Isnin, Februari 01, 2010

MUSLI OLI YANG SAYA KENALI



Saya sudah lama kenali Musli Oli ketika saya bekerja dengan akhbar WATAN di Sabah (1989-1991). Ketika itu beliau banyak menyumbang rencana kepada akhbar WATAN.Saya belum pernah melihat beliau berucap di khalayak ramai sehinggalah hari Sabtu lalu beliau berucap di majlis pelancaran PERKASA Selangor di AU5.

Saya tidak sangka beliau pandai berucap. Bukan semua penulis pandai berucap. Kebetulan beliau dapat peluang berucap di hadapan Tun Dr Mahathir Mohamad maka beliau berseloroh, "Selama ini 22 tahun saya dengar ucapan Tun, hari ini Tun pula dengar ucapan saya".

Yang menariknya, beliau memperkenalkan dirinya seangkatan dengan Datuk Ahmad Shabery Cheek dan Datuk Husam Musa yang sudah jadi menteri dan exco, tetapi "saya hanya jadi YDP Perkasa Sabah".Selorohnya itu membuatkan hadirin ketawa.

Sebagai seorang penulis politik, beliau kenali ramai menteri termasuk Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Mansor. Malah Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yasin turut mengenali Musli.

Jadi tidak mustahil pada pilihanraya umum 2012, Musli akan jadi calon BN bagi kawasan parlimen Kota Belud menggantikan orang luar, Datuk Abdul Rahman Dahlan. Musli adalah ahli jawatankuasa UMNO Bahagian Kota Belud sekarang dan menang G7 dalam setiap kali perhimpunan. Ketua Bahagiannya, Datuk Seri Salleh Tun Said bolehlah dicalonkan di DUN Usukan menggantikan ADUNnya yang bermasalah sekarang.

Oleh itu jika Musli yang sudah ada connection dengan para pemimpin Kuala Lumpur diletakkan sebagai calon parlimen BN di Kota Belud, tidak salah. Walau dia ada hubungan keluarga dengan Datuk Salleh tapi Musli ada kekuatan sendiri. Apatah lagi beliau ada ijazah dalam bidang ekonomi, aktif dalam NGO dan pandai berpidato pula. Keluarganya agak berpengaruh di Kota Belud jadi jika beliau bertanding tidak ada masalah untuk menang.

CABARAN YANG TIDAK CERDIK


Menteri Besar Perak Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir nampaknya tidak cerdik bila mencabar 28 ADUN pembangkang meletakkan jawatan. Mereka tidak akan terperangkap dengan cabaran Dr Zambry kerana jika mereka berbuat demikian merela tidak boleh bertanding dalam pilihanraya selama lima tahun.

Oleh itu sebelum mencabar orang, lebih baik Dr Zambry semak fakta dahulu. SPR telah meminda peraturan ini pada tahun 1989 selepas Datuk Shahrir Samad mengosongkan kerusi parlimen Johor Bahru untuk bertanding semula dalam pilihanraya kecil parlimen tersebut.

Nampaknya Dr Zambri tidak buat homework sebelum mencabar pembangkang berbuat demikian. Janganlah kita buat cabaran sehinggalah ditertawakan orang kerana ketidakcerdikan kita.

Dr Zambri hari ini mencabar bekas Menteri Besar Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin dan 27 lagi wakil rakyat pembangkang mengosongkan kerusi mereka bagi membolehkan pilihan raya kecil diadakan di 28 kerusi DUN pembangkang di Perak.

Beliau berkata Mohammad Nizar dan wakil rakyat pembangkang berkenaan tidak perlu teragak-agak untuk mengosongkan kerusi DUN masing-masing sekiranya mereka benar-benar yakin bahawa sebahagian besar rakyat Perak teguh menyokong pembangkang.

"Kalau pembangkang rasa mereka popular sekarang, bubarlah 28 kerusi mereka. Kita tengok sama ada mereka dapat semula 28 kerusi DUN ataupun tidak (pada pilihan raya kecil)," katanya kepada pemberita selepas diwawancara dalam program Setahun Melayari Arus di studio Perak FM di sini Isnin.

Beliau mengulas kenyataan Mohammad Nizar sebelum ini bahawa bekas Menteri Besar Perak itu akan memohon perkenan Sultan Perak Sultan Azlan Shah untuk membubarkan DUN Perak sekiranya keputusan Mahkamah Persekutuan berhubung siapa Menteri Besar Perak yang sah pada 9 Feb ini berpihak kepadanya.

Zambry menegaskan bahawa kerajaan negeri Barisan Nasional (BN) tidak akan membubarkan DUN bagi membolehkan satu pilihan raya negeri semula diadakan seperti yang dikehendaki oleh pembangkang.

"Nak bubar DUN ini adalah permainan mereka. Saya tidak akan ikut permainan mereka, bukan kerana takut tapi kerana tidak mahu terikut-ikut rentak permainan pembangkang ini," katanya.

Terdahulu dalam wawancara itu, Zambry berkata fokus utama kerajaan negeri BN yang diterajuinya adalah untuk membangunkan ekonomi dan memakmurkan negeri Perak dan bukannya terheret ke dalam permainan politik pembangkang yang tidak berkesudahan.

"Sebaik sahaja kita (BN) mentadbir, saya telah memaklumkan bahawa kita tidak boleh selamanya bermain dengan politik kerana rakyat di luar sana inginkan sesuatu daripada kita. Ada masanya rakyat ingin memberi tumpuan kepada perkara-perkara yang lebih penting khususnya dalam konteks pembangunan ekonomi negeri," katanya.

Zambry yang dilantik Menteri Besar Perak Ke-11 menggantikan Mohammad Nizar pada 6 Feb lepas menyatakan keyakinannya bahawa sokongan masyarakat pelbagai kaum di Perak terhadap BN akan terus bertambah disebalik pelbagai permainan politik yang dimainkan oleh pembangkang.

"Saya yakin bahawa rakyat di Perak tidak akan termakan dengan cara mereka (pembangkang) dan dengan adanya perkembangan ekonomi yang baik, kedudukan keamanan yang baik di Perak dan program pembasmian kemiskinan efektif yang kita lakukan, saya yakin akhirnya rakyat akan bersama-sama dengan kita... dengan syarat kita pun kena buat kerja dengan kuat," katanya.