Nampaknya Khairy sudah masuk perangkap Tun Dr Mahathir Mohamad yang mahu beliau menjadi Presiden Umno. Semalam bekas naib presiden Umno, Tengku Razaleigh Hamzah (Ku Li) bersetuju menawarkan diri sebagai calon Presiden Umno.
Beliau bukannya menentang pemangku Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi kerana jawatan itu kosong selepas Datuk Seri Najib Tun Razak meletakkan jawatan selepas PRU bulan lepas. Maka sama ada Ku Li atau Khairy bukannya menentang Zahid sebaliknya mereka merebut jawatan yang kosong bersama Zahid.
Para perwakilan perlu bijak memilih Presiden Umno yang baharu selepas BN gagal mempertahankan kerajaan pusat. Memilih Zahid bermakna mengekalkan pemimpin lama yang bersekongkol dengan Najib. Jika Zahid menang kerajaan Pakatan harapan (PH) mungkin mengorek mana mana salah laku Zahid. Apatah lagi heboh adiknya dapat kontrak membekalkan buruh Bangladesh. Jika kes ini dibawa oleh PH, maka tercemarlah nama Presiden Umno.
Begitu juga jika Khairy jadi Presiden Umno yang baharu, maka banyak kes di tingkat empat dahulu akan dikorek oleh PH. Maka Umno memerlukan Presiden Umno yang bersih tiada ada skandal rasuah dan sebagainya. Sudah tentu Ku Li yang paling bersih di antarab tiga calon ini.
Untuk berdepan dengan Tun Dr Mahathir Mohamad, perwakilan Umno perlu pilih Ku Li sebagai presiden yang baharu. Hanya Ku Li yang setaraf dengan Dr Mahathir. Beliau nyaris menang pada pemilihan 1987 cuma kalah 43 undi. Beliau dikatakan menubuhkan Semangat 46. Sebaliknya Dr Mahathir selepas menubuhkan Umno (baru) pada tahun 1988 enggan menerima Ku Li dan Tun Musa Hitam sebagai ahli Umno (baru). Maka Ku Li tiada pilihan terpaksa mengetuai Parti Semangat 46.
Beliau kembali kepada rakyat untuk menghidupkan Umno lalu. Dua kali rakyat tolak Semangat 46 dalam PRU 1990 dan 1995, maka beliau bubarkan Semangat 46 dan kembali kepada Umno kerana rakyat sudah beri jawapan melalui PRU bahawa mereka tidak berminat untuk memulihkan semula Umno asal yang ditubuhkan pada tahun 1946.
Para perwakilan hendaklah berfikir secara waras. Untuk memulihkan semula Umno perlu seorang pemimpin yang ada track record bukan sahaja di Asia Tenggara malah di dunia. Kalau dibandingkan di antara Zahid dengan Ku Li, siapalah Zahid. Maka pilihlah Presiden yang boleh mengangkat semula martabat Umno ke persada dunia. Jangan pilih kerana wang atau terhutang budi kepada Zahid yang pernah beri projek kepada kita. Saya bukannya tidak sayang kepada Zahid tetapi saya lebih sayang kepada masa depan Umno. Masakan perwakilan lupa bagaimana ucapan Zahid dalam Bahasa Inggeris di Bangsa Bangsa Bersatu diperlekehkan rakyat. Maka perwakilan Umno perlu berani membuat perubahan. Jangan undi kerana kawan tetapi undi kerana mahu lihat Umno dihormati semula di seluruh dunia.