Rabu, Disember 08, 2010
DAPATKAH PALANIVEL KEMUDIKAN MIC?
Akhirnya Datuk Seri S. Samy Vellu melepaskan jawatan Presiden MIC kepada timbalannya, Datuk G Palanivel setelah mengemudi parti itu selama 31 tahun. Dapatkah Palanivel mengemudikan MIC seperti Samy Vellu?
Palanivel membuktikan bahawa seorang setiausaha akhbar berjaya menjadi Presiden MIC. Dalam UMNO belum pernah seorang setiausaha akhbar menjadi Presiden parti. Paling tinggi ahli majlis tertinggi kalau diambil kira Datuk Khalid Yunus yang pernah menjadi setiausaha akhbar menteri.
Palanivel walaupun tidak terpilih sebagai calon BN bagi pilihanraya kecil parlimen Hulu Selangor tetap mendapat hadiah apabila dilantik sebagai senator dan Timbalan Menteri Perladangan, Industri dan Komodoti.
Memanglah janggal Presiden MIC adalah timbalan menteri manakala timbalan presidennya yang baru, Datuk Dr S Subramaniam adalah seorang menteri (Menteri Sumber Manusia). Akan tetapi mereka tetap bekerjasama demi mempastikan orang India kembali menyokong BN dalam pilihanraya umum akan datang.
Pilihanraya umum dijangka diadakan pada awal 2012 setelah MIC stabil dengan barisan kepimpinan yang baru. Jika MIC mahu kuat MIC pastiklan semua penentang Samy Vellu yang dipecat dari MIC diterima kembali menyertai MIC.
Palanivel perlu membuktikan bahawa dirinya tidak terikat dengan Samy Vellu walaupun beliau diarah untuk menaikkan anak Samy vellu, Vell Pari dalam pemilihan MIC akan datang. Vell Pari sudah melahirkan hasrat untuk bertanding jawatan Naib Presiden MIC dalam pemilihan akan datang.
Dapatkah beliau survive dalam politik MIC tanpa ayahnya? Mahukah perwakilan memberi laluan mudah kepada anak Samy Vellu. Apa kata pula pemimpin MIC yang lain seperti Devamany, Saravanan, Kamalanathan?
MIC hanya menang tiga kerusi daripada sembilan kerusi pada tahun 2008. Di Malaysia tidak ada kerusi majoriti pengundi India maka MIC menang kerana ehsan pengundi Melayu. Oleh itu MIC perlu menjaga hati para pengundi Melayu jika mereka mahu menang semula dalam pilihanraya umum akan datang.
Langgan:
Catatan (Atom)