Satu lagi cabaran Mukhriz ialah menguruskan Perkhidmatan Awam Kedah (Kedah Civil Service). Sebahagian anggota KCS, ada yang tidak menunjukkan prestasi yang baik (deadwoods). Semua orang tahu sikap "longleh" sesetengah kakitangan awam di negeri itu. Bagaimanakah Mukhriz mengendalikan kes-kes ini tanpa memberikan mesej yang salah kepada kakitangan awam. Apa pun, seperti yang disebutkan di awal tadi, Mukhriz mula menapak dengan betul pada 100 hari pertama beliau menjadi Menteri Besar. Sekarang, rakyat sedang memerhatikan bagaimanakah beliau akan berlari untuk lima tahun seterusnya! (dipetik dari blog www.
nobisha.blogspot.com)