Isnin, Ogos 12, 2013
SHAFIE TIDAK GUSAR JIKA MUSA TANDING NAIB PRESIDEN
SEMPORNA: Naib Presiden Umno Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata beliau tidak gusar dengan hasrat mana-mana anggota parti yang berhasrat bertanding jawatan naib presiden Umno pada pemilihan Oktober depan.
Beliau berkata terpulang kepada diri masing-masing untuk bertanding namun hasrat bertanding berkenaan seharusnya berasaskan hasrat mengukuhkan parti.
“Itu hak mereka, terserah, kita bersifat demokratik, kebebasan diberi, tak ada sekatan untuk mana-mana pihak. Apa yang penting dalam menawarkan diri untuk bertanding ialah keutuhan parti perlu menjadi keutamaan,” katanya ketika mengulas kemungkinan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman turut bertanding jawatan Naib Presiden Umno.
Shafie bercakap kepada pemberita pada Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri di sini hari ini, mengenai ura-ura beberapa tokoh yang berhasrat bertanding merebut jawatan tersebut.
Fitnah
Dalam pada itu, Shafie yang juga Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah mengingatkan anggota parti yang bertanding supaya tidak menabur fitnah atau mereka-reka cerita terhadap calon lain.
Pada mulanya Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Sabah, Datuk Salleh Said Keruak yang disebut-sebut akan bertanding jawatan tersebut. Namun demikian, Salleh berkata Musa yang lebih layak bertanding jawatan nombor tiga itu.
Cadangan Salleh itu mendapat sokongan penuh bahagian-bahagian dari Sabah termasuk pemuda dan wanita Umno begeri. Malah Badan Perhubungan Umno Negeri Sembilan dan Wilayah Persekutuan tidak menghalang Musa bertanding jika beliau rasakan beliau layak menyandang jawatan tersebut.
Musa masih belum membuat keputusan sama ada akan bertanding jawatan Naib Presiden atau ahli majlis tertinggi Umno sahaja. Jika Musa masuk bertanding, ini bermakna Sabah menghantar dua calon merebut kerusi Naib Presiden Umno.
Bekas Setiausaha Parlimen Kementerian Penerangan, Datuk Rizalman Abdullah berkata apa salahnya Sabah ada dua orang naib presiden Umno.
“BN berjaya mengekalkan kerajaan pusat kerana sokongan kuat rakyat Sabah kepada BN. Oleh itu sudah sampai masanya perwakilan Umno memilih dua orang Naib Presifen Umno dari Sabah,” katanya.
Sehingga ini tiga orang calon sudah mengesahkan akan bertanding jawatan tersebut iaitu Shafie, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Hishamuddin Hussein. Dijangka Tan Sri Isa Samad dan Datuk Seri Ali Rustam akan membuat pengumuman yang sama tidak lama lagi.
TAK SALAH DUA CALON DARI SABAH TANDING NAIB PRESIDEN UMNO
KOTA KINABALU: Bekas Setiausaha Parlimen Kementerian Penerangan, Datuk Rizalman Abdullah berkata tidak salah Sabah mengemukakan dua calon Naib Presiden dalam pemilihan Umno pada 19 Oktober depan.
Menurut beliau, Sabah telah memberi kemenangan kepada BN mengekalkan kerajaan pusat.
“Justru itu apa salahnya kalau dua orang Naib Presiden Umno datangnya dari Sabah,” kata beliau mengulas kemungkinan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman turut bertanding jawatan Naib Presiden Umno selain dari Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Shafie Apdal yang mempertahankan jawatan.
Beliau yang juga bekas Ketua Umno Bahagian Tenom berkata Johor pernah ada dua orang Naib Presiden Umno (Tun Sardon Jubir dan Tun Hussein Onn) serta Pulau Pinang pernah ada dua juga (Tun Abdullah Ahmad Badawi dan Datuk Seri Anwar Ibrahim) maka tidak ada sebab perwakilan menolak dua Naib Presiden Umno dari Sabah.
Budi
“Jika perwakilan Umno mengenang budi sokongan kuat Sabah kepada BN, maka sudah sampai masanya mereka memilih dua orang naib Presiden Umno dari Sabah,” tegasnya yang menyokong penuh jika Shafie dan Musa bertanding jawatan tersebut.
Beliau bersetuju dengan pandangan seorang pensyarah universiti bahawa jika Tunku Abdul Rahman tidak masukkan Sabah dan Sarawak dalam Malaysia pada tahun 1963, sudah pasti BN sudah tumbang di Semenanjung.
Rizalman berharap perwakilan dapat mengundi secara matang dan bukannya kerana sentimen kenegerian dalam menentukan siapa yang layak jadi Naib Presiden Umno.
Layak
Sementara itu, Ketua UMNO Bahagian Papar Datuk Abdul Rahim Ismail menyokong jika Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah Datuk Seri Musa Aman bertanding jawatan Naib Presiden UMNO pada pemilihan parti kali ini.
Rahim berkata, Musa sememangnya layak untuk bertanding jawatan itu kerana UMNO serta Barisan Nasional (BN) terutamanya di Sabah semakin kuat dan kukuh di bawah kepimpinan beliau yang juga Ketua Menteri Sabah.
Katanya, kelayakan Musa sebagai pemimpin UMNO Sabah tidak perlu dipertikai kerana telah terbukti kepimpinan beliau telah membawa kemenangan kepada parti itu dan BN khususnya dalam pilihan raya umum (PRU13) lepas.
