Khamis, Mei 02, 2013

MAHATHIR PERLEKEH MAT TAIB, TAPI MAT TAIB JADI MB SELAMA 11 TAHUN

Tun Dr Mahathir Mohamad memperlekehkan Tan Sri Muhammad Muhammad Taib yang menyertai PAS baru-baru ini di ibu negeri Selangor dihadapan penyokong kuat Umno mengatakan beliau terpaksa menyingkirkan bekas menteri besar Selangor itu kerana terlibat dengan skandal rasuah dan tidak tahu berbahasa Inggeris. Di hadapan lebih kurang 3,000 penyokong Barisan Nasional (BN) di sini, Dr Mahathir yang juga bekas presiden Umno itu memberi respon mengenai Muhammad apabila diminta oleh hadirin. “Mat Taib, dia nak bawak beg. Dia ada beg besar. Sebab itu dia tak boleh cakap Inggeris, tak boleh baca Inggeris,” kata bekas perdana menteri itu disambut dengan gelak ketawa daripada hadirin. “Saya pun terpaksa singkir dia daripada jadi menteri besar pasal bawak beg duit banyak sangat. Dan sebab tak boleh baca Inggeris, payahlah,” tambah beliau lagi. Dua hari selepas penamaan calon, Muhammad membuat kejutan apabila menyerahkan borang keahlian PAS kepada Presiden Datuk Seri Abdul Hadi Awang. Muhammad bekas naib presiden Umno yang menyandang pelbagai jawatan utama dalam parti, pernah menjadi menteri besar Selangor dari tahun 1986 hingga 1997 di zaman pemerintahan Dr Mahathir. Beliau juga pernah menjawat jawatan menteri kemajuan luar bandar dan wilayah dari 2008 hingga 2009. Selepas menyertai PAS, Muhammad aktif berkempen bagi membantu calon Pakatan Rakyat (PR) di seluruh negara terutamanya di kawasan pendalaman tempat majoriti Melayu yang menjadi kubu kuat Umno. Hadirin yang hadir mendengar dengan khusyuk amanat daripada bekas perdana menteri yang telah memerintah selama 22 tahun itu. Ucapan beliau disambut dengan gelak tawa dan sorakkan membuktikan bekas pengerusi BN itu masih lagi popular termasuk kepada orang-orang muda. Dr Mahathir sebelum itu memberitahu penyokong parti itu betapa pentingnya kesetiaan kepada parti, walaupun tidak mendapat tempat atau digugurkan dari jawatan. “Saya biasa disingkir daripada Umno. Tunku Abdul Rahman buang saya daripada Umno. Tapi saya tak tubuh parti lain, saya tak masuk parti lain,” kata beliau disambut dengan tepukan gemuruh dari hadirin. Turut hadir bersama-sama dalam program malam tadi adalah naib presiden Perkasa Datuk Zulkifli Noordin yang merupakan calon BN bagi kerusi Parlimen Shah Alam. Zulkifli turut memberikan ucapan pendek dan menyatakan kehadiran besar malam tadi membuktikan BN mampu merampas Selangor pada pilihan raya 5 Mei ini. Selangor jatuh kepada pakatan PKR, PAS dan DAP pada Pilihan Raya 2008. Mereka kemudiannya menubuhkan PR. Dalam pilihan raya 5 Mei ini, Selangor merupakan salah satu “negeri panas” kerana kedua-dua BN dan PR yakin mereka mampu menguasainya.

PERUBAHAN BERLAKU DI JOHOR?

Cuti Hari Buruh semalam memberi peluang kepada Pakatan Rakyat mengambil peluang keemasan itu dengan menganjurkan beberapa ceramah raksasa di Johor, yang dihadiri selautan manusia bagi menyokong momentum berterusan anti-BN di Selatan. Ceramah di kawasan parkir sebuah pusat membeli belah di Gelang Patah berjaya menghimpunkan 70,000 hadirin yang majoritinya berbangsa Cina, memecahkan rekod 60,000 di tempat sama pada malam sebelumnya. Selain kehadiran luar biasa itu, kutipan derma juga sebanyak RM263,328.80 - lebih suku juta ringgit - dengan RM173,328.80 dikutip daripada ceramah dan RM90,000 lagi daripada beberapa siri acara sepanjang hari di kawasan parkir itu. Kehadiran itu dilihat petanda jelas sokongan hebat pengundi Cina di Selatan Johor, yang kebanyakannya datang daripada Kulai, Johor Bahru, Pasir Gudang dan Pulai - kawasan sasaran Pakatan dalam pilihan raya umum kali ini. Ceramah lain yang mensasarkan pengundi Melayu pula dilangsungkan di kawasan parkir Stadium an Sri Dato Haji Hassan Yunos di Johor Bahru yang menarik kehadiran seramai 10,000 - ceramah untuk masyarakat Melayu paling ramai dihadiri sejak penamaan calon 20 April lalu.

PENGUNDI SUDAH BOSAN DENGAN BN DAN PAS

Calon tertua di Terengganu, Maimun Yusuf, 94 tahun, yang bertanding sebagai calon Bebas di kerusi Parlimen Kuala Terengganu tetap giat berkempen walaupun dengan hanya berbasikal dan berjalan kaki untuk meraih undi. Usia tua bukan halangan untuk beliau melakukan semua itu dan masih aktif berkempen dari rumah ke rumah secara bersendirian terutama di kalangan kenalan rapat. Beliau yang lebih mesra dengan panggilan Tok Mun berkata dia lebih selesa berkempen di kalangan kenalannya sahaja ia lebih menyenangkan dan dapat menarik perhatian untuk mengundinya pada PRU nanti. “Tok berjalan atau menaiki basikal untuk berkempen. Tok berkempen pun sorang-sorang. Tok tidak pernah menyusahkan orang lain. Semuanya Tok lakukan sendiri dengan bantuan mereka yang ikhlas menolong Tok. Tok masih kuat untuk berjalan, kalau rasa sakit-sakit badan, Tok makan majun. “Biarlah.. Tok lebih selesa berkempen dengan menaiki basikal begini,” katanya yang kini menghentikan seketika aktiviti menjual kain bagi menumpukan sepenuh perhatian kepada proses berkempen,” katanya ketika ditemui Bernama di sini. Tok Mun menjelaskan keputusan bertanding untuk kali kedua ini bagi menunaikan amanah orang lama.Katanya, pengundi sudah bosan dengan gelagat pemimpin BN dan pemimpin PAS, maka mereka hendaklah pilih calon Bebas seperti beliau. Sementara itu beliau meluahkan perasaan sedih apabila markas kempen yang ditubuhkan di Jalan Panji Aka menjadi mangsa khianat apabila poster yang dipasang dirosakkan pihak yang tidak bertanggungjawab. Namun beliau lebih selesa berdiam diri dan melaporkan perkara itu kepada pihak polis dan kini hanya mempunyai satu markas di Kampung Chabang Tiga. Warga emas yang pernah menggemparkan negara pada PRU12 selepas menjadi calon bebas Parlimen Kuala Terengganu sekali lagi memilih lambang 'kunci' pada PRU kali ini. “Biasanya, jumlah bajet yang Tok belanja Tok akan tahu setelah selesai PRU, tahun 2008 hampir RM15,000 duit Tok belanjakan dan tahun ini mungkin hampir RM30,000,” katanya. Pada PRU 2008, Tok Mun hanya mendapat 685 undi dan hilang wang pertaruhan. — Bernama