Selasa, Ogos 26, 2014

PRK PENGKALAN KUBOR: ASYRAF WAJDI CALON BN?

KOTA BAHARU, 26 Ogos (Bernama) -- Anggota Dewan Negara Senator Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki menyerahkan kepada pucuk pimpinan Umno untuk menentukan sama ada beliau tersenarai atau sebaliknya sebagai calon bagi pilihan raya kecil (PRK) kerusi Dewan Undangan Negeri Pengkalan Kubor nanti. Beliau yang juga Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) itu berkata apa yang penting calon itu mestilah mampu membawa kemenangan kepada Barisan Nasional (BN) bagi meneruskan legasi perjuangan Allahyarham Datuk Noor Zahidi Omar yang meninggal dunia, Rabu lalu. "Pemimpin sebelum ini telah meletakkan asas yang amat kuat di Pengkalan Kubor. "Mesej ini jelas bahawa kita perlu meneruskan tradisi khidmat dan bakti Umno dalam Barisan Nasional dan meneruskan legasi yang telah dibuktikan oleh Allahyarham," katanya kepada pemberita di Program Semarak Merdeka Kempen Kibar Jalur Gemilang di sini hari ini. Bagaimanapun, Asyraf Wajdi berkata sama ada terpilih atau tidak sebagai calon, sebagai Anggota Majlis Tertinggi Umno, beliau akan memastikan BN mengekalkan kerusi DUN Pengkalan Kubor. Asyraf Wajdi juga berpendapat beberapa calon yang berpotensi serta mempunyai latar belakang agama, selain daripada kalangan warga Tumpat juga wajar ditonjolkan dalam PRK itu nanti. Dalam perkembangan sama, beliau berkata, parti pembangkang sama ada PAS atau PKR sebagai sebuah parti yang bermaruah tidak salah jika boleh memberi laluan kepada Umno dan BN untuk terus mentadbir kerusi DUN terbabit memandangkan tempoh pentadbiran yang tidak sampai tiga tahun lagi. "Atas dasar setiakawan, ia bukan sahaja dapat mengurangkan kos bahkan boleh menjadi model baru politik negara sekali gus menepis polemik tidak sihat setiap kali menjelang pilihan raya," katanya. Asyraf Wajdi sebelum ini pernah dicalonkan bagi kerusi Parlimen Tumpat berhadapan dengan Setiausaha Agung PAS, Datuk Kamarudin Jaafar dalam pilihan raya umum ke-12 namun tewas. Noor Zahidi, 57, meninggal dunia akibat kanser hati di sebuah hospital di Guangzhou, China, Rabu lepas. Allahyarham merupakan Anggota Dewan Undangan Negeri Pengkalan Kubor selama tiga penggal dan Ketua Umno Bahagian Tumpat selama empat penggal. Pada pilihan raya umum lepas, Allahyarham yang mewakili BN mengalahkan calon PKR Saharun Ibrahim dan calon Bebas Izat Bukhary Ismail Bukhary dengan majoriti 1,736 undi. -- BERNAMA RBAR ZBI JM NH

BN KENA LETAK CALON YANG SIHAT B UKAN YANG MUDA

PAGOH 24 Ogos - Timbalan Perdana Menteri berkata, Barisan Nasional (BN) tidak menolak kemungkinan untuk meletak calon muda dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Kubor, Kelantan nanti. Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Timbalan Pengerusi BN berkata, pihaknya sudah mengenal pasti ramai calon muda yang berwibawa untuk bertanding di kawasan berkenaan. "Mengenai bakal calon... Kita sudah kenal pasti ramai tokoh muda berwibawa yang boleh kita ketengahkan. Saya harap ini dapat diputuskan dalam tempoh tarikh pengumuman calon diumumkan. "Kita tahu DUN ini kawasan bukan mudah tetapi terbukti kawasan ini memang diwakili calon kita," katanya dalam sidang akhbar selepas menghadiri Majlis Sambutan Aidilfitri UMNO Bahagian Pagoh, di Kompleks Seri Pekembar, di sini semalam. Yang turut hadir isterinya, Puan Seri Noorainee Abd. Rahman; Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin serta Ahli Parlimen Johor Bahru, Tan Sri Shahrir Abdul Samad dan lebih 10,000 mengunjungi sambutan itu. Beliau mengulas bakal calon BN yang akan bertanding dalam PRK Pengkalan Kubor untuk menggantikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Kubor, Datuk Noor Zahidi Omar, 57, yang meninggal dunia akibat kanser hati di sebuah hospital di Guangzhou, China, pukul 5.45 pagi, Rabu lalu. Pada Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-13, Allahyarham menang dengan majoriti 1,736 menewaskan calon daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan bebas dalam pertandingan tiga penjuru dengan memperolehi 10,174 undi. Allahyarham yang menjadi wakil rakyat kawasan berkenaan sejak tiga penggal juga Timbalan Pengerusi Perhubungan UMNO Kelantan. Mengulas lanjut, Muhyiddin yakin UMNO dapat mempertahankan kerusi DUN Pengkalan Kubor atas rekod perkhidmatan cemerlang Noor Zahidi dan kejayaan majoriti lebih 1,000 undi sebelum ini menjadi tanda kawasan itu milik BN selain pembangunan sosial di kawasan tersebut Katanya yang juga Timbalan Presiden UMNO, tentangan hebat akan diberikan Pas namun rakyat Kelantan dan pengundi sudah biasa dengan perkhidmatan Noor Zahidi serta isu pembangkang kebelakangan ini termasuk krisis di Selangor akan memberi kelebihan kepada BN. "Ini semua akan menjadi pertimbangan pengundi seperti krisis politik di Selangor, pertembungan dan perbezaan pendapat yang agak ketara antara komponen pakatan Pas, DAP, PKR, rebutan kuasa, nepotisme serta kronisme. "Saya tak kata akan jadi kelebihan tetapi pengundi akan menjadi peka, kita juga tidak akan mengambil mudah. BN akan memberikan penjelasan kepada pengundi tentang apa yang sebenarnya berlaku dan bagaimana BN dalam perjuangan untuk rakyat serta menguruskan hal negara," kata beliau. Ulasan saya, tak guna letak c;alon muda kalau dia tidak sihat. oleh itu Bn kena letak calon yang sihat yang disahkan oleh doktor bahaewa dia tidak ada penyakit kronik seperti kencing manis, darah tinggi, jantung dan sebagainya. Bukan mudah jadi YB, rumahnya dikunjungi siang malam oleh rakyat. Kalau YB itu mudah stress, maka dia tak layak jadi YB. oleh itu Bn kena utamakan calon yang betul-betul sihat.