Rabu, Ogos 19, 2009

PAS TAK ADA MODAL


PAS nampaknya tidak ada modal lain dengan mencabar pemimpin UMNO berdebat dengan pemimpinnya.


Naib Presiden PAS Salahuddin Ayub mencabar Naib Presiden Umno Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi untuk berdebat mengenai isu pembatalan lesen guaman sivil calon Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya keci Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang Pasir, Rohaizat Othman.


Salahuddin memberi tempoh 24 jam kepada naib presiden Umno itu untuk memberikan jawapan sama ada beliau bersedia menyahut cabaran itu.


"Malam ini saya cabar untuk berdebat satu lawan satu dengan Zahid. Saya nak dedahkan tentang calon BN yang bertanding pada pilihan raya itu," katanya pada ceramah di Permatang Tok Kandu di sini, malam tadi.


Beliau mendakwa Ahmad Zahid, yang juga Pengerusi Badan Perhubungan Umno Pulau Pinang, tidak teliti dalam pemilihan calon BN yang bertanding pada pilihan raya itu.Lesen guaman Rohaizat dibatal berikutan masalah yang ditimbulkan oleh bekas rakan kongsi firma guamannya.


Mengenai kenyataan Ahmad Zahid bahawa PAS tidak perlu mempertikai pemilihan calon BN, Salahuddin berkata: "Ini menjadi masalah kepada penduduk di Permatang Pasir kerana jika calon ini menang ia akan mewakili mereka," katanya.


Pada pilihan raya kecil itu, Rohaizat, 38, yang merupakan Setiausaha Umno Bahagian Permatang Pauh, berdepan Pesuruhjaya PAS negeri, Mohd Salleh Man, 52.Pilihan raya itu diadakan berikutan kematian penyandang kerusi itu, Datuk Mohd Hamdan Abdul Rahman daripada PAS pada 31 Julai lepas kerana sakit jantung.

AHLI UMNO TERENGGANU KEMBALI BERSATU


Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein gembira kerana kepimpinan UMNO serta ahlinya di negeri ini kembali bersatu dalam menghadapi pilihan raya umum akan datang.

Beliau yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Terengganu berkata, berdasarkan maklum balas yang diterima dan pemerhatiannya, kesemua pemimpin dan ahli UMNO di negeri ini ' bertaut kembali'.

Menurut beliau, selepas mengetuai UMNO di Terengganu banyak usaha dan program jangka panjang dan pendek dilakukan yang menampakkan hasil positif dan menyakinkan.

''Maklum balas yang diterima kini begitu baik sekali dan usaha-usaha sebegini akan diteruskan dari semasa ke semasa.

''Bagaimanapun, saya sekali lagi merayu kepada semua pemimpin dan ahli agar tampil ke depan secara bersama dan sudah tiba masanya kita ke depan dalam 'mengganyang' setiap cubaan jahat parti lawan," katanya.

Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan Mesyuarat Perhubungan UMNO negeri di pejabat UMNO Terengganu di Kuala Terengganu semalam.

Semua pemimpin UMNO negeri termasuk Timbalan Pengerusinya, Datuk Ahmad Said, Setiausaha Badan Perhubungan, Datuk Tengku Putera Tengku Awang dan bekas Menteri Besar, Datuk Seri Idris Jusoh hadir dalam mesyuarat selama dua jam itu.

Hishammuddin menambah, untuk mengerakkan UMNO di Terengganu, pendekatan dilakukan dengan cara muhasabah bagi memastikan transisi kepimpinan berjalan lancar.

Katanya, isu kepimpinan dilihat perkara penting dalam Perhubungan UMNO negeri bagi melahirkan pemimpin pelapis yang benar-benar berwibawa membawa UMNO dengan semangat dan kesedaran.

''Lupakan peristiwa lalu, muhasabah diri, melihat kelemahan dan tidak lagi menuding jari kepada sesiapa sebaliknya melihat dalam diri sendiri dengan penuh keinsafan.

''Masanya telah tiba untuk sesama kita kembali bersatu hati dengan penuh jiwa raga sambil mengukuhkan barisan dan hala tuju baru,'' katanya.

Katanya, beliau yakin UMNO Terengganu masih cukup terpelihara dan boleh diperkukuhkan sekali gus menang besar dalam pilihan raya umum akan datang.

Sementara itu dalam perkembangan lain, Hishammuddin berkata, UMNO Terengganu berdiri teguh di belakang Timbalan Presiden, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam menghadapi isu saman Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau menambah, UMNO Terengganu tetap berada di barisan hadapan dalam menghadapi isu itu kerana ia menyentuh pucuk pimpinan tertinggi parti.

''Kami seratus peratus di belakang Timbalan Presiden parti tanpa berbelah bagi.
''Begitu juga dalam pelbagai isu semasa lain, UMNO Terengganu akan menentang habis-habisan usaha pelbagai pihak termasuk tindakan menodai kesucian perlembagaan negara," katanya.