Isnin, Ogos 22, 2011

KITA BUANG MASA


Parti Kesejahteraan Insan Tanah Air (KITA) bercadang meletakkan calon di Selangor dan Kelantan pada pilihan raya umum akan datang, kata presidennya, Datuk Zaid Ibrahim.

Bagaimanapun, bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu berkata beliau tidak dapat menentukan jumlah calon dan kerusi yang akan ditandingi di kedua-dua negeri itu.

"Setakat ini, kita hanya mengenal pasti dua negeri iaitu Selangor dan Kelantan untuk diletakkan calon KITA dalam pilihan raya kali ini," katanyakepada pemberita selepas menyampaikan bantuan hari raya kepada orang kurang upaya di Kota Bharu hari ini.

Bekas ahli parlimen Kota Bharu itu berkata beliau sendiri belum dapat menentukan sama ada akan bertanding di kawasan Parlimen itu atau di luar Kelantan.

Menyentuh cadangan penubuhan Jawatankuasa Khas Parlimen untuk menambahbaik sistem pilihan raya di negara ini, Zaid berkata semua pihak harus memanfaatkan penubuhan badan itu dan tidak mengambil kesempatan untuk kepentingan mana-mana pihak.

Pembangkang juga tidak harus membuat tuntutan tidak munasabah dalam mengutarakan perasaan tidak puas hati dengan perjalanan proses pilihan raya di negara ini, sehingga tidak ada jalan penyelesaian, katanya lagi.

Ulasan saya ialah KITA cuma buang masa. Tak payahlah KITA bertanding di Selangor dan Kelantan kerana pertandingan utama ialah di antara BN dengan Pakatan Rakyat. Kalau KITA masuk dalam pertandingan tiga penjuru, silap-silap calon KITA hilang wang pertaruhan.

Zaid sendiri tidak ada pengkalan. Kalau dia bertanding di parlimen Kota Bharu beliau akan tewas. Begitu juga kalau beliau bertanding semula di parlimen Hulu Selangor. Oleh itu lebih baik Zaid simpan duit daripada membiayai calon-calon KITA bertanding.