Isnin, Oktober 19, 2009

AHLI UMNO KENA BERUBAH JUGA


Pindaan Perlembagaan Umno, khususnya berkaitan menentukan pucuk pimpinan tidak akan memberi sebarang makna sekiranya ahli Umno itu sendiri tidak mahu berubah dan berusaha memartabatkan parti lebih dari kepentingan diri sendiri.

Anggota Majlis Tertinggi Umno Datuk Saifuddin Abdullah berkata semua pihak perlu berubah dari peringkat atas hinggalah ke bawah dalam usaha mengembalikan keyakinan penuh rakyat kepada parti yang banyak berjasa kepada bangsa, agama dan negara itu.

"Antara perubahan yang perlu dilakukan ialah jangan memfitnah sesama sendiri, mengadu-domba, sikap terburu-buru mendapatkan jawatan, mudah merajuk apabila tidak dapat hajat dan cita-cita dan sikap dengki serta iri-hati.

"Jika sikap demikian masih berada di hati dan sanubari ahli Umno, maka perubahan perlembagaan yang dibuat pada Perhimpunan Agung yang berakhir semalam tidak memberi makna.

"Ahli Umno perlu berani dan mengutamakan kepentingan parti jika mahukan Umno terus unggul dan perkasa sepertimana yang ditegaskan Presiden Parti Datuk Seri Najib Tun Razak," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Rumah Terbuka dan pelancaran Kopi Jenama Tongkat Ali "Perwira" Persatuan Bekas Tentera Daerah Temerloh di Temerloh.

Saifuddin yang juga Timbalan Menteri Pengajian Tinggi dan anggota Parlimen Temerloh berkata setiap ahli Umno seharusnya berani berkorban kepentingan diri jika mahukan Umno terus berdaya saing dan menjuarai rakyat tanpa mengira bangsa dan agama.

"Presiden parti berharap perubahan yang dilakukan itu akan dapat menyakinkan rakyat bahawa hanya parti Umno yang mampu membela nasib mereka dan sekaligus apabila ianya tersemat di hati rakyat maka tidak ada sebab mereka tidak memberikan sokongan padu kepada Umno," katanya.

Sehubungan itu beliau yang juga Timbalan Ketua Umno Bahagian Temerloh mahukan pemimpin di peringkat cawangan bersedia menjalankan kempen menambah ahli dan mendaftar sebagai pemilih mulai sekarang.

"Ini sangat penting kerana tidak lama lagi kita akan menghadapi pilihan raya ke-13 dan kita tidak boleh menunggu kerana masa berlalu terlalu pantas," katanya.