Rahim bercakap kepada pemberita di Rumah Terbuka Aidilfitri, di kediamannya, di sini hari Ahad.
Turut hadir anggota Parlimen Papar Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kawang, Datuk Ghulam Haidar Khan Bahadar; dan mantan Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Harris Salleh.
Dalam pada itu, Rahim yang juga ADUN Pantai Manis berkata beliau akan terus mempertahankan jawatan Ketua UMNO Bahagian Papar pada pemilihan kali ini.
MUSA BOLEH TANDING JIKA DIA RASA LAYAK
PETALING JAYA: Badan Perhubungan Umno Wilayah Persekutuan berpendapat sesiapa yang rasa mereka layak bertanding, mereka boleh bertanding jawatan Naib Presiden Umno.
Menurut setiausahanya, Datuk Syed Ali Alhabshee, Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman boleh bertanding jika beliau rasa beliau layak bertanding.
“Sehingga ini saya belum mendengar beliau mahu bertanding jawatan tersebut,” katanya kepada FMT ketika mengulas desas-desus Musa akan bertanding merebut kerusi itu daripada tiga orang penyandang jawatan, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Datuk Seri Hishamuddin Hussein dan Datuk Seri Shafie Afdal.
“Apa yang saya dengar dari abang dan adiknya yang bercakap kemungkinan Musa bertanding, ” katanya lagi.
Abang Musa, Datuk Ayub Aman dalam FMT berpendapat Musa tidak perlu bertanding jawatan tersebut kecuali beliau mahu jadi pemimpin utama negara kerana jawatan Naib Presiden adalah tiket menjadi Perdana Menteri.
Sebaliknya adik Musa, Datuk Seri Anipah Aman yang juga Menteri Luar berkata beliau optimis Musa akan dapat sokongan penuh dari Sabah jika Musa berhasrat untuk bertanding jawatan tersebut.
Ditanya jika Musa bertanding, adakah Badan Perhubungan Umno Wilayah Persekutuan akan menyokongnya, Syed Ali yang juga Ketua Umno Bahagian Cheras berkata beliau boleh memberitahu para perwakilan untuk mengundi calon-calon tertentu tetapi bukan senang nak kawal perwakilan kerana perwakilan kali ini terlalu ramai.
Katanya, Wilayah Persekutuan ada 13 bahagian. Ini bermakna kalau satu bahagian ada seramai 300 perwakilan, ini bermakna ada 3,900 perwakilan dari Wilayah Persekutuan.
“Bukan senang nak suruh mereka undi calon-calon tertentu kerana kami tidak ada kuasa untuk mengawal mereka,” katanya.
Lagipun, beliau mengaku beliau tidak ada hak untuk bercakap bagi pihak Umno Wilayah Persekutuan, kerana 13 bahagian ada kuasa untuk memilih Naib Presiden Umno sendiri.
Sehingga ini tiga penyandang jawatan sudah mengesahkan mereka akan mempertahankan jawatan mereka. Selain itu bekas Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ali Rustam dan Pengerusi Felda, Tan Sri Isa Samad dijangka turut bertanding.
Sementara itu Pemuda Umno Sabah menyokong penuh jika Ketua Menteri Sabah mahu bertanding jawatan Naib Presiden Umno.
Menurut Ketua Pemuda negeri, Datuk Awang Kadin Tang, Musa bukan sahaja akan mendapat sokngan dari Sabah malah dari semua negeri.
“Kemampuan beliau mengekalkan Sabah di tangan BN pada pilihanraya umum lalu membuktikan bahawa beliau layak diberi peranan yang lebih penting dalam parti,” katanya kepada Bernama.
MB TIDAK DILANTIK SECARA AUTOMATIK MAJLIS TERTINGGI UMNO
Menteri Besar atau Ketua Menteri tidak dilantik secara automatik dalam ahli majlis tertinggi Umno, kata Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan.
Katanya, mereka kena bertanding jika mahu bersuara dalam majlis tertinggi Umno.
“Tidak betul fakta itu. Saya sekarang bukannya ahli majlis tertinggi Umno. Cuma sebagai turut hadir sahaja,” kata beliau mengulas kenyataan ahli majlis tertinggi Umno, Datuk Saifuddin Abdullah dalam FMT yang mengatakan semua Menteri Besar tak perlu bertanding jawatan tersebut kerana mereka akan dilantik secara automatik.
Menurut Saifudin, mereka tak perlu bertanding kerana selaku Pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri mereka akan dilantik dalam majlis tertinggi.
Mohamad yang juga Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Sembilan berharap ahli Umno tidak keliru dengan kenyataan tersebut kerana Menteri Besar atau Ketua Menteri tidak dilantik secara automatik sebagai ahli majlis tertinggi Umno.
Katanya, sebagai turut hadir, beliau tidak boleh bercakap melainkan dengan izin presiden dan tidak boleh mengundi.
“Saya dijemput sebagai turut hadir sahaja,” katanya lagi dan enggan menjawab soalan sama ada beliau akan turut bertanding jawatan ahli majlis tertinggi Umno pada 5 Oktober ini.
Selain daripada Mohamad Hassan, empat orang Menteri Besar lain yang turut hadir dalam mesyuarat majlis tertinggi Umno ialah Datuk Seri Ahmad Said (Terengganu), Datuk Khalid Nordin (Johor), Datuk Mukriz Mahathir (Kedah) dan Azlan Man (Perlis). (dipetik dari freemalaysiatoday.com)
Langgan:
Catatan (Atom)