Selasa, September 16, 2014

TPM LANCAR PERODUA AXIA

KUALA LUMPUR 15 Sept. - Perodua Axia, model terbaharu keluaran Perusahaan Otomobil Kedua Sdn. Bhd., (Perodua) yang merupakan kenderaan cekap tenaga (EEV) pertama negara dilancarkan secara rasmi hari ini. Pelancaran tersebut yang disempurnakan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin di sini, melambangkan kejayaan Perodua dalam menghasilkan model ke-10 syarikat itu sejak ditubuhkan pada tahun 1993. Model Axia yang turut digelar kereta kompak hijau didatangkan dalam empat varian iaitu Standard E, Standard G, Edisi Khas dan Advance dengan jaminan pengeluaran selama lima tahun. Berkonsepkan EEV, Perodua Axia dengan kuasa enjin 1.0 liter mampu memberi penjimatan bahan api sehingga 21.6 kilometer bagi setiap liter dan ditawarkan dengan pelbagai fungsi unik. Dengan menyasarkan pengguna daripada pelbagai peringkat kumpulan, Perodua Axia ditawarkan pada harga atas jalan bermula serendah RM24,900 hingga RM45,300 sebuah bagi pasaran Semenanjung Malaysia. Perodua Axia merupakan model pertama dihasilkan di kilang baharu Perodua yang juga berkonsepkan cekap tenaga iaitu Perodua Global Manufacturing Sdn. Bhd. dengan sokongan syarikat pengeluar kereta Jepun, Daihatsu Motor Company. Yang turut hadir sempena pelancaran itu ialah Pengerusi Perodua, Tan Sri Asmat Kamaludin; Presiden yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Datuk Aminar Rashid Salleh, Duta Besar Jepun ke Malaysia, Makio Miyagawa dan Pengerusi Daihatsu Motor, Koichi Ina. Muhyiddin ketika berucap dalam majlis itu berkata, kesanggupan untuk melabur dalam industri automotif seperti yang dilakukan Perodua mampu membantu mencapai sasaran menjadikan Malaysia sebagai hab pengeluaran kenderaan EEV menjelang 2020 seperti termaktub dalam Polisi Automotif Kebangsaan (NAP) 2014. "Bagi Malaysia, harapan kami bukan sahaja menjadi hab EEV pada tahun 2020 tetapi merangkumi kitaran industri automotif hijau. "Model baharu ini akan meletakkan penanda aras dalam soal kualiti, pengurusan kos serta produktiviti dalam pasaran EEV dan Perodua telah membuktikan kemampuannya untuk bersaing serta berkembang di negara ini," katanya. Sementara itu, beliau berkata, industri automotif merupakan antara penyumbang utama kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara dengan jumlah RM30 bilion pada tahun lalu serta menawarkan sebanyak 550,000 peluang pekerjaan. Menurutnya, sebanyak 150,000 peluang pekerjaan baharu dalam industri itu dijangka diwujudkan menjelang 2020 dengan 80 peratus daripadanya merupakan pekerja mahir dan separuh mahir tempatan.