Jumaat, Disember 11, 2009

MAS KAHWIN DI SELANGOR NAIK KEPADA RM300


Mulai 1 Jan tahun depan, kadar mas kahwin di Selangor ditetapkan sebanyak RM300 berbanding kadar semasa iaitu antara RM40 dan RM80 yang dilaksanakan sejak tahun 1978.

Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) Datuk Mohamed Khusrin Munawi berkata kadar baru itu ditetapkan setelah mendapat perkenan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah selaku Ketua Agama Islam di negeri itu.

Beliau berkata kadar baru itu dikuatkuasakan setelah mengkaji beberapa perkembangan semasa termasuk menyeragamkan jumlah mas kahwin kepada wanita tanpa mengira status mereka seperti sebelum ini.

"Sebelum ini kita tetapkan mas kahwin bagi anak dara ialah RM80 manakala RM40 bagi yang berstatus janda. Saya yakin dengan kadar baru ini ia lebih memuliakan kedudukan wanita tanpa mengira status," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Kad Perakuan Nikah Pintar Jais di sini Khamis.

Mohamed Khusrin yakin kadar baru itu tidak membebankan pasangan yang ingin mendirikan rumahtangga kerana ia berpatutan dan bersesuaian mengikut keadaan semasa.

Terdahulu, beliau melancarkan Kad Perakuan Nikah Pintar JAIS iaitu kad perakuan pengesahan bagi pasangan yang bernikah dan berdaftar di Selangor.

Beliau berkata kad itu dilengkapi dengan cip maklumat termasuk data pasangan yang merangkumi identiti suami, isteri, wali dan nombor siri surat perakuan nikah pasangan masing-masing.

"Kad pintar ini akan berkuatkuasa mulai tahun depan bagi menggantikan kad nikad sedia ada untuk mengelakkan kes kad perakuan perkahwinan palsu yang dikesan dalam beberapa siri tangkapan Jais sebelum ini," katanya.

Mohamed Khusrin berkata JAIS juga bekerjasama dengan Jabatan Agama Islam Perak (JAIP), Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (JHEAIK) dan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Terengganu (JHEAT) bagi membolehkan kad perakuan itu diakses melalui terminal mudah alih Jabatan Agama Islam berkenaan.

Selain Selangor, Perak, Kelantan dan Terengganu merupakan antara negeri yang menggunakan kad perakuan nikah pintar dalam pengurusan pendaftaran perkahwinan mereka.