Naib Presiden UMNO yang bakal dinobatkan sebagai Timbalan Presiden UMNO yang baru pada hujung Mac depan, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata UMNO perlu ada daya penarik (wow faktor) untuk terus kekal dalam pilihan raya umum akan datang.
Mampukah Najib dan Muhyiddin mencari wow faktor dalam tempoh tiga tahun lebih sebleum pilihan raya umum 2012? Adkah UMNO sudah tidak ada daya penarik lagi? Kenapa saluran pengundi muda BN kalah di Kuala Terengganu?
Apa lagi orang muda mahu dengan UMNO? Masalah selesaikan pengangguran di kalangan mereka? Adakah ini bermakna Pemuda UMNO gagal mendekati mereka? Atau Puteri juga gagal menyelami hati mereka?
Dr. Mahathir kata BN kalah kerana pengundi tolak Pak Lah. Pak Lah yang mahukan Wan Farid jadi calon. Ahmad Said nak orang lain jadi calon. Kalau tidak Ahmad said tak calonkan semula Wan Farid sebagai senator kerana kuasa memilih senator dari negeri adalah kuasa Menteri Besar. Tetapi Pak Lah berdegil mahu Wan Farid. Dr. Mahathir kata Najib tidak boleh dipersalahkan. Sekarang ini masih zaman Pak Lah, maka Pak Lahlah yang bertanggungjawab dengan kekalahan ini. Selepas April nanti, bila Najib jadi Perdana Menteri, bila BN kalah pilihan raya kecil, bolehlah kata pengundi tolak Najib.
Oleh itu Pemuda dan Puteri UMNO perlu dijenamakan semula supaya golongan muda dapat menerima kedua-dua sayap parti ini. Adakah pengundi Kuala Terengganu tidak berterima kasih kepada Menteri Besar, Datuk Ahmad Said yang bersusah payah memperjuangkan pemulangan royalti minyak ke Terengganu?
Para pengundi Kuala Terengganu adalah pengundi bandar. Maka trend mereka memilih pembangkang adalah perkara biasa. Seperti juga orang China di bandar tetap menolak MCA kerana di bandar bila mereka undi pembangkang pun, kerajaan tetap jalankan pembangunan.
BN sepatutnya menghukum para pengundi Kuala Terengganu dengan tidak menunaikan janji pilihan raya pasal sudah kalah. Janji nak beri RM5 juta kepada sekolah cina buat dewan, tetapi undi Cina tetap lari kepada PAS. Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Aziz Nik Mat akui PAS menang besar kerana DAP berjaya tarik undi Cina menyokong PAS.
Sudah sampai masanya kerajaan BN menghukum para pengundi supaya mereka serik mengundi pembangkang di masa akan datang. Untuk pilihanraya umum akan datang, bakal calon BN hendaklah bergaul dengan pengundi dari sekarang. Janganbaru nak jadi calon, baru nak belajar senyum. Sudah terlambat beb.
Senyumlah dari sekarang supaya 3 tahun lagi senyuman itu terus meresap dalam hati para pengundi. Sebenarnya para pengundi menolak BN kerana bosan dengan sikap pemimpin bahagian yang mewah sangat. Ramai yang kaya raya sedangkan majoriti rakyat miskin.
Sesama ahli UMNO, bolehlah beli dengan wang tetapi bagaimana mahu beli 80,000 pengundi dengan wang? Ada yang mengatakan BN kalah kerana pengundi luar tidak pulang mengundi. Ini menunjukkan jentera BN lemah kerana tidak berusaha membawa mereka balik mengundi.
Sepatutnya Datuk Wan Farid boleh menang kerana dia adalah bekas setiausaha politik dan timbalan menteri. Ini bermakna sepanjang dia menjadi setiausaha politik, dia hanya menolong orang tertentu sahaja. Jika dia menolong semua orang termasuk orang PAS, sudah tentu orang PAS akan mengundi beliau seperti mana mereka mengundi arwah Datuk Razali Ismail.
Belajarlah dari kekalahan ini. Sekali kalah bukanlah kalah selama-lamanya. Insya Allah jika kita baiki sikap kita, kita mampu menang pada tahun 2012